Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

HDB lancar projek BTO pertama Sembawang North

Jul 6, 2025 | 10:00 AM
HDB, projek BTO, Sembawang North
Lukisan artis bagi projek BTO pertama di Sembawang North, Sembawang Beacon. - Foto HDB

Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) akan menawarkan 775 Flat Bina Ikut Tempahan (BTO) pada Julai, yang pertama dilancarkan di estet perumahan baru, Sembawang North.

Projek Sembawang Beacon, yang mempunyai masa menunggu selama tiga tahun itu, meliputi tawaran Flat Fleksi dua hingga lima bilik, serta Flat Tiga Generasi (3Gen).

Ini didedahkan Menteri Pembangunan Negara, Encik Chee Hong Tat, di laman media sosialnya pada 6 Julai.

“Kami kekal komited dalam memastikan bekalan perumahan awam yang kukuh, dengan sekurang-kurangnya 50,000 flat baru akan dibina dalam tempoh tiga tahun akan datang bagi memenuhi keperluan perumahan rakyat Singapura,” kata Encik Chee.

Dalam satu kenyataan berasingan, HDB turut mengumumkan bahawa tujuh projek lain di Bukit Merah, Bukit Panjang, Clementi, Tampines, Toa Payoh dan Woodlands, akan dilancarkan pada Julai.

Apabila dibangunkan sepenuhnya, Sembawang North akan merangkumi hampir 10,000 rumah baru, termasuk kira-kira 8,000 flat BTO dan 2,000 rumah privet.

Flat di Sembawang Beacon merupakan sebahagian daripada kira-kira 5,500 flat BTO yang ditawarkan pada Julai.

Ia terletak dalam kejiranan baru Sembawang North, sebuah kawasan seluas 53 hektar di bandar Sembawang, dengan batasan sempadan Admiralty Link, Admiralty Lane dan Canberra Road.

Penduduk Sembawang Beacon akan menikmati akses mudah bagi kemudahan sedia ada seperti pasar raya, kedai runcit dan pusat makanan, serta pengangkutan awam seperti Stesen MRT Sembawang.

“Dalam masa terdekat, penduduk juga boleh menantikan kemudahan baru, seperti pusat kejiranan, taman seluas satu hektar dengan taman permainan dan kemudahan bersenam, serta rangkaian laluan berbasikal dan laluan pejalan kaki yang luas,” kata HDB.

Mengambil inspirasi daripada sejarah kelautan yang kaya di kawasan itu, Sembawang Beacon direka bentuk dengan menampilkan permukaan bangunan putih yang digariskan oleh bingkai hitam tebal.

Sembawang pernah menjadi rumah kepada Pangkalan Tentera Laut British pada tahun 1920-an, di mana rumah hitam-putih privet berperanan sebagai kuarters untuk pegawai tentera laut. 

Di samping itu, tema maritim dapat dilihat di ruang riadah lain, termasuk taman permainan yang menampilkan motif dan elemen nautika seperti struktur permainan rumah api.

Menurut HDB, akan terdapat banyak ruang hijau seperti taman atas bumbung, laman terbuka, dan kawasan tempat duduk berlandskap, serta tumbuhan yang mempunyai nilai sejarah dan tradisional, termasuk pokok Sembawang yang akan ditanam di kawasan awam.

“Sedang HDB membangunkan kawasan perumahan baru untuk memenuhi keperluan perumahan rakyat Singapura, kami akan terus menggabungkan warisan yang kaya dan ciri tersendiri setiap bandar ke dalam perancangan dan reka bentuk kawasan perumahan baru, supaya watak dan identiti unik setiap bandar dapat dipelihara untuk generasi masa depan rakyat Singapura,” ujar HDB.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg