Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) akan mengenakan hukuman ke atas pengendali rel, SMRT, sekiranya siasatan terhadap gangguan enam hari di Laluan Timur-Barat (EWL) pada September yang menjejas sekitar setengah juta penumpang sehari itu mendedahkan kesilapan.
Menteri Pengangkutan, Encik Chee Hong Tat, berkata demikian dalam kenyataan menteri yang disampaikan di Parlimen pada 15 Oktober, bagi menjawab 31 soalan parlimen yang difailkan oleh 21 Anggota Parlimen (AP) mengenai kejadian yang berlaku dari 25 hingga 30 September itu.
Encik Chee, yang meminta maaf sekali lagi di atas kesulitan besar ekoran kejadian itu, memberi jaminan bahawa rangkaian pengangkutan awam Singapura, dengan enam laluan MRT dan bilangan bas yang cukup besar, lebih berdaya tahan dan lebih berupaya menangani gangguan.
Ini telah membolehkan pilihan perjalanan alternatif ditawarkan yang membolehkan kebanyakan penumpang meneruskan perjalanan mereka, walaupun dengan masa perjalanan yang lebih panjang.
Menyifatkan kejadian itu sebagai satu kegenjotan, Encik Chee berkata warga Singapura amat prihatin tentang keselamatan, kebolehpercayaan dan daya tahan sistem MRT.
“Ini juga keutamaan kami. Sedang kami melakukan yang terbaik untuk mengelakkan gangguan, insiden mungkin masih berlaku dari masa ke semasa. Apa yang penting ialah bagaimana kita bertindak balas terhadap insiden itu dan bagaimana kita belajar daripadanya untuk mengukuhkan daya tahan kita terhadap gangguan masa depan,” katanya.
Gangguan itu, antara yang paling teruk menjejas sistem MRT Singapura dalam sejarah 37 tahunnya, menjejas sekitar 500,000 daripada 2.8 juta perjalanan kereta api sehari. Ia melumpuhkan perkhidmatan antara stesen Jurong East dengan Buona Vista.
Gangguan pada 25 September itu bermula dengan kereta api Kawasaki Heavy Industries (KHI) generasi pertama yang mengalami kerosakan sekitar 9 pagi ketika dalam perjalanan ke arah timur berhampiran stesen Clementi.
Encik Chee berkata asap dikesan dari kereta api itu dan SMRT menghentikan kereta api yang rosak itu di stesen Clementi supaya penumpang boleh turun. Kereta api itu kemudian diarahkan kembali ke Depoh Ulu Pandan.
Ketika bergerak ke arah barat antara Dover dengan Clementi, sebuah kotak gandar terkeluar dari bogi salah satu gerabak kereta api, menyebabkan roda bogi terlepas dari rel.
Bagaimanapun, memandangkan 11 bogi kereta api yang lain kekal di landasan, kereta api itu dapat meneruskan perjalanan selama beberapa minit melepasi Clementi, kata Encik Chee.
Berdasarkan penilaian awal, ini menyebabkan kerosakan pada trek sepanjang 2.55 kilometer, serta peralatan tepi landasan seperti kabel kuasa dan rel ketiga, yang membekalkan kuasa kepada kereta api.
Kerosakan itu mencetuskan gangguan kuasa di sepanjang beberapa bahagian EWL sekitar 9.25 pagi, menyebabkan empat lagi kereta api yang berada di antara stesen Clementi dengan Buona Vista terhenti.
Siasatan terhadap gangguan itu dijangka selesai dalam beberapa bulan, kata LTA pada awal Oktober, sambil menambah bahawa ia akan mendedahkan dapatan itu kepada umum.
Menurut Encik Chee, sebagai pengawal selia, LTA mengenakan piawaian keselamatan yang sejajar dengan amalan terbaik antarabangsa.
Pengendali yang tidak memenuhi piawaian itu akan dikenakan penalti dan menghadapi syarat kawal selia tambahan dan pemantauan jika perlu.
LTA juga mengenakan piawaian prestasi penyelenggaraan sebagai sebahagian daripada syarat pelesenan relnya dan terdapat audit oleh penilai luar bebas.
Encik Chee berkata sistem pengangkutan awam dapat bertahan sepanjang gangguan itu hasil usaha pengendali bas dan kakitangan di lapangan,dan pengembangan yang dirancang kepada rangkaian rel sepanjang dekad akan datang akan meningkatkan lagi daya tahan sistem tersebut.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg