Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

SM Lee: Warga S’pura perlu terus terbuka pada pendatang, bantu jadi sebahagian rakyat negara ini

Golongan pendatang juga digesa pupuk semangat kekitaan dan hubungan harmoni dengan warga S’pura yang lahir di sini
Jan 31, 2025 | 3:59 PM
Menteri Kanan, Encik Lee Hsien Loong (tengah), disambut tetamu di Pusat Kebudayaan Cina Singapura (SCCC) pada 31 Januari.
Menteri Kanan, Encik Lee Hsien Loong (tengah), disambut tetamu di Pusat Kebudayaan Cina Singapura (SCCC) pada 31 Januari. - Foto ST

Warga Singapura harus terus membuka hati kepada pendatang baru dan membantu mereka menjadi sebahagian masyarakat Singapura, kata Menteri Kanan, Encik Lee Hsien Loong, pada 31 Januari 2025.

Berkata demikian dalam ucapannya dalam bahasa Mandarin kepada 888 tetamu yang hadir di Pusat Kebudayaan Cina Singapura (SCCC), Encik Lee juga menggesa pendatang baru turut perlu berusaha untuk menyesuaikan diri, selain menghormati dan menerima norma-norma, amalan budaya dan nilai-nilai setempat, tambah Encik Lee.

“Ini penting bagi mereka menjalin sifat tergolong dalam Singapura, dan hubungan harmoni dengan warga Singapura yang dilahirkan di sini.

“Saya telah menemui ramai daripada mereka yang menghabiskan lebih daripada sedekad di sini biasanya mempunyai pandangan dunia dan tabiat gaya hidup yang serupa dengan warga Singapura yang dilahirkan di sini.

“Justeru dengan usaha semua orang, saya yakin bahawa pendatang baru, seperti nenek moyang kita akan menjadi lebih rapat dengan Singapura, dan menambah semangat kepada masyarakat serta budaya Cina unik kita,” tambahnya.

Mengulas perubahan peranan persatuan suku di sini, SM Lee berkata persatuan sedemikian terus membantu pendatang baru berintegrasi dengan masyarakat Singapura. Sejak beberapa dekad lalu, beberapa pendatang baru juga telah menubuhkan persatuan suku mereka sendiri.

“Keperluan pendatang baru kini sangat berbeza daripada dahulu,” kata Encik Lee.

“Mereka tidak lagi memerlukan sokongan untuk keperluan asas. Sebaliknya, mereka memerlukan bantuan mengemudi budaya dan norma masyarakat kita, terutamanya dalam mempelajari cara untuk bergaul dengan kumpulan kaum lain dan menunjukkan mereka saling menghormati dan memahami.”

Sedang Persekutuan Persatuan Suku Cina Singapura (SFCCA) meraikan ulang tahunnya yang ke-40 pada 2025, SM Lee berkata salah satu keutamaannya ialah mempromosikan nilai sosial Singapura dan mengukuhkan hubungan dengan pendatang baru untuk membantu mereka menjalinkan identiti bersama.

Sementara itu, sebagai masyarakat terbesar di Singapura, masyarakat Cina telah memainkan “peranan penting dan utama” dalam membina negara ini yang berbilang kaum, kata Encik Lee.

Masyarakat tersebut sentiasa mengutamakan kepentingan negara dan kepentingan lebih besar, menyokong dasar inklusif bagi negara berbilang kaum, tambahnya.

“Sambil mengekalkan tradisi budaya mereka sendiri, mereka juga menghormati kaum dan budaya lain dan memahami bahawa untuk Singapura mencapai kestabilan dan keamanan jangka panjang, kita semua mesti berdiri sama sebagai warga Singapura,” kata SM Lee.

Encik Lee juga menyatakan bahawa budaya Cina Singapura telah mengembangkan semangat dan ciri uniknya kerana diperkaya oleh tradisi dan dipupuk dalam persekitaran pelbagai budaya.

Ramai artis tempatan telah memenangi pujian melalui ciptaan yang menunjukkan citarasa setempat yang kuat, yang telah memberikan Singapura keyakinan budaya, katanya.

SCCC telah mempromosi dan mempamerkan perkembangan budaya Cina setempat sejak penubuhannya pada 2017, tambahnya. Ini termasuk menubuhkan pameran tetap mengenai budaya Cina Singapura, yang mempunyai lebih daripada 300,000 pelawat setakat ini.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg