Golongan bapa tidak lama lagi dapat mengambil cuti jaga anak bergaji sehingga 14 minggu selepas kelahiran cahaya mata apabila skim Cuti yang Dikongsi Ibu Bapa (SPL) yang baru dilaksanakan sepenuhnya mulai April 2026.
Tempoh cuti ini termasuk Cuti Paterniti yang Dibayar Pemerintah (GPPL) mandatori selama empat minggu mulai 1 April 2025, berbanding GPPL mandatori buat masa ini, iaitu dua minggu.
Pengumuman ini dibuat Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, semasa berucap dalam Rapat Hari Kebangsaan sulungnya pada 18 Ogos di Institut Pendidikan Teknikal (ITE) Kolej Central di Ang Mo Kio untuk menyokong ibu bapa yang bekerja dengan lebih baik.
Di bawah pendekatan berfasa skim SPL baru, ibu bapa yang bekerja yang layak dengan bayi warga Singapura yang dilahirkan pada atau selepas 1 April 2025 boleh mengambil SPL selama enam minggu dalam fasa pertama.
Ini akan dinaikkan kepada 10 minggu bagi bayi warga Singapura yang dilahirkan pada atau selepas 1 April 2026 dalam fasa kedua, umum Encik Wong.
Beliau berkata pendekatan berfasa ini dibuat selepas mengambil kira pertimbangan yang diutarakan pihak majikan.
“Ini adalah satu perubahan besar. Kami telah berunding dengan pihak majikan dan mereka telah meminta sedikit masa untuk menyesuaikan diri dengan perubahan sedemikian,” ujarnya.
Susulan ucapannya, Divisyen Kependudukan dan Bakat Nasional (NPTD) dalam satu kenyataan menjelaskan dengan SPL baru, para ibu tidak lagi perlu berkongsi sehingga empat minggu daripada keseluruhan 16 minggu Skim Cuti Bersalin Bergaji yang dibayar Pemerintah (GPML) bersama suami mereka.
Ini berbanding peraturan SPL semasa, yang akan ditamatkan mulai 1 April 2025.
Ini bermakna para ibu boleh menikmati 16 minggu penuh GPML – di samping SPL baru selama 10 minggu yang dikongsi ibu bapa dan GPPL empat minggu bagi si bapa.
Ini bermakna, secara keseluruhan, ibu dan bapa boleh menikmati cuti ibu bapa bergaji selama 30 minggu untuk meluangkan masa bersama anak mereka.
NPTD menambah pemerintah akan menelan belanja sekitar $400 juta setiap tahun apabila skim SPL baru itu dilaksanakan sepenuhnya mulai 1 April 2026.
Encik Wong berkata: “Saya berharap langkah ini dapat memberi keyakinan kepada pasangan muda – sedang kita membina Singapura yang mesra keluarga.
“Kami akan membantu anda mengekalkan keseimbangan baik antara tanggungjawab di tempat kerja dan kewajiban anda sebagai ibu bapa.”
Menurut kenyataan NPTD, SPL baru harus digunakan dalam 12 bulan pertama selepas kelahiran anak dan tempoh cuti SPL akan dibahagikan secara saksama antara kedua-dua ibu bapa secara asal.
Ibu bapa bebas mengatur semula tempoh cuti bahagian masing-masing mengikut pengaturan yang sesuai dengan keperluan keluarga, tambah NPTD.
Perubahan pada pengaturan cuti SPL, jelas NPTD lagi, harus dibuat dalam empat minggu pertama selepas kelahiran si anak dan sebarang perubahan selepas empat minggu itu memerlukan persetujuan bersama antara pihak majikan dan ibu bapa.
Pengaturan tersebut boleh dibuat melalui aplikasi atau laman web LifeSG dalam tempoh empat minggu pertama tersebut.
NPTD menyatakan pihak majikan yang ingin menyemak pengaturan cuti berkongsi SPL pekerja masing-masing boleh melakukannya melalui portal Skim Cuti yang Dibayar Pemerintah (GPLS) mulai 1 April 2025.
Bagi membantu pihak majikan mengubah suai operasi disebabkan cuti ibu bapa dipertingkatkan ini, pemerintah akan memperkenalkan tempoh pemberitahuan minimum baru yang memerlukan pekerja memaklumkan majikan sekurang-kurangnya empat minggu sebelum mengambil mana-mana skim cuti ibu bapa, kata NPTD.
Sehubungan itu, ibu bapa yang mempunyai aturan pekerjaan tidak tetap, seperti pekerja kontrak jangka pendek, juga boleh menikmati faedah cuti ibu bapa di bawah skim Faedah Cuti yang Dikongsi Ibu Bapa (SPB).
Ibu bapa yang layak boleh menuntut pembayaran balik daripada pemerintah bagi cuti yang diambil untuk menjaga bayi mereka. Pemerintah akan mengumumkan butiran lanjut menjelang tarikh pelaksanaan skim itu.
Ibu bapa yang layak bagi SPB juga dapat menikmati SPL enam minggu atau 10 minggu.
“
Saya berharap langkah ini dapat memberi keyakinan kepada pasangan muda – sedang kita membina Singapura yang mesra keluarga. Kami akan membantu anda mengekalkan keseimbangan baik antara tanggungjawab di tempat kerja dan kewajiban anda sebagai ibu bapa.Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg