Sokongan masyarakat telah membolehkan pemerintah menangani pengganasan dan punca individu jadi radikal di Singapura di setiap peringkat, kata Menteri Kanan, Encik Teo Chee Hean.
Ini termasuk melindungi masyarakat lebih luas daripada ideologi pelampau, mengesan individu radikal lebih awal serta memberi sokongan pemulihan dan penyertaan semula dalam masyarakat kepada individu dan keluarga, beliau menambah.
“Perkara paling penting yang kita miliki ialah perkongsian amat kuat antara masyarakat dengan pemerintah,” ujar Encik Teo, yang juga Menteri Penyelaras bagi Keselamatan Nasional.
“Perkara ini tiada di banyak negara lain. Di beberapa negara, ini disebabkan undang-undang mereka tidak membenarkannya; mereka tidak membenarkan negara bekerjasama dengan penguasa agama.
“Dan di beberapa negara lain pula, masyarakat enggan bekerjasama dengan pemerintah, biasanya kerana ada sifat kurang percaya antara masyarakat dan pihak berkuasa,” kata Encik Teo lagi.
Beliau turut berkata pendekatan seluruh masyarakat untuk memerangi pengganasan dan ideologi pelampau di Singapura unik dan berkesan.
Encik Teo berkata demikian di Majlis Makan Tengah Hari bagi Menghargai Relawan Masyarakat Kementerian Ehwal Dalam Negeri (MHA) ke-18 yang diadakan di Hotel ParkRoyal Collection Marina Bay pada 28 September.
Acara itu dihadiri sekitar 400 tetamu termasuk ahli Kumpulan Pemulihan Keagamaan (RRG) dan Kumpulan Penjagaan Lanjut Antara Agensi (ACG) serta pemimpin beberapa pertubuhan Melayu/Islam seperti Yayasan Mendaki, AMP Singapura dan Persatuan Pemudi Muslim Singapura (PPIS).
Dalam ucapannya, Encik Teo memberitahu mereka:
“Sumbangan anda amat penting untuk memastikan Singapura dan warga Singapura terus selamat dan terjamin... sedang landskap ancaman berubah dari segi bentuk dan kesungguhannya.”
Sementara itu, Encik Teo berkata peperangan yang sedang berlaku di Timur Tengah telah menyemarak kesungguhan dan mencetus pelampau menjadi radikal di kededua ekstrem.
Beliau berkata, walau warga Singapura telah memberi respons secara belas kasihan dan murah hati kepada kesengsaraan manusia akibat peperangan itu, negara ini tetap terdedah kepada usaha kumpulan pelampau yang mengambil kesempatan peluang tersebut untuk menjadikan radikal rakyat Singapura.
Memberi contoh, Encik Teo menampilkan dua kes warga Singapura – seorang wanita bekas penjawat awam dan remaja berusia 14 tahun – yang menjadi radikal sendiri kerana terpengaruh dengan bahan dalam talian berhubung peperangan di Timur Tengah.
“Adalah membimbangkan, mereka menjadi radikal dalam tempoh kurang beberapa bulan,” ujar Encik Teo, yang turut menyuarakan keperihatinan mengenai jumlah kes menjadi radikal sendiri melibatkan orang muda.
Sejak 2015, 13 daripada 20 kes menjadi radikal sendiri yang ditangani Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) melibatkan warga Singapura berusia 20 tahun atau lebih muda.
Ini termasuk remaja Kristian berusia 16 tahun yang menjiwai ideologi pelampau dan merancang untuk menyerang Muslim di dua masjid di Singapura.
Encik Teo berkata landskap ancaman pengganasan yang terus berubah memerlukan respons yang turut berubah.
Beliau memberi contoh usaha RRG menawarkan sokongan pemulihan untuk orang muda dan penerbitan manual kaunseling keempat awal 2024 yang memberi tumpuan kepada kaunseling dan pementoran belia.
ACG juga telah memainkan peranan penting dalam respons seluruh negara untuk membantu orang yang menjadi radikal sendiri dan keluarga mereka menyertai semula masyarakat selepas menjalani pemulihan, kata Encik Teo.
Dalam pada itu, buku dalam bahasa Inggeris bertajuk Serving with a Heart: Securing the Nation yang diterbikan Taman Bacaan telah dilancarkan di majlis itu demi memperingati ulang tahun ke-20 ACG.
Buku itu berfungsi sebagai peringatan tentang peranan penting masyarakat dalam membina kepercayaan dan mengukuhkan usaha memerangi pengganasan di Singapura, kata presiden Taman Bacaan, Encik Abdul Halim Kader.
“Inilah kali pertama kami menghimpunkan karyawan dan pemimpin Melayu/Islam untuk menyumbang karya mereka berdasarkan tajuk-tajuk yang kami berikan kepada mereka.”
Menurut Encik Halim, Taman Bacaan telah bekerjasama rapat dengan ACG untuk menentukan setiap artikel yang dimuatkan dalam buku 15 bab itu boleh dimanfaatkan sebaik mungkin.
Bab pertama bertajuk, ‘Role of Community and Religious Leaders in Preserving Social Cohesion and Resilience in Singapore,’ ditulis oleh Mufti Dr Nazirudin Mohd Nasir
Encik Teo berkata: “Buku ini adalah bukti usaha masyarakat Melayu-Islam sejauh ini untuk menggalakkan perpaduan sosial dan secara kolektif memberi respons kepada ancaman pengganasan dan ekstremisme di Singapura.”
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg