Topik diikuti
Pergi ke BHkuSM Lee terima anugerah Pingat Order of Dostyk (Persahabatan) Kelas Pertama di Kazakhstan
Singapura dan Kazakhstan menegaskan semula hubungan yang erat dan telah lama terjalin antara kededua negara.
Ini menyusuli lawatan rasmi Menteri Kanan Encik Lee Hsien Loong ke Kazakhstan dari 24 hingga 27 Ogos.
Terdahulu pada 26 Ogos, Encik Lee mengadakan kunjungan hormat ke atas Presiden Kassym-Jomart Tokayev, yang turut mengurniakan kepada beliau Pingat Order of Dostyk (Persahabatan) Kelas Pertama.
Encik Lee turut mengadakan pertemuan dan menghadiri jamuan malam yang dihoskan Perdana Menteri Encik Olzhas Bektenov.
Dalam pertemuan dengan para pemimpin Kazakhstan, Encik Lee menegaskan semula hubungan yang erat dan telah lama terjalin antara Singapura dengan Kazakhstan.
Kedua-dua pihak turut membincangkan usaha memperkukuh kerjasama dalam bidang seperti ekonomi, kesalinghubungan, Kecerdasan Buatan (AI) dan pendigitalan. Mereka juga membincangkan bagaimana Singapura dan Kazakhstan boleh bekerjasama untuk mengeratkan hubungan antara Asia Tenggara dengan Asia Tengah.
Encik Lee dan Perdana Menteri Bektenov turut menyaksikan pemeteraian dua perjanjian. Perjanjian Kerjasama dalam Sumber Air yang ditandatangani antara Singapore Cooperation Enterprise (SCE) dengan Kementerian Sumber Air dan Pengairan Kazakhstan akan memudahkan pembangunan keupayaan serta inisiatif bersama dalam bidang termasuk kelestarian air, penulenan semula air dan pendigitalan.
Memorandum Persefahaman (MOU) mengenai Integrasi Perdagangan Digital yang ditandatangani antara SCE dengan Middle Corridor Multimodal Ltd (MCM) pula akan memperkukuh kerjasama teknikal dan inisiatif bersama dalam bidang perdagangan digital dan logistik, sekali gus meningkatkan kesalinghubungan serta daya tahan rantaian bekalan di sepanjang Koridor Tengah.
Selain itu, Kementerian Ehwal Luar (MFA) Singapura dan Agensi Pembangunan Antarabangsa Kazakhstan (KazAID) bersetuju untuk mengadakan Program Latihan Bersama (JTP) kedua dalam tempoh dua tahun akan datang di Astana, Kazakhstan. Program bertemakan AI, pembangunan digital serta sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM) itu akan melatih sehingga 30 pegawai pemerintah peringkat pertengahan hingga kanan dari negara-negara Asia Tengah.
Pada 27 Ogos, Encik Lee akan menyampaikan syarahan di Universiti Nazarbayev bertajuk “Bagaimana Singapura Membangunkan Ekonominya dan Kekal Berdaya Saing”. Beliau juga akan dianugerahkan gelaran Profesor Kehormat oleh universiti tersebut.
Encik Lee turut akan mengunjungi Muzium Negara Kazakhstan sebelum berlepas ke Uzbekistan.
