Saya berterima kasih kepada Mendaki dan Pertubuhan Melayu/Islam (MMO) kita kerana menganjurkan majlis makan malam penghargaan ini.
Saudara-saudari sekalian,
Saya sangat berbesar hati dapat menghadiri jamuan penghargaan, malam ini.
Terima kasih kerana menyiapkan video dengan kata-kata hangat daripada mereka yang ditemu bual termasuk Menteri Masagos.
Juga Cikgu Hawazi Daipi yang banyak membantu memperhalusi ucapan Bahasa Melayu saya bagi Rapat Umum Hari Kebangsaan tahun demi tahun.
Terima kasih juga kepada Dr Iskandar Jalil, untuk arca anda yang cantik sekali.
Baru-baru ini, saya membaca semula buku kompilasi mesej penghargaan dan ucapan tahniah masyarakat Melayu/Islam.
Ia dihadiahkan kepada saya, 20 tahun lalu, ketika saya baru menjadi Perdana Menteri.
Mesej-mesej tersebut sangat menyentuh hati dan mengimbau kembali kerjasama saya dengan pemimpin Melayu/Islam termasuk dalam kalangan anda yang hadir.
Salah satu mesej datang daripada seorang pegawai muda.
Beliau menulis: “Majulah Singapura dengan daya ekonomi lebih bertenaga, perpaduan sosial yang kukuh, serta lebih prihatin terhadap golongan warga emas dan memberi komitmen kepada aspirasi generasi muda kita.”
Dua dekad sudah berlalu. Sepanjang dua dekad ini, masyarakat Melayu/Islam terus bekerjasama dengan Pemerintah untuk menjadikan harapan tersebut satu kenyataan.
Pegawai Muis yang menulis kepada saya 20 tahun lalu itu ialah Ustaz Dr Nazirudin Mohd Nasir, kini Mufti Singapura.
Saya yakin Mufti pasti setuju kemajuan yang baik sudah dicapai dalam segala bidang tersebut.
Malam ini, saya ingin menyentuh tiga ciri masyarakat Melayu/Islam yang boleh kita banggakan.
Pertama, masyarakat Melayu/Islam boleh berbangga dengan kemajuan cemerlang dalam usaha anda untuk membentuk Masyarakat Gemilang.
Misalnya, lebih ramai pekerja Melayu kini menceburi sektor sedang berkembang.
Dari 2000 hingga 2020, pekerja Melayu dalam jawatan PMET (karyawan, pengurus, eksekutif dan teknisyen) meningkat daripada 23.4 peratus kepada 39.0 peratus.
Dalam pendidikan pula, peratusan graduan universiti Melayu meningkat lima kali ganda, daripada 2.1 peratus kepada 10.8 peratus.
Nisbah belia Melayu lulus posmenengah atau lebih tinggi, juga meningkat daripada sekitar 30 peratus kepada 80 peratus.
Muis, dengan sokongan anda, juga berjaya meningkatkan mutu pendidikan madrasah melalui Skim Madrasah Bersama (JMS).
Semua ini hasil usaha gigih badan Melayu/Islam termasuk AMP, PPIS (Persatuan Pemudi Islam Singapura), 4PM (Persatuan Persuratan Pemuda Pemudi Melayu), Muhammadiyah dan lain-lain.
Usaha mereka saling melengkapi inisiatif agensi M3 (M Kuasa Tiga), iaitu Mendaki, Mesra, dan Muis serta Pemerintah. Saya gembira wakil badan-badan ini, hadir malam ini.
Atas kerja keras anda semua, terima kasih!
Kedua, masyarakat Melayu/Islam telah berperanan penting dalam mengekalkan keharmonian kaum dan agama.
Singapura negara sekular, tetapi kita juga berbangga dengan identiti berbilang kumpulan etnik dan agama kita.
Masyarakat Melayu/Islam telah lama memahami peri pentingnya keharmonian kaum dan agama, serta memainkan peranan anda untuk memelihara dan memperkukuhkannya.
Dengan kesederhanaan, bertolak ansur dan membina jambatan dengan kumpulan lain, masyarakat Melayu/Islam berjaya mengamalkan tuntutan agama anda dengan yakin dan harmoni.
Usaha ini terbukti genting ketika menangani isu-isu rumit dan sensitif bersama.
Contohnya, penutupan masjid semasa pandemik, pemakaian tudung untuk jururawat, atau pemansuhan Seksyen 377A.
Ada juga isu luar negara yang mencetuskan kebimbangan dan menjejas kita.
Terbaru, konflik Israel-Hamas.
Masyarakat Melayu/Islam terutamanya, turut sangat terkesan dengan nasib mangsa konflik tersebut, namun berjaya menanganinya dengan penuh kematangan.
Anda mempertahankan nilai dan pandangan anda, sambil mengiktiraf dan menghormati pendapat pihak lain.
Bagi pihak Pemerintah, kami mendekati pelbagai kumpulan supaya kami benar-benar faham pandangan mereka dalam perkara sensitif.
Begitulah juga apabila menghadapi ancaman pengganasan, terutamanya daripada Jemaah Islamiyah (JI) sejak sekitar 2000.
Saya amat berterima kasih kepada sekumpulan asatizah yang berani tampil untuk mengecam dan menangkis fahaman tafsiran ajaran Islam radikal.
Asatizah perintis ini, kemudian mengasaskan Kumpulan Pemulihan Keagamaan (RRG).
RRG berperanan penting demi mengelakkan masyarakat Melayu/Islam daripada terpesong dan berpecah-belah.
Julai lalu, JI mengumumkan pembubaran mereka.
Namun ancaman pengganas ekstremis Islam masih wujud. Oleh itu, RRG akan terus memainkan peranan penting.
Ini membawa saya kepada perkara ketiga, mengenai kepimpinan.
Kejayaan RRG, sebahagian besarnya hasil kepimpinan teguh pemimpin seperti Ustaz Hasbi Hassan dan Almarhum Ustaz Ali Haji Mohamed.
Mereka mengasaskan RRG secara bersama, pada 2003, untuk memerangi fahaman Islam melampau.
Kita sangat beruntung kerana memiliki barisan asatizah yang berwibawa, dihormati dan progresif.
Mereka telah membentuk masyarakat Islam Singapura sederhana, terangkum serta berpandangan jauh.
Dalam bidang lain juga, pemimpin Melayu/Islam memainkan peranan sebagai pemangkin, dan menjadi peran contoh semangat gotong-royong.
Pemimpin, karyawan, dan belia yang berjaya, tampil membantu golongan yang memerlukan, mencapai aspirasi masing-masing.
Malah sekumpulan pemimpin ini, kemudian menggalas tanggungjawab politik.
Sepanjang tempoh saya sebagai Perdana Menteri, saya bernasib baik kerana mendapat sokongan padu pemimpin Melayu/Islam yang berkebolehan dan penuh berdedikasi.
Mereka mempunyai tugas sukar – membantu masyarakat Melayu/Islam maju, dan pada masa yang sama, mewakili semua pengundi mereka.
Para Menteri dan Anggota Parlimen Melayu/Islam pasukan saya menunjukkan keberanian dan keyakinan, iltizam serta daya tahan sangat mendalam.
Inilah yang membolehkan model berbilang kaum dan meritokrasi Singapura berjaya, dalam rantau majoriti penduduk Melayu beragama Islam.
Saya harap masyarakat Melayu/Islam akan terus maju, mencapai puncak kecemerlangan yang baru.
Lebih penting, semoga anda terus memupuk semangat bersatu padu dan kewarganegaraan kukuh.
Bak pepatah Melayu, “Bulat air kerana pembetung, bulat manusia kerana muafakat.”
Secara peribadi, saya sangat menghargai peluang istimewa bekerjasama dengan pemimpin Melayu/Islam, khususnya bagi isu sensitif dan penting.
Saya terlibat dalam banyak sesi perbincangan bersama pemimpin anda.
Saya juga masih ingat dengan jelas, banyak acara dan kegiatan masyarakat yang saya hadiri, tahun demi tahun.
Contohnya, Anugerah Mendaki, persembahan kebudayaan seperti Gentarasa, acara akar umbi Melayu di kawasan undi saya, majlis buka puasa di masjid, serta Bazar Hari Raya Geylang Serai.
Inilah cara kita di Singapura – berusaha memperkasa setiap kumpulan masyarakat sambil menyatupadukan semua.
Izinkan saya akhiri dengan serangkap pantun:
Masyarakat Melayu berkembang pesat,
Hasil kerjasama kuat dan erat,
Kita bersatu, hasrat sepakat,
Masyarakat Gemilang, visi terpahat.
Dengan tulus ikhlas, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada semua atas sokongan, kepercayaan dan persahabatan anda.
Bersama Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, dan masyarakat kita bersatu padu, saya yakin Singapura akan terus maju jaya bagi masa depan lebih cerah untuk semua.
Terima kasih!
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg