Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Sokongan tambahan, lebih khusus bagi keluarga flat sewa: DPM Wong

Usaha susulan Melakar Hala Tuju Singapura agar keluarga program ComLink tidak dijerat kemiskinan, anak dapat pendidikan prasekolah
Oct 19, 2023 | 2:54 PM
TINGKAT SOKONGAN: Timbalan Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, berkata keluarga di bawah program ComLink tidak lama lagi akan mendapat sokongan tambahan dan lebih khusus demi menggalakkan mereka terus bekerja, membeli rumah sendiri dan menghantar anak mereka ke prasekolah.
TINGKAT SOKONGAN: Timbalan Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, berkata keluarga di bawah program ComLink tidak lama lagi akan mendapat sokongan tambahan dan lebih khusus demi menggalakkan mereka terus bekerja, membeli rumah sendiri dan menghantar anak mereka ke prasekolah. - Foto BH oleh ANWAR SALEH

Keluarga di bawah program ComLink akan mendapat sokongan tambahan dan lebih khusus tidak lama lagi, demi menggalakkan mereka terus bekerja, memiliki rumah sendiri dan menghantar anak mereka ke prasekolah, kata Timbalan Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong.

Mereka juga akan dipadankan dengan seorang mentor keluarga, atau ‘family coach’, yang akan bekerja rapat dengan mereka dan membimbing mereka sepanjang perjalanan mereka.

“Kami akan melengkapkan dan melatih pegawai ComLink untuk menjadi mentor keluarga, yang akan bekerja lebih rapat dengan setiap keluarga untuk melatih dan membimbing mereka mencapai matlamat mereka.

“Mereka juga tidak lagi hanya menyelaraskan perkhidmatan sokongan sosial yang ada, tetapi memainkan peranan lebih besar dalam bekerjasama dengan setiap keluarga untuk menentukan sokongan paling sesuai yang mereka perlukan,” kata Encik Wong.

Beliau, yang juga Menteri Kewangan, berkata demikian semasa menghadiri sebuah acara sambutan ulang tahun Pejabat Perkhidmatan Sosial (SSO) yang ke-10 di Kelab Masyarakat Kreta Ayer pada Khamis.

Langkah-langkah itu sebahagian daripada sokongan pemerintah yang akan dipertingkatkan untuk membantu keluarga di bawah ComLink mencapai kestabilan, menjadi lebih berdikari dan meningkatkan mobiliti sosial mereka.

Keluarga ComLink merupakan keluarga yang mempunyai anak bawah umur 21 tahun dan tinggal di flat sewa awam. Terdapat kira-kira 14,000 keluarga di bawah bantuan ComLink pada masa ini.

Encik Wong menambah bahawa sebagai sebahagian daripada usaha ‘Melakar Hala Tuju Singapura’, atau Forward SG, pemerintah melibatkan banyak kumpulan untuk mendapatkan maklum balas tentang cara Singapura boleh membantu keluarga berpendapatan rendah membina kehidupan lebih baik, sambil menghormati maruah dan pilihan mereka.

“Kami akan memberi sokongan tambahan kepada keluarga ComLink. Sokongan itu akan dikaitkan dengan pelan tindakan khusus yang dibangunkan bersama antara mentor keluarga dan keluarga mereka.

“Sebagai contoh, kami boleh mempertimbangkan lebih banyak sokongan kepada mereka yang terus bekerja, berjimat untuk membeli rumah sendiri atau memastikan anak-anak mereka menghadiri prasekolah secara kerap,” kata Encik Wong.

Selain melatih mentor keluarga, yang merupakan kakitangan sepenuh masa ComLink di bawah Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga (MSF), Encik Wong juga menyeru lebih ramai individu tampil dan berkhidmat sebagai rakan sukarela.

“Mereka memainkan peranan sokongan penting dalam membantu memahami keperluan keluarga, dan memberikan sokongan emosi di samping mereka berusaha mengatasi cabaran mereka.

“Rakan sukarelawan perlu komited untuk bekerjasama dengan keluarga ComLink bagi mewujudkan hubungan baik demi melihat mereka melalui suka dan duka perjalanan mereka,” tambahnya.

Menurut Encik Wong, usaha ini sebahagian daripada laporan ‘Melakar Hala Tuju Singapura’ yang akan dikeluarkan tidak lama lagi. Butiran lanjut mengenai sokongan yang dipertingkat untuk ComLink akan diumum dalam masa terdekat.

Semasa acara sambutan itu, Encik Wong turut melawat sebuah galeri yang mempamerkan pencapaian dan kemajuan SSO sepanjang 10 tahun lalu.

Beliau diiringi Menteri Perhubungan dan Penerangan, Cik Josephine Teo; dan Setiausaha Parlimen Kanan (Kebudayaan, Masyarakat dan Belia merangkap Pembangunan Sosial dan Keluarga), Encik Eric Chua.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg