Menteri Kanan, Encik Lee Hsien Loong, mengesahkan hubungan mesra dan lama terjalin antara Singapura dengan Argentina semasa pertemuan beliau bersama mantan Presiden negara itu, Encik Mauricio Macri, dan para Anggota Parlimen Kongres Argentina.
Mereka termasuk Presiden Sementara Senat Argentina dan Senator Negara, Encik Bartolomé Abdala; Presiden Kumpulan Persahabatan Parlimen Singapura-Argentina dan Timbalan Negara, Cik Belén Avico, serta Presiden Suruhanjaya (blok dagangan) Mercosur dalam Dewan Rakyat dan Timbalan Negara, Encik Eduardo Valdés.
Pertemuan tersebut diadakan sebagai sebahagian lawatan kerja Encik Lee ke Buenos Aires, Argentina, dari 20 hingga 24 Oktober.
Menulis dalam satu catatan Facebook pada 22 Oktober, Encik Lee berkata:
“(Saya) Gembira dapat berhubung semula dengan mantan Presiden Argentina, Mauricio Macri.
“Kali terakhir kami bertemu adalah di Buenos Aires pada November 2018, apabila saya menghadiri Sidang Puncak Pemimpin G20. Gembira melihat beliau dalam keadaan baik!
“(Saya) Telah mengadakan pertemuan yang baik dengan Presiden Sementara Senat Argentina, Bartolomé Abdala, dan Senator Negara, Sonia Rojas Decut, di Kongres Nasional.
“Kami membincangkan kepentingan menggalak pertukaran antara Singapura dengan Argentina, dan memperdalami kerjasama dalam bidang baru yang menjanjikan, seperti ekonomi digital.”
Dalam rangka lawatannya itu, Encik Lee turut bertemu dengan Ketua Pemerintah Bandar Buenos Aires, Encik Jorge Macri, selain mendekati peniaga dan pemimpin persatuan perniagaan Argentina.
Encik Lee berkata pasukan Encik Macri telah memberikan taklimat tentang visi pemerintah bandar itu untuk mengatur, memperbaharui dan memodenkan Buenos Aires.
“Seperti Singapura, Bandar Buenos Aires mempunyai sumber semula jadi yang terhad, dan perlu bergantung pada modal insannya untuk berkembang maju,” tulis beliau.
Selain mengesahkan hubungan mesra dan lama antara Singapura dengan Argentina dalam pertemuan yang diadakan, Encik Lee turut mengetengahkan kepentingan Singapura dalam memperkukuh hubungan ekonomi dan antara rakyat dengan Argentina, kata Kementerian Ehwal Luar (MFA) dalam satu kenyataan pada 22 Oktober.
Ini terutamanya melalui Perjanjian Perdagangan Bebas Mercosur-Singapura sebaik sahaja ia dimeterai.
Mercosur merupakan blok perdagangan Amerika Selatan yang ditubuhkan pada 1991 dan dianggotai Argentina, Bolivia, Brazil, Paraguay dan Uruguay sebagai anggota penuh, manakala Chile, Colombia, Ecuador, Guyana, Panama, Peru dan Suriname adalah anggota bersekutu.
Encik Lee turut membincangkan tentang perkembangan serantau dan sejagat dalam pertemuan bersama para pemimpin Argentina tersebut.
Dalam lawatannya itu, Encik Lee turut menghadiri mesyuarat Majlis Antarabangsa JP Morgan dari 22 hingga 24 Oktober.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg