Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

SM Teo: Ancaman kumpulan pelampau di rantau ini masih berterusan

Kumpulan Pemulihan Keagamaan (RRG) lancarkan manual kaunseling keempat bagi tangani radikalisasi sendiri di kalangan belia
May 29, 2024 | 6:36 PM
Buku panduan keempat Kumpulan Pemulihan Keagamaan (RRG) dilancarkan Menteri Kanan, yang juga Menteri Penyelaras Bagi Keselamatan Negara, Encik Teo Chee Hean (tengah) pada 29 Mei bersama Pengerusi Bersama Kumpulan Pemulihan Keagamaan (RRG), Ustaz Mohamad Hasbi Hassan (kiri) dan Ustaz Dr Mohamed Ali (kanan).
Buku panduan keempat Kumpulan Pemulihan Keagamaan (RRG) dilancarkan Menteri Kanan, yang juga Menteri Penyelaras Bagi Keselamatan Negara, Encik Teo Chee Hean (tengah) pada 29 Mei bersama Pengerusi Bersama Kumpulan Pemulihan Keagamaan (RRG), Ustaz Mohamad Hasbi Hassan (kiri) dan Ustaz Dr Mohamed Ali (kanan). - Foto BH oleh NUR DIYANA TAHA

Kumpulan pengganas seperti Jemaah Islamiyah (JI) masih kekal menjadi ancaman berterusan di rantau Asia Tenggara, kata Menteri Kanan, Encik Teo Chee Hean, pada 29 Mei.

Semasa menyampaikan ucapan sebagai tetamu terhormat di Rahat Kumpulan Pemulihan Keagamaan (RRG) ke-19 di Shangri-La Rasa Sentosa, Encik Teo, yang juga Menteri Penyelaras bagi Keselamatan Negara, memberi contoh serangan ke atas sebuah balai polis di Ulu Tiram, Johor, pada 17 Mei, yang mengorbankan dua anggota polis dan mencederakan seorang lagi.

Walaupun pada awalnya terdapat kecurigaan yang dikaitkan dengan kumpulan JI, berdasarkan penemuan maklumat terkait JI di kediaman keluarga suspek di Ulu Tiram, namun hasil siasatan lanjut polis mengesahkan suspek yang berusia 21 tahun bukan anggota JI.

Ia kemudian dilaporkan bahawa suspek yang ditembak mati telah bertindak sendiri.

Ulu Tiram, di mana letaknya Madrasah Luqmanul Hakim, pada satu masa dulu pernah menjadi tempat berkumpul beberapa ahli kumpulan JI yang paling dikehendaki di rantau ini pada sekitar 1996 dan 1997. Mereka termasuk pemimpin JI Singapura, Mas Selamat Kastari dan Ibrahim Maidin.

“Anggota RRG mungkin akan ingat bahawa rangkaian JI di Singapura mempunyai hubungan yang kuat dengan Ulu Tiram,” ujar Encik Teo.

Pada masa sama, beliau menambah bahawa kumpulan pengganas sejagat, seperti ISIS, terus mengilhamkan serangan dan menyebarkan ideologi ganas mereka, dibantu oleh Internet dan media sosial. 

Kumpulan itu telah menyumbang kepada peningkatan dalam jumlah kes radikalisasi sendiri di Singapura, dengan 38 rakyat Singapura yang menjadi radikal secara sendiri dan ditangani di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) sejak 2015.

Antara mereka termasuk 12 belia, termasuk seorang remaja berusia 16 tahun yang telah merancang serangan terhadap masyarakat Islam di dua masjid di Singapura.

Encik Teo menyatakan golongan belia ini telah menjadi radikal dalam talian.

Dengan ancaman radikalisasi dalam talian terutama dalam kalangan belia menjadi lebih ketara, Encik Teo berkata “mungkin kita boleh menghadapi belia yang lebih muda pada masa hadapan”. 

“Golongan belia giat mencari bimbingan dan erti kehidupan. Propaganda ekstremis dan pengganas pula mudah diperolehi di dalam talian. 

“Belia menjadi radikal kerana sebab-sebab rumit, termasuk kurangnya kemahiran berfikir secara kritis, dan tekanan yang berpunca daripada keluarga atau hubungan sosial yang lain,” ujar beliau lagi.

Dalam menangani hal ini, RRG telah melancarkan buku panduan kaunseling keempat semasa rahat tersebut. 

Bertajuk ‘Manual Kaunseling dan Pementoran untuk Belia’, ia diterbitkan bagi membantu menangani keperluan yang sentiasa berterusan dalam melibatkan belia berisiko dan mereka yang telah menjadi radikal sendiri. 

Ia juga menekankan kepentingan membina keupayaan golongan kaunselor dan mentor RRG untuk bertindak balas menentang ideologi radikal di media sosial. 

Pengerusi bersama RRG, Ustaz Dr Mohamed Ali, berkongsi bahawa manual kaunseling yang pernah diterbitkan sebelum ini telah menjadi panduan yang boleh dipercayai dalam usaha pemulihan yang dijalankan kumpulan itu.

Memandangkan ancaman utama kini berpunca daripada golongan muda dan radikalisasi dalam talian, Ustaz Dr Mohamed berkata RRG menyedari keperluan menghasilkan manual keempatnya.

“Tujuan utama ‘Manual Kaunseling dan Pementoran untuk Belia’ ini adalah untuk meningkatkan kesedaran terhadap evolusi berterusan yang diperlukan dalam proses kerja kami untuk melibatkan belia berisiko dan mereka yang telah menjadi radikal ini dengan lebih berkesan,” tambah beliau.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg