Sungguhpun peralihan pucuk pimpinan Singapura berjalan lancar sejauh ini, negara ini tidak boleh mengandaikan peralihan pemimpin akan terus berlaku dengan aman, kata Menteri Kanan, Encik Lee Hsien Loong.
Lantaran itu, Singapura perlu melakukan yang terbaik untuk memastikan sistem politik yang kini berfungsi dengan baik terus mantap, ujar beliau.
Dalam ucapan terakhirnya sebagai setiausaha agung Parti Tindakan Rakyat (PAP) kepada lebih 3,000 hadirin di Persidangan PAP pada 24 November, Encik Lee berkata peralihan pemimpin sedang berjalan lancar sejak diumumkan dalam persidangan parti itu pada 2022.
Beliau, yang bakal menyerahkan tampuk pimpinan PAP kepada timbalan setiausaha agung semasa, Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, berkata beliau menjangka tahap akhir peralihan pemimpin itu terus lancar.
Encik Lee berkata demikian sedang parti tersebut terus membuat persiapan bagi pilihan raya umum seterusnya, yang harus diadakan menjelang November 2025.
“Singapura telah melaksanakan peralihan pemimpin politik tahap tertinggi dengan teratur tiga kali berturut-turut. Tetapi kita tidak boleh mengandaikan peralihan akan kekal sedemikian.
“Lumrahnya apabila sesebuah parti mencatatkan prestasi buruk dalam pilihan raya dan hilang mandat untuk memerintah, pemimpinnya dipaksa meletak jawatan untuk bertanggungjawab.
“Kadangkala parti yang memerintah hilang sokongan umum sebelum pilihan raya diadakan, sekali gus menyebabkan Anggota Parlimen dan menteri hilang keyakinan terhadap pemimpin mereka.
“Sungguhpun tidak ada tekanan pilihan raya, terdapat puak-puak dan saingan dalam kalangan parti yang memerintah.
“Dalam kes-kes begitu, peralihan pemimpin yang menimbulkan gangguan boleh membawa kepada kegencotan, pergolakan dan ketidaktentuan,” kata Encik Lee pada persidangan di Expo Singapore itu.
Dengan peralihan kepimpinan lancar ini, Singapura dapat melakar hala tuju dan kepimpinan konsisten. Ini di samping membolehkan warganya memberi tumpuan kepada isu kompleks dan lebih bersifat jangka panjang, serta membina perkembangan konsisten setiap tahun.
“Itulah sebabnya kita harus melakukan yang terbaik untuk memastikan kemantapan sistem (yang kita ada) serta memilih pemimpin baik yang tidak mementingkan diri sendiri dan akan mempersiapkan pengganti bagi menggalas tanggungjawab tersebut apabila masanya tiba,” ujar beliau.
Sementera itu, Encik Lee berkata walaupun beliau tidak akan lagi menjadi setiausaha agung PAP, beliau ingin terus berkhidmat dalam Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) parti itu dalam peranan penasihat bagi menawarkan pengalamannya.
Encik Lee mengetuai 10 CEC – jawatankuasa tertinggi PAP – secara berturut-turut sepanjang 20 tahun lalu.
“Saya akan melakukan yang terbaik untuk menyokong setiausaha agung baru dengan menawarkan pengalaman saya.
“Pada masa sama, saya akan membantu memperkukuhkan parti dan mendapatkan sokongan warga Singapura untuk menangani masalah dan cabaran masa hadapan secara kolektif,” ujarnya.
Persidangan itu turut menyaksikan beliau dipilih sebagai anggota CEC ke-38 bagi penggal 2025-2026.
Pada 23 November, Encik Lee menerima penghormatan dalam majlis anugerah PAP atas sumbangan beliau selama 20 tahun sebagai Perdana Menteri dan membantu Singapura mengharungi beberapa cabaran besar, seperti pandemik Covid-19.
Dalam majlis itu juga, seramai 448 aktivis PAP turut diiktiraf kerana dedikasi dan sumbangan mereka kepada parti dan negara.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg