Menteri Kanan, Encik Lee Hsien Loong, bakal membuat lawatan kerja ke Buenos Aires, Argentina, dari 20 hingga 24 Oktober, disusuli dengan kunjungan ke London, United Kingdom (UK), dari 25 hingga 28 Oktober.
Semasa di Buenos Aires, Encik Lee akan bertemu dengan tokoh politik kanan Argentina, anggota utama Kongres, serta usahawan terkemuka negara itu.
Demikian menurut kenyataan Pejabat Perdana Menteri (PMO) pada 17 Oktober.
Beliau juga akan menghadiri mesyuarat Majlis Antarabangsa JP Morgan, di mana beliau telah menjadi ahli sejak 28 Mac lalu.
Ini menandakan lawatan kerja pertama Encik Lee ke Argentina sejak kunjungan beliau ke Buenos Aires sebagai Perdana Menteri bagi Sidang Puncak Pemimpin Kumpulan 20 (G20) pada 2018.
Singapura dan Argentina telah meraikan ulang tahun ke-50 hubungan diplomatik pada 2024.
Pada tahun yang sama, Argentina merupakan rakan dagang keenam terbesar Singapura di rantau Amerika Latin, dengan jumlah perdagangan dua hala mencecah $647.8 juta, manakala perdagangan dalam perkhidmatan bernilai $587.8 juta pada 2023.
Pelaburan langsung Singapura di Argentina pula berjumlah $100 juta, terutama dalam sektor perlombongan dan kuari.
Selepas lawatan beliau ke Argentina, Encik Lee akan bertemu dengan tokoh politik kanan Britain serta pemimpin perniagaan dari sektor teknologi dan korporat di London.
Beliau juga akan berucap di Chatham House, Institut Diraja Hal Ehwal Antarabangsa, mengenai “perubahan geopolitik dan ekonomi dalam era ketidaktentuan sejagat yang semakin meningkat”.
Semasa lawatannya ke London, Encik Lee juga akan melawat School of Convergent Science (SCS) di Imperial College London (ICL), sebuah institusi antara disiplin yang baru untuk memajukan penyelidikan merentasi pelbagai bidang termasuk kecerdasan buatan (AI), kejuruteraan, teknologi kesihatan, angkasa lepas, keselamatan dan telekomunikasi.
Beliau akan diiringi pegawai Kementerian Ehwal Luar (MFA) dan PMO.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg