Menteri Kanan, Encik Lee Hsien Loong, bertemu beberapa pemimpin kanan politik United Kingdom (UK) pada 27 Oktober sempena lawatan kerja beliau ke negara itu.
Encik Lee mengadakan pertemuan dengan Timbalan Perdana Menteri, Encik David Lammy; Setiausaha Ehwal Luar, Cik Yvette Cooper; dan Ketua Setiausaha kepada Perdana Menteri UK, Encik Darren Jones, di London.
Dalam satu hantaran Facebook pada 28 Oktober, Encik Lee berkata mereka mengesahkan hubungan Singapura-UK yang kukuh, berbilang cabang dan semakin berkembang.
Mereka turut berbincang mengenai pelbagai topik meliputi pendigitalan dan tenaga boleh diperbaharu.
“Sebagai rakan anggota Perjanjian Progresif dan Menyeluruh bagi Kerjasama Rentas Pasifik (CPTPP), kami bertukar pandangan mengenai pengukuhan hubungan ekonomi – termasuk bersama Kesatuan Eropah (EU) dan Asean – dan meningkatkan daya tahan rantau kita.
“Ini semua di samping menegakkan sistem perdagangan pelbagai hala yang terbuka dan berasaskan peraturan.
“(Saya) mengalu-alukan keterlibatan dan kerjasama berterusan antara kedua-dua negara,” ujarnya.
Menurut kenyataan Kementerian Ehwal Luar (MFA) pada 27 Oktober, Encik Lee berada di UK dari 27 hingga 28 Oktober.
Beliau juga berucap di Chatham House, Institut Diraja Hal Ehwal Antarabangsa, mengenai “perubahan geopolitik dan ekonomi dalam era ketidaktentuan sejagat yang semakin meningkat”, jelas kenyataan Pejabat Perdana Menteri (PMO) pada 17 Oktober.
Semasa lawatannya ke London, Encik Lee akan turut melawat School of Convergent Science (SCS) di Imperial College London, sebuah institusi antara disiplin yang baru untuk memajukan penyelidikan merentasi pelbagai bidang – termasuk kecerdasan buatan (AI), kejuruteraan, teknologi kesihatan, angkasa lepas, keselamatan dan telekomunikasi.
Awal daripada itu, Encik Lee telah mengadakan lawatan kerja ke Buenos Aires, Argentina, dari 20 hingga 24 Oktober.
Semasa lawatan itu, beliau mengesahkan hubungan mesra dan lama terjalin antara Singapura dengan Argentina semasa pertemuan bersama mantan Presiden negara itu, Encik Mauricio Macri, dan para Anggota Parlimen Kongres Argentina.
Selain mengesahkan hubungan akrab antara Singapura dengan Argentina, Encik Lee turut mengetengahkan kepentingan Singapura dalam memperkukuh hubungan ekonomi dan antara rakyat dengan Argentina, kata MFA dalam satu kenyataan pada 22 Oktober.
Ini terutamanya melalui Perjanjian Perdagangan Bebas Mercosur-Singapura sebaik sahaja ia dimeterai.
Mercosur merupakan blok perdagangan Amerika Selatan yang ditubuhkan pada 1991 dan dianggotai Argentina, Bolivia, Brazil, Paraguay dan Uruguay sebagai anggota penuh, manakala Chile, Colombia, Ecuador, Guyana, Panama, Peru dan Suriname adalah anggota bersekutu.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg