Mengenakan penalti kewangan ke atas agensi awam “tidak akan bermakna”, kata Menteri Kanan, Encik Teo Chee Hean, dalam kenyataan menteri pada 6 Mac berhubung pendedahan awam nombor penuh Kad Pengenalan Pendaftaran Nasional (NRIC) di portal Bizfile milik Penguasa Pengawalan Perakaunan dan Korporat (Acra) pada Disember 2024.
Dari 9 hingga 13 Disember, nombor penuh NRIC sebilangan individu telah didedahkan di portal Bizfile milik Acra.
Pendedahan itu bertentangan dengan garis panduan pemerintah dalam Manual Arahan bagi Pengurusan Teknologi Infokom dan Sistem Pintar.
Di bawah Akta Perlindungan Data Peribadi (PDPA), entiti sektor swasta akan dikenakan penalti kewangan jika didapati melanggar langkah perlindungan data peribadi.
Namun, Akta Sektor Awam (Tadbir Urus) (PSGA) – yang mengawal selia cara agensi awam melindungi data peribadi – tidak mengenakan penalti serupa, lapor The Straits Times (ST).
Ini kerana “kos sebarang penalti kewangan akhirnya perlu ditanggung oleh dana awam, jika anda kenakan penalti kewangan ke atas agensi awam”, kata SM Teo.
Sebaliknya, “tindakan sewajarnya” akan diambil terhadap pegawai yang bertanggungjawab, selaras dengan pertimbangan yang diambil ketika PSGA dibentuk.
Ini termasuk pegawai yang terlibat secara langsung dalam kecuaian tersebut, serta pihak pengurusan atasan yang memantau mereka.
Tindakan yang boleh dikenakan meliputi kaunseling dan latihan semula, hingga penurunan dalam gred prestasi – yang akan memberi kesan kepada gaji.
Menteri yang menyelia Acra dan inisiatif Negara Bijak yang juga Menteri Kedua Kewangan, Cik Indranee Rajah; dan Menteri Penerangan dan Pembangunan Digital, Cik Josephine Teo, bertanggungjawab secara keseluruhan terhadap organisasi di bawah tanggungjawab mereka, kata SM Teo.
“Perdana Menteri (Encik Lawrence Wong) akan mempertimbangkan insiden ini dalam penilaiannya terhadap para menteri,” jelas SM Teo.
Beliau turut menegaskan bahawa panel semakan yang mengeluarkan hasil penemuan pada 3 Mac, bukan sebahagian daripada proses disiplin.
“Walaupun laporan panel ini menjadi rujukan, sebarang tindakan disiplin – jika perlu dikenakan terhadap seseorang pegawai – perlu dilaksanakan mengikut rangka kerja dan proses berkaitan dalam agensi awam masing-masing,” tambahnya.
“
“Walaupun laporan panel ini menjadi rujukan, sebarang tindakan disiplin – jika perlu dikenakan terhadap seseorang pegawai – perlu dilaksanakan mengikut rangka kerja dan proses berkaitan dalam agensi awam masing-masing.”Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg