Kehadiran neneknya di sisi sambil dia menelaah pelajaran hingga ke larut malam di ruang tamu rumah sebagai persiapan untuk peperiksaan Program Diploma Baccaulaureate Antarabangsa (IBDP) merupakan pembakar semangat bagi Hannah Yusra Rashid untuk melakukan yang terbaik.
Dengan sokongan neneknya itu, Hannah berjaya muncul sebagai antara pelajar Madrasah Aljunied Al-Islamiah yang meraih keputusan cemerlang bagi IBDP pada 18 Disember.
Namun sayangnya, kemanisan meraih keputusan yang baik itu tidak dapat diraikan bersama nenek tercinta, kerana neneknya telah menghembuskan nafas terakhir pada 26 November akibat komplikasi kesihatan, setelah tamat musim peperiksaan itu.
Berkongsi dengan Berita Harian (BH) sejurus setelah menerima keputusannya, Hannah berkata:
“Semasa musim peperiksaan, nenek saya selalu akan mengingatkan saya untuk belajar.
“Saya akan membaca buku teks menerusi iPad saya di ruang tamu dan nenek pula duduk di sebelah saya, kadangkala menonton televisyen.
“Jadi sebenarnya, beliau yang menemani saya dan bukan saya menemaninya.”
“Saya rasa berterima kasih sangat kepada keluarga saya, terutama nenek saya, kerana banyak memahami saya dan telah berikan banyak sokongan kepada saya,” tambahnya.
Walaupun hajat menyambut keputusan cemerlangnya itu bersama nenek tidak kesampaian, Hannah berkongsi perasaan syukur dapat berada di sisi neneknya sehingga saat-saat terakhir.
Mengimbau kembali detik-detik sukar sepanjang 2025, pelajar Madrasah Aljunied berusia 18 tahun itu berkongsi bahawa dia adakalanya terpaksa berkorban masa dengan keluarga demi memenuhi tanggungjawab sebagai ketua majlis pelajar.
Namun, setiap titisan pengorbanannya menemukan ganjaran apabila Hannah berjaya mendapatkan keputusan IBDP yang memberangsangkan, menempatkannya antara pelajar teratas dalam kohort seramai 15 pelajar di madrasah itu.
Selaku ketua majlis pelajar, adakalanya dia perlu berada di sekolah hingga lewat sebelum bergegas ke hospital untuk menziarahi neneknya.
Berkat sokongan dan kesalingfahaman ibunya, Cik Siti Salha Salihoddin, seorang guru, dan ayahnya, Ustaz Rashid Ramli, pengerusi eksekutif Masjid Darussalam – kededuanya 49 tahun – serta tiga adik-beradiknya, Hannah dapat mengharungi segala cabaran yang telah dia tempuh dalam mengimbangi pelajaran serta tugas majlis pelajar.
Hannah, anak ketiga daripada empat beradik, telah menduduki peperiksaan bagi lapan subjek IBDP pada 2025.
Dengan keputusannya itu, dia berharap dapat meneruskan pengajian dalam kededua aliran sekular dan Islam.
Menurut kenyataan Majlis Ugama Islam Singapura (Muis), kesemua 15 pelajar yang mengikuti program pendidikan laluan berganda Azhar-IB di Madrasah Aljunied lulus peperiksaan IBDP.
Mereka dianugerahkan Diploma Dwibahasa dalam Program International Baccalaureate – diberikan kepada pelajar yang berjaya mendapat gred 3 atau lebih tinggi dalam dua bahasa.
Selain kelayakan IBDP, pelajar laluan Azhar-IB akan dianugerahkan Diploma Aliyah selepas mereka menyelesaikan peperiksaan Aliyah mereka pada hujung 2025.
Kelayakan itu adalah sebahagian daripada usaha Muis mempertingkat pendidikan madrasah dan meningkatkan peluang pelajar meneruskan perjalanan dalam pengajian Islam di universiti Islam dan institusi pengajian tinggi yang menerima Diploma IB sebagai kriteria kemasukan.
Hannah berkongsi bahawa kededua aliran pengajian Islam dan Diploma IB yang ditawarkan Madrasah Aljunied telah memberinya pengalaman yang amat bermakna dan berfaedah.
“Saya rasa apabila mengikuti program IB ini, yang mana saya melalui dua kurikulum, IB dan Azhar 2.0, ia telah membuka pintu untuk saya menceburi kededua aliran — iaitu keagamaan dan akademik.
“Harapan saya adalah untuk dapat menekuni kededua aliran ini tanpa mengabaikan salah satu pun.
“Ini kerana saya mempunyai impian untuk menyepadukan kededuanya dan menyumbang kepada masyarakat pada masa hadapan,” tambahnya.
Bagi program Azhar 2.0, pelajar mendalami subjek utama Islam seperti Al-Quran, hadith, tauhid, tafsir, fiqh, bahasa Arab, sejarah Islam, serta Islam dan masyarakat.
Program IB pula merangkumi kombinasi subjek akademik dan bahasa, termasuk bahasa Melayu, bahasa Inggeris, bahasa Arab, politik global, matematik, kimia, sistem persekitaran dan masyarakat (ESS), serta teori pengetahuan (TOK) atau esei lanjutan (EE) dan kreativiti, kegiatan dan khidmat (CAS).


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg