SP Mobility dan ComfortDelGro Engie memenangi kontrak daripada EV-Electric Charging (EVe) untuk memasang hab pengecasan pantas kenderaan elektrik (EV) di kawasan Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB).

EVe adalah subsidiari Penguasa Pengangkutan Darat (LTA).

Hab ini akan dibina di lapan tapak, termasuk di estet perumahan HDB dan tempat letak kereta berhampiran kemudahan rekreasi, ujar EVe pada 29 April.

Setiap tapak akan dilengkapi enam hingga lapan pengecas pantas 50 kilowatt (kW), dengan tapak Bukit Canberra turut menampilkan tiga pengecas perlahan 7.4 kW.

Perkembangan ini menyusuli kontrak terdahulu yang diberikan kepada SP Mobility dan Shell pada Mac, sejajar dengan rancangan pemerintah untuk memastikan setiap estet HDB mempunyai sekurang-kurangnya satu hab pengecasan pantas menjelang akhir 2027.

“Tender ini, bersama kontrak enam tapak pengecasan pantas pada Mac 2026, akan mempercepatkan pemasangan pengecas pantas bagi memenuhi permintaan EV yang kian melonjak,” kata Ketua Pegawai Eksekutif EVe, Cik Stephanie Tan.

Jenama-jenama kenderaan elektrik mencatat rekod baharu pada suku pertama 2026, dengan pendaftaran beberapa jenama melonjak sehingga lima kali ganda.

Kemudahan pengecasan pantas di lokasi strategik akan membolehkan pemandu mengecas EV mereka “sebagai sebahagian daripada rutin harian”, tambah EVe.

Sebagai contoh, bateri Hyundai Ioniq 5 buatan Singapura boleh dicas dari 10 peratus kepada 80 peratus dalam masa kira-kira sejam menggunakan pengecas pantas 50 kW.

SP Mobility dan ComfortDelGro Engie adalah sebahagian daripada panel pengendali pengecasan EV EVe yang diperbaharui, dilantik untuk menyokong fasa seterusnya penggunaan pengecasan awam.

Pada masa ini, terdapat 21 hab pengecasan pantas yang sedia digunakan di Singapura. Dengan perancangan pemasangan baharu di estet HDB, kira-kira 20 hab lagi akan ditambah tidak lama lagi.