Masyarakat
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

LBKM alu-alu lebih banyak sokongan Dana Endowmen

Wadah dianggap warisan bantu pelajaran anak-anak untuk masa depan
Jun 25, 2025 | 3:03 PM
Sejak dilancarkan pada Majlis Sambutan Ulang Tahun ke-60 Lembaga Biasiswa Kenangan Maulud (LBKM) pada Januari 2025, Dana Endowmen LBKM, hanya menerima seorang penderma setakat ini.
Sejak dilancarkan pada Majlis Sambutan Ulang Tahun ke-60 Lembaga Biasiswa Kenangan Maulud (LBKM) pada Januari 2025, Dana Endowmen LBKM, hanya menerima seorang penderma setakat ini. - Foto fail

Lembaga Biasiswa Kenangan Maulud (LBKM) mengalu-alukan lebih banyak sokongan bagi Dana Endowmen mereka yang terbaru.

Ini agar LBKM dapat kekal relevan dan mempunyai dana yang mencukupi untuk terus membantu generasi pelajar akan datang.

Hal itu dikongsi Pemangku Presidennya, Encik Djuanda Kamid, dalam satu wawancara bersama Berita Harian (BH).

Menurutnya, sejak dilancarkan pada Majlis Sambutan Ulang Tahun ke-60 LBKM pada Januari 2025, mereka hanya menerima seorang penderma setakat ini.

Lantas, sejak dilantik sebagai Pemangku Presiden pertubuhan itu, beliau memastikan dana itu dapat diteruskan dan dikembangkan lagi.

“Kami ingin dapatkan lebih banyak sokongan daripada masyarakat untuk Dana Endowmen ini.

“Ini agar masyarakat kita mempunyai satu wadah, di mana mereka dapat gunakan dan tinggalkan satu warisan dalam membantu pelajaran anak-anak untuk masa akan datang,” katanya, yang merupakan Pemangku Presiden LBKM terbaru hingga Jun 2026.

Encik Djuanda menambah LBKM juga telah menubuhkan satu pasukan kerja untuk meneliti perkara tersebut dengan lebih mendalam dan merangka strategi dalam meraih sokongan yang lebih besar daripada masyarakat.

Pemangku Presiden Lembaga Biasiswa Kenangan Maulud (LBKM), Encik Djuanda Kamid, ingin memastikan Dana Endowmen  organisasi itu dapat diteruskan dan dikembangkan lagi. 
Pemangku Presiden Lembaga Biasiswa Kenangan Maulud (LBKM), Encik Djuanda Kamid, ingin memastikan Dana Endowmen  organisasi itu dapat diteruskan dan dikembangkan lagi.  - Foto BH oleh NUR DIYANA TAHA

Dana Endowmen  itu menyasarkan derma berjumlah besar atau penaja korporat bagi memastikan kelangsungan misi LBKM.

LBKM mengalu-alukan sebarang jumlah sumbangan kepada Dana Endowmen itu tetapi bagi setiap sumbangan $100,000, LBKM akan menokok 50 peratus daripada jumlah yang disalurkan.

Ini bermakna, sekiranya seseorang individu menyumbang $100,000, LBKM akan menambah $50,000, menjadikan jumlah keseluruhan dana yang diberi mencecah $150,000.

Jumlah padanan itu pula akan dinamakan atas nama penderma asal.

Hasil daripada dana itu akan disalurkan bagi menyediakan dermasiswa dan biasiswa kepada pelajar dalam jangka panjang. 

Setakat ini, LBKM sudah memperuntukkan jumlah awal $1 juta untuk memadankan sumbangan penderma.

Encik Djuanda berkata dengan usaha tersebut, ia dapat menjadi lebih menarik untuk penderma menyalurkan kepada dana tersebut.

Beliau menambah sekiranya sambutan daripada penderma menggalakkan, LBKM akan menilai semula jumlah yang boleh diperuntukkan bagi memadankan sumbangan mereka.

Menjelaskan perbezaan antara pengumpulan dana biasa yang digunakan untuk membiayai biasiswa pelajar setiap tahun dengan Dana Endowmen itu, Encik Djuanda berkata:

“Dana Endowmen ini hanya akan digunakan bagi keuntungan atau pulangan pelaburan sahaja – bukan duit pokok .

“Duit asal atau duit pokoknya akan disimpan dan tidak disentuh langsung. Justeru, hanya pulangan daripada pelaburan itu yang akan digunakan dalam membantu pelajar kita.

“Ini supaya dana ini boleh kekal selamanya dan terus memberi manfaat untuk jangka panjang.”

Sejak ditubuhkan pada 1965, LBKM telah membantu lebih 40,000 pelajar dengan hampir $37 juta diperuntukkan dalam bentuk dermasiswa, biasiswa dan geran.

Selain dana tersebut, LBKM pernah menyumbang kepada Dana Endowmen dengan universiti tempatan sebelum ini. 

Antaranya, Universiti Nasional Singapura (NUS), Universiti Sains Kemasyarakatan Singapura (SUSS), dan Universiti Teknologi dan Reka Bentuk Singapura (SUTD).

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg