Topik diikuti
Pergi ke BHkuSMRT Buses kendali 26 khidmat bas Eunos–Serangoon mulai Jun 2027
SMRT Buses kendali 26 khidmat bas Eunos–Serangoon mulai Jun 2027
SMRT Buses kendali 26 khidmat bas Eunos–Serangoon mulai Jun 2027
Mulai 13 Jun 2027, SMRT Buses akan mengendalikan 26 perkhidmatan bas di Eunos dan Serangoon dari Depoh Bas Kim Chuan yang baharu.
Di bawah kontrak baharu selama lima tahun, SMRT Buses turut menguruskan Pusat Pertukaran Bas Eunos, Serangoon dan Woodleigh, serta Terminal Bas Sims Place.
Perkhidmatan tersebut termasuk bas 11, 53, 90, 101, 146 dan 317.
SMRT Buses akan mengambil alih operasi bas Serangoon–Eunos daripada SBS Transit (SBST), yang mengendalikannya sejak 2016.
SMRT Buses memenangi tender dengan tawaran $599.5 juta, iaitu tawaran terendah daripada tiga pengendali yang mengambil bahagian.
SBST mengemukakan tawaran asas $635.2 juta serta tawaran kedua $630.3 juta, manakala Tower Transit Singapore menawarkan $644.6 juta dan $639.3 juta.
Tender dinilai melalui proses dua sampul, dengan cadangan dinilai terlebih dahulu sebelum tawaran harga.
Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) pada 16 Julai, berkata SMRT Buses dianugerahkan kontrak itu selepas memperoleh markah keseluruhan tertinggi bagi cadangannya serta menawarkan penjimatan kos berbanding kontrak semasa. LTA memberi penekanan kepada mutu cadangan, khususnya keupayaan dalam operasi dan penyelenggaraan bas elektrik berikutan pelaksanaan besar-besaran bas elektrik di bawah pakej ini.
Perkhidmatan bas Eunos–Serangoon akan dikendalikan menggunakan kira-kira 410 bas, namun jumlah bas elektrik tidak didedahkan.
Menurut LTA, SMRT Buses akan memperkenalkan langkah pengambilan tenaga kerja, termasuk bonus penyertaan yang tinggi dan tajaan lesen memandu, bagi menarik lebih ramai kapten bas tempatan.
Pengendali itu juga akan meningkatkan keselamatan dan penyelenggaraan melalui teknologi pengesanan keletihan berasaskan kecerdasan buatan (AI), selain mempercepatkan penyelesaian kerosakan dan kerja penyelenggaraan.
SMRT Buses akan meningkatkan pengalaman penumpang melalui program masyarakat mengikut keperluan setempat, termasuk mengetengahkan warisan Kampung Eunos serta memperluaskan program piano masyarakat dan persembahan jalanan di Woodleigh.
Kakitangan SBST di bawah pakej ini akan ditawarkan pekerjaan oleh SMRT Buses dengan syarat pekerjaan dan imbuhan yang setara.
Mereka juga boleh memilih untuk ditempatkan semula oleh SBST jika berkemampuan.
SBST kini mengendalikan tujuh pakej bas di seluruh Singapura, manakala SMRT akan mengendalikan empat pakej selepas pengambilalihan pada Jun 2027.
SMRT Buses akan menerima bayaran $599.5 juta daripada LTA sepanjang kontrak, namun jumlah itu boleh diselaraskan mengikut inflasi, gaji, kos bahan api, perubahan perkhidmatan dan bayaran insentif. Kontrak juga boleh dilanjutkan antara dua dengan lima tahun.
Dalam kenyataan berasingan, SMRT Buses berkata ia akan bekerjasama dengan LTA, kesatuan sekerja dan SBST bagi memastikan peralihan berjalan lancar.
Depoh Bas Kim Chuan juga akan mengukuhkan penyepaduan operasi bas dan rel, termasuk menyokong perkhidmatan bas gantian semasa gangguan laluan rel kendalian SMRT apabila depoh itu mula beroperasi pada 2027.
SMRT mengendalikan Laluan Utara-Selatan (NSL), Laluan Timur-Barat (EWL), Laluan Circle (CCL) dan Laluan Thomson-East Coast (TEL).
Depoh Kim Chuan sebelum ini dilaporkan dijadualkan siap menjelang 2026, apabila sambungan CCL dibuka.
Jurucakap SBST, Cik Grace Wu, berkata syarikat itu kecewa tidak berjaya memperoleh tender, namun menghormati keputusan LTA dan akan bekerjasama memastikan peralihan berjalan lancar.
Di bawah model kontrak bas yang diperkenalkan LTA pada September 2016, perkhidmatan bas dibahagikan kepada 14 pakej mengikut kawasan.
Pengendali dipilih melalui proses tender, manakala pemerintah memiliki semua aset operasi dan mengutip tambang.
Kontrak itu bertempoh lima tahun, dengan pilihan melanjutkannya selama dua hingga lima tahun.
