Mulai Semester Dua pada Oktober 2024, pelajar Politeknik Singapura (SP) yang mengikuti Diploma Kejuruteraan Aeronautik dan Elektronik Aeroangkasa akan mendapat helikopter baru di Galeri Hab Aero sebagai sebahagian daripada kurikulum mereka.
Pada 23 September, SP menandatangani memorandum persefahaman (MOU) dengan Angkatan Udara Republik Singapura (RSAF) dan menerima helikopter Super Puma AS332 untuk meningkatkan pengajaran diplomanya iaitu Kejuruteraan Aeronautik dan Elektronik Aeroangkasa.
MOU itu ditandatangani oleh Pemangku Pengarah Kanan (Kluster Kejuruteraan) SP, Encik Toh Ser Khoon, dan Timbalan Ketua Kejuruteraan Udara dan Logistik (Kejuruteraan Sistem) RSAF, Pakar Tentera 7 (ME7) Gabriel Tham.
Turut hadir menyaksikan pemeteraian MOU itu ialah Timbalan Pengetua (Akademik) SP, Encik Low Yew Chiong, dan Ketua Jabatan Kejuruteraan Udara & Logistik RSAF, ME8 Timothy Yap Soon Haw.
Majlis MOU itu sebagai penyerahan rasmi helikopter Super Puma AS332 tersebut kepada SP, dengan helikopter UH-1 Iroquois dikembalikan kepada RSAF.
Menurut satu laporan Kementerian Pertahanan (Mindef), helikopter Super Puma AS332 itu serba boleh dalam menjalankan operasi bersepadu dan menyokong misi mencari dan menyelamat.
Dalam wawancara bersama Berita Harian (BH), Pakar Aeronautik/Aeroangkasa di Politeknik Singapura, Encik Liew Hui Sing, berkata helikopter baru itu akan memperlengkapkan lagi latihan praktikal untuk pelajar kededua diploma itu, yang mempunyai sekitar 330 pelajar setiap tahun.
“Bagi helikopter UH-1, ia digunakan hanya untuk latihan penyelenggaraan pesawat dan tidak dapat dihidupkan menggunakan elektrik. Jadi, ia hanya berfungsi secara mekanikal dari segi sistem pautan mekanikal yang lama.
“Namun, helikopter Super Puma AS332 ini beroperasi sepenuhnya dari segi mekanikal dan avionik. Ia boleh dihidupkan menggunakan suis tetapi tanpa bilah kipas dipasang untuk tujuan keselamatan.
“Kuasa hidraulik untuk mengendalikan beberapa kawalan penerbangan dan gear pendaratan juga berfungsi,” ujar beliau, yang juga Pensyarah Kanan di Pusat Pengajian Kejuruteraan Mekanikal & Aeronautik di SP.
Beliau menambah bahawa pertukaran helikopter itu dibuat kerana helikopter UH-1 sebelum ini telah digunakan SP sejak November 2010, dan tahap teknologinya tidak secanggih helikopter Super Puma AS332.
Selain struktur helikopter itu yang lebih lasak dan ringan, enginnya lebih canggih.
“Ia dilengkapi dengan enjin jenis turboshaft yang lebih maju, mencerminkan peningkatan dalam teknologi kuasa,” kongsi Encik Liew.
Dalam pada itu, Encik Liew berkata MOU tersebut menandakan hasrat untuk bergerak seiring dengan kemajuan teknologi dan meningkatkan pelajar dengan set kemahiran yang sesuai.
“Teknologi telah berkembang dengan pesat, dan oleh itu, kita perlu meningkatkan modul-modul kita untuk mencerminkan penambahbaikan ini.
“Inilah cara kita mempertingkatkan latihan dalam diploma kita dalam elektronik aeronautik dan aeroangkasa – dengan bergerak seiring dengan kemajuan teknologi,” ujar beliau.
Mengulas penggantian helikopter itu, pelajar Diploma Elektronik Aeroangkasa tahun kedua di Politeknik Singapura (SP), Cik Hazirah Jaffar, berkata:
“Peralihan daripada helikopter UH-1 kepada Super Puma AS332 bermakna saya akan bekerja dengan teknologi dan prestasi yang lebih maju.
“Ini membantu memperdalamkan pengetahuan saya tentang helikopter dan memastikan saya sentiasa mengikuti perkembangan terkini.”
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg