Kajian di Tanah Lembap Chek Jawa seluas 1 kilometer persegi di Pulau Ubin telah menemukan spesies kumbang skarab baru.

Spesies Anomala sp. aff. Matricula itu merupakan sebahagian daripada genus kumbang yang merangkumi lebih 100 spesies lain di Semenanjung Malaysia dan Sumatera, dan ditemui semasa tinjauan di Pulau Ubin antara 2018 dengan 2021.

Kumbang itu merupakan antara lebih 1,300 spesies fauna asli di pulau tersebut yang direkodkan dalam satu penerbitan dalam talian baru, yang mendokumentasikan warisan semula jadi pulau itu.

Bertajuk An Update Of The Biodiversity In Pulau Ubin (Pengemaskinian Biodiversiti di Pulau Ubin), penerbitan oleh Lembaga Taman Negara (NParks) itu memperincikan lebih 550 spesies flora asli dan merangkumi himpunan penemuan daripada tinjauan biodiversiti yang melibatkan 11 kumpulan taksonomi, termasuk tumbuhan, rama-rama, labah-labah dan burung.

Penerbitan itu dilancarkan sempena sambutan tahunan Hari Ubin pada 20 Jun.

Menteri Negara (Perdagangan dan Perusahaan merangkap Pembangunan Negara), Encik Alvin Tan, yang menghadiri acara itu, berkata penerbitan tersebut penting kerana ia merupakan yang pertama seumpamanya yang merekodkan biodiversiti Pulau Ubin secara menyeluruh.

“Penemuan ini juga penting kerana ia merangkumi tinjauan yang melibatkan beberapa spesies yang berada pada tahap amat terancam di peringkat nasional, termasuk greater club rush (sejenis herba yang tumbuh di kawasan air), yang sebelum ini dianggap pupus di peringkat nasional sehingga ditemui semula pada 2023, selain rekod pertama di Singapura bagi elegant fig yang turut berada pada tahap amat terancam di peringkat nasional,” kata Encik Tan.

Di acara itu, Encik Tan turut berkongsi perkembangan mengenai katak cryptic painted frog, iaitu haiwan hutan nokturnal (waktu malam) yang dikategorikan sebagai rentan dan sebelum ini hanya terdapat di Hutan Simpanan Bukit Timah dan Tadahan Air Bahagian Tengah serta taman-taman alam semula jadi di sekitarnya.

Beliau berkata hasil usaha pemuliharaan, spesies itu kini menunjukkan tanda-tanda yang menggalakkan bahawa ia semakin berkembang dan membiak secara semula jadi di Pulau Ubin.