Syarikat pengendali rel SMRT telah membentuk sebuah kumpulan kerja baru yang akan menjalankan semakan demi memastikan mereka dapat menyediakan perkhidmatan rel yang selamat dan boleh dipercayai.
Dipanggil Kumpulan Kerja Semakan Keselamatan dan Kebolehpercayaan Rel Tiga Pihak, ia akan menilai sistem dan proses dalam bidang seperti pengurusan kitaran hayat, pembaharuan aset, peningkatan sistem, dan amalan penyenggaraan dalam ekosistem MRT.
Mengumumkan demikian dalam satu hantaran di Facebook pada 1 November, SMRT menyatakan langkah itu diambil menyusuli gangguan enam hari di Laluan Timur-Barat (EWL) kendaliannya pada September, yang menjejas sekitar setengah juta penumpang sehari.
Syarikat pengendali rel itu berkata keutamaan mereka ialah “menyediakan perkhidmatan rel selamat dan boleh dipercayai yang menggerakkan orang dan mempertingkat gaya hidup”.
Ia menambah bahawa sejak 2019, kesemua laluan MRT telah secara konsisten mencapai sasaran satu juta purata kilometer (km) antara gangguan (MKBF).
Kumpulan kerja tiga pihak itu akan dipengerusikan Presiden SMRT Trains, Encik Lam Sheau Kai, dengan Timbalan Ketua Eksekutif bagi Prasarana dan Pembangunan, Penguasa Pengangkutan Darat (LTA), Encik Yee Boon Cheow, sebagai pengerusi bersama.
“Kumpulan kerja ini akan merangkumi pakar daripada SMRT sebagai pengendali, LTA sebagai pemilik aset rel, dan wakil Kesatuan Pekerja Pengangkutan Kebangsaan,” kata SMRT.
Sebagai sebahagian semakan yang akan dijalankan, kumpulan kerja itu akan melakukan latihan penanda aras bersama dua syarikat rel – Guangzhou Metro Corporation dan Taipei Rapid Transit Corporation.
Ini akan membolehkan mereka bertukar pandangan, kata SMRT, dan meletakkan dua syarikat rel utama itu, yang mempunyai rekod keselamatan dan kebolehpercayaan bertaraf dunia, sebagai standard tanda aras.
“Sejajar dengan budaya Kaizen kami, SMRT kekal komited membuat peningkatan berterusan – kaizen dalam keselamatan, kebolehpercayaan dan kemampanan – demi manfaat penumpang dan pekerja kami.
“Kami mengucapkan terima kasih kepada pihak berkepentingan atas sokongan berterusan, sedang kami berusaha mengekalkan sasaran 1 juta MKBF,” kata SMRT.
Budaya kaizen merujuk kepada strategi apabila pekerja pada setiap peringkat syarikat bekerjasama secara proaktif untuk memberi tumpuan kepada peningkatan berterusan.
Dalam satu hantaran di Facebook, Setiausaha Eksekutif Kesatuan Pekerja Pengangkutan Kebangsaan (NTWU), Encik Melvin Yong, melahirkan rasa senangnya menyertai kumpulan kerja itu.
“Kami yakin pendekatan tiga pihak penting bagi menangani kebimbangan keselamatan dan berkesan sedang ia mengambil kira pandangan semua pihak berkepentingan bagi membawa hasil saling menguntungkan,” katanya.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg