Kepercayaan terhadap perkhidmatan awam adalah penting, dan mengekalkan kepercayaan tersebut adalah perkara utama dalam cara pemerintah beroperasi, kata Menteri Kanan, Encik Teo Chee Hean.
“Apabila sesuatu yang salah berlaku, kami bersikap terbuka tentang kegagalan kami.
“Kami lakukan semakan menyeluruh dan perbaiki sistem serta proses untuk berkhidmat dengan lebih baik kepada rakyat, sambil kekal adil kepada pegawai kami,” kongsi Encik Teo dalam kenyataan menteri mengenai pendedahan nombor NRIC di portal perniagaan pemerintah Bizfile, di Parlimen pada 6 Mac.
Kenyataan ini dibuat selepas panel semakan menyiasat insiden pada 9 Disember 2024 itu mendapati kelemahan dalam proses dan komunikasi antara Penguasa Pengawalan Perakaunan dan Korporat (Acra) dengan Kementerian Penerangan dan Pembangunan Digital (MDDI).
Pegawai dan pengurusan atasan yang terlibat dalam kesilapan yang menyebabkan pendedahan nombor NRIC penuh di portal itu mungkin menghadapi pelbagai “tindakan yang sesuai”, termasuk kaunseling, latihan semula, pengurangan gred prestasi dan pembayaran berdasarkan prestasi, kata Encik Teo.
Walaupun tiada kesalahan secara sengaja oleh pegawai terlibat, beliau menambah “terdapat kekurangan dalam pertimbangan dan tindakan mereka”.
Menurut Encik Teo, pegawai politik yang mengawasi Acra dan usaha Negara Bijak di MDDI – Menteri Penerangan dan Pembangunan Digital, Cik Josephine Teo, dan Menteri di Pejabat Perdana Menteri yang juga Menteri Kedua (Kewangan merangkap Pembangunan Negara), Cik Indranee Rajah, telah mengambil tanggungjawab sepenuhnya dan memohon maaf.
“Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, akan mengambil kira kejadian ini dalam penilaiannya terhadap menteri-menteri,” katanya yang juga Menteri bertanggungjawab Tadbir Urus Data Sektor Awam. Beliau telah menerima dapatan semakan itu pada 25 Februari dan melaporkannya kepada Perdana Menteri Wong pada keesokan hari.
Setiausaha Tetap Pejabat Negara Bijak dan Pemerintah Digital (SNDGO) (kini di bawah MDDI) bertanggungjawab melaksanakan dasar itu, manakala ketua eksekutif Acra, Cik Chia-Tern Huey Min, bertanggungjawab untuk reka bentuk dan pelaksanaan portal Bizfile yang baru itu.
Encik Teo berkata perkhidmatan awam memastikan pegawainya mempunyai piawai kelakuan yang tinggi.
“Rakyat Singapura berhak mendapatkannya, dan menjangkakannya,” kata beliau.
“Disebabkan julat dan kerumitan perkhidmatan awam dari masa ke masa, kesilapan mungkin berlaku. Jika ada salah laku atau niat jahat, kami akan menanganinya dengan tegas dan mereka yang terlibat akan dihukum.”
Beliau menambah bahawa seluruh perkhidmatan awam perlu mengambil pengajaran daripada insiden itu.
Panel semakan, yang diketuai oleh Ketua Perkhidmatan Awam Encik Leo Yip, mendapati terdapat kelemahan seperti masalah keselamatan di Acra yang melanggar peraturan pengurusan data dalaman pemerintah dan komunikasi yang tidak jelas antara Acra dengan MDDI.
Panel itu juga mengkritik komunikasi awam agensi dan respons mereka terhadap kebimbangan awam, yang menurutnya sepatutnya diselaraskan dengan lebih baik dan lebih jelas.
“Setelah difikirkan semula, pemerintah sepatutnya menjelaskan kepada orang ramai pada awalnya bahawa peralihan daripada penggunaan nombor NRIC separa tidak secara automatik bermakna menggunakan nombor NRIC penuh dalam setiap kes, atau mendedahkannya secara besar-besaran,” kata panel itu.
Dengan berkongsi nombor NRIC penuh, Acra juga didapati telah melanggar kod dalaman pemerintah, dipanggil IM8, yang merupakan satu set arahan yang mengawal cara agensi awam menggunakan dan mendedahkan data rakyat.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg