Topik diikuti
Pergi ke BHkuSME terima geran hingga $2,500 bantu urus tekanan kos meningkat
SME terima geran hingga $2,500 bantu urus tekanan kos meningkat
15,200 gerai makanan, pasar bakal terima bantuan sewa $600
SME terima geran hingga $2,500 bantu urus tekanan kos meningkat
Syarikat kecil dan sederhana (SME) aktif yang mempunyai sekurang-kurangnya seorang pekerja tempatan layak menerima geran $500 bagi setiap pekerja tempatan, yang dibataskan kepada $2,500 bagi setiap syarikat, pada November.
Geran tersebut adalah sebahagian sokongan pemerintah untuk membantu SME menguruskan kos mereka dengan lebih baik, umum Menteri Negara Kanan (Perdagangan dan Perusahaan merangkap Kebudayaan, Masyarakat dan Belia), Cik Low Yen Ling, dalam satu sidang media pada 29 Julai.
Sebagai sebahagian pakej sokongan kedua bernilai $900 juta, Cik Low menambah bahawa bantuan sewa juga akan diberikan kepada pegerai pasar dan pusat penjaja yang diuruskan pemerintah dan pengendali yang dilantik pemerintah.
Selain itu, Skim Pembiayaan Perusahaan (EFS) juga akan dipertingkatkan dari September 2026 hingga Mac 2027.
Ia bagi meningkatkan akses kepada pembiayaan bagi perusahaan tempatan di tengah-tengah tekanan kos.
Dalam sidang media yang sama, Menteri Pengangkutan merangkap Menteri Kedua (Kewangan), Encik Jeffrey Siow, menjelaskan perusahaan lebih terdedah kepada gangguan bekalan dan kos tenaga, khususnya SME, dan merasai tekanan kos dengan lebih ketara.
Justeru itu, Encik Siow berkata “pemerintah akan menyediakan pakej langkah bantuan kedua untuk menyokong isi rumah dan perniagaan mengharungi tempoh ketidakpastian ini”.
Pakej sokongan pertama termasuk agihan baucar Majlis Pembangunan Masyarakat (CDC) bernilai $500 lebih awal, dan Bayaran Khas Kos Sara Hidup yang dipertingkat untuk semua rakyat Singapura.
Ia juga merangkumi, antara lain, wang tunai $200 untuk pekerja platform, pemandu kenderaan sewa peribadi, dan pemandu teksi.
Menjelaskan lanjut Cik Low berkata: “Dalam ucapannya, Menteri (Jeffrey) Siow berkongsi bahawa inflasi dijangka kekal tinggi sehingga tahun hadapan (2027).
“Berdasarkan keadaan ini, kami akan meningkatkan sokongan kepada perniagaan, khususnya SME.
“Kami berbuat demikian kerana memahami bahawa ramai peniaga bimbang dengan peningkatan kos operasi dan aliran tunai.
“Kami berhasrat untuk membantu mereka menguruskan kos dengan lebih baik dalam tempoh terdekat, sambil memberi sokongan yang diperlukan untuk membuat penyesuaian perniagaan bagi jangka panjang.”
Dalam pada itu, perniagaan persendirian (sole proprietorship), perkongsian, dan perkongsian liabiliti terhad yang layak dengan sekurang-kurangnya seorang pemilik perniagaan tempatan tanpa pekerja tempatan juga akan menerima geran pada kadar tetap sebanyak $500.
Di samping itu, Cik Low menambah bahawa bantuan sewa akan diberikan kepada pegerai pasar dan pusat penjaja yang diuruskan pemerintah dan pengendali yang dilantik pemerintah.
Bantuan sewa $1,200 akan diberikan kepada setiap pegerai makanan manakala setiap pegerai pasar akan menerima $600, yang diagihkan sepanjang tempoh enam bulan dari September 2026 hingga Februari 2027.
Cik Low, yang juga Pengerusi Jawatankuasa Mayor, menerangkan pemerintah menjangkakan sebanyak 15,200 gerai akan meraih manfaat daripada bantuan sewa – 6,900 gerai makanan dan 8,300 gerai pasar.
“Sokongan sewa ini kami jangkakan akan membantu peniaga gerai, sama ada peniaga gerai pasar mahupun peniaga gerai makanan, untuk mengurangkan peningkatan kos bahan mentah, pembungkusan, serta utiliti, seperti yang telah kami nyatakan.
“Ini adalah tiga perkara yang telah mereka tekankan kepada kami sepanjang sesi interaksi dan perbualan dalam beberapa bulan kebelakangan ini,” ujar Cik Low.
Selain itu, Skim EFS juga akan dipertingkatkan.
Pertama, bagi Pinjaman Modal Kerja SME-EFS, yang menyokong keperluan aliran tunai operasi SME, pemerintah akan meningkatkan perkongsian risikonya daripada 50 peratus kepada 70 peratus.
Kedua, bagi Pinjaman Projek EFS (EFS-PL), yang menyediakan pembiayaan bagi projek luar negara yang mempunyai cagaran, pemerintah akan meningkatkan perkongsian risikonya daripada 50 peratus kepada 70 peratus.
Skim EFS-PL juga akan diperluas untuk menyokong projek dalam negara yang dilaksanakan oleh syarikat pembinaan tempatan.
“Kami sedang memantau dengan teliti perkembangan perniagaan, dan bersedia untuk menyediakan sokongan tambahan yang disasarkan apabila diperlukan, mengikut perkembangan keadaan,” jelas Cik Low.
“
Sokongan sewa ini kami jangkakan akan membantu peniaga gerai, sama ada peniaga gerai pasar mahupun peniaga gerai makanan, untuk mengurangkan peningkatan kos bahan mentah, pembungkusan, serta utiliti, seperti yang telah kami nyatakan. Ini adalah tiga perkara yang telah mereka tekankan kepada kami sepanjang sesi interaksi dan perbualan dalam beberapa bulan kebelakangan ini...”