Pusat salji tertutup pertama di Singapura, Snow City, akan ditutup pada 30 September selepas 26 tahun beroperasi.

Penutupan itu mencerminkan komitmen Lembaga Pusat Sains (SCB) dalam “memastikan tawaran yang disediakan kekal segar dan relevan di tengah-tengah peralihan minat pengunjung serta landskap daya tarikan yang sentiasa berkembang”.

Demikian menurut kenyataan Pusat Sains Singapura pada 19 Mei.

SCB menambah, langkah itu juga selaras dengan misi pendidikan sains serta rancangan masa depannya.

Kakitangan Snow City akan mendapat sokongan secara terperinci sepanjang tempoh peralihan itu, jelas Pusat Sains Singapura, sambil menyatakan lapan pekerja sepenuh masa pusat salji itu telah ditawarkan peluang pekerjaan di bawah SCB.

“Bagi pekerja yang memilih untuk mencari peluang (pekerjaan) di tempat lain, SCB akan menyediakan bantuan buat mereka ditempatkan di luar SCB dan sokongan pampasan pemberhentian kerja selaras dengan syarat pekerjaan yang berkaitan, serta garis panduan semasa Kementerian Tenaga Manusia (MOM),” kata Pusat Sains Singapura.

“Snow City juga akan memenuhi tuntutan berkontrak kepada semua penyedia khidmat,” katanya.

Snow City, yang terletak di Jurong East, akan mengadakan kempen perpisahan awam, yang dinamakan One Last Snowfall (Salji Terakhir), menjelang penutupannya.

Pengunjung boleh menikmati pengalaman dan tawaran masa terhad dari Jun hingga September, termasuk pakej permainan salji dan satu tunggangan kereta laga (bumper car) selama sejam.

Sepanjang tempoh intu, pakej tersebut akan ditawarkan pada harga $19 untuk orang dewasa; dan $16 untuk kanak-kanak, berbanding harga biasa iaitu $27 bagi orang dewasa; dan $23 bagi kanak-kanak.

Butiran lanjut mengenai kempen perpisahan itu akan dikongsi melalui laman web serta saluran media sosial Snow City dan Pusat Sains Singapura tidak lama lagi.