Seekor rama-rama spesies yang jarang ditemui telah mencetuskan keterujaan masyarakat pencinta hidupan liar selepas kehadiran serangga bersayap hitam dan kuning itu dirakam di Kebun Bunga Singapura dan tular di media sosial.
Encik Fadzrun Adnan, 42 tahun, sedang mencari kelibat burung puyuh raja di taman itu pada 28 April bagi menambah koleksi fotografi hidupan liar miliknya, apabila beliau ternampak seekor rama-rama yang tidak pernah dilihatnya sebelum ini.
Selepas guru sains itu memuat naik foto rama-rama itu di pangkalan data flora dan fauna, iNaturalist, para peminat rama-rama pantas mengenal pasti serangga itu sebagai spesies Troides aeacus, yang lebih dikenali sebagai sayap burung emas (golden birdwing), lapor The Straits Times.
Ini merupakan kali pertama rama-rama sayap burung emas, yang bersaiz lebih kecil daripada rama-rama jenis sayap burung biasa dikesan di Singapura, menurut pakar rama-rama tempatan, Encik Khew Sin Khoon.
Spesies ‘sayap burung’ ini mendapat gelaran tersebut disebabkan rama-rama itu kelihatan seperti burung kecil dari jauh, menurut laman web, Ocean Park Hong Kong, yang terlibat dalam usaha pemuliharaan spesies tersebut.
Jabatan Pertanian, Perikanan dan Pemuliharaan (AFCD) Hong Kong mengklasifikasikan spesies sayap burung biasa sebagai tidak sering ditemui, manakala sayap burung emas sebagai spesies yang sangat jarang ditemui.
Menurut AFCD, kedua-dua spesies itu tergolong dalam kategori yang perlu diberi perhatian dari segi pemuliharaan dan mesti dilindungi.
Keunikan rama-rama sayap burung emas ini dilihat pada tompok merah yang menghiasi kepala dan dadanya, sayap depan yang berwarna hitam, serta sayap belakang berwarna kuning keemasan dengan urat hitam yang jelas kelihatan.
Pengasas kumpulan peminat rama-rama, ButterflyCircle, dan Kumpulan Facebook Butterflies of Singapore, Encik Khew, berkata spesies ini boleh ditemui di Semenanjung Tanah Melayu dan tidak pernah dirakam di Singapura.
Oleh kerana itu, spesies ini tidak tersenarai dalam Red Data Book Singapore (Edisi Ketiga), dokumen yang merakam spesies flora dan fauna terancam dan jarang ditemui di Singapura.
“Rama-rama yang dirakam beberapa hari lalu ialah seekor rama-rama jantan yang bersendirian,” kata Encik Khew.
“Rama-rama itu mungkin tersesat dari Malaysia, memandangkan spesies sayap burung ini diketahui mampu terbang jauh merentasi jarak beberapa kilometer.”
Pelajar institusi pengajian tinggi, Encik Low Jian Kai, yang telah merakam foto rama-rama sejak sekitar 2021, berkata beliau berasa sangat teruja apabila terlihat foto yang dimuat naik Encik Fadzrun di iNaturalist.
Pemuda berusia 26 tahun itu pada mulanya meragui ketetapan lokasi yang dipaparkan di foto itu, memandangkan spesies sayap burung emas belum pernah dirakam di Singapura.
Menurut iNaturalist, spesies ini biasanya ditemui di negara seperti India, China, Thailand, Vietnam dan Taiwan.
Namun setelah spesies itu disahkan oleh pakar lain, Encik Low segera berkunjung ke Kebun Bunga Singapura keesokan pagi untuk mencari rama-rama tersebut.
“Setibanya saya (di kebun bunga), saya terlihat seekor rama-rama serupa sedang terbang.
“Saya segera mengejarnya dan mengambil gambar,” katanya.
Terdapat perbezaan jelas antara rama-rama sayap burung biasa dengan sayap burung emas.
“Kesan gelap di sekitar sayap belakang, yang tidak terdapat pada spesies sayap burung lain di sini, dapat dilihat pada spesies sayap burung emas.
“Spesies rama-rama baru jarang muncul di Singapura.
“Setiap penemuan baru menambah kepada kepelbagaian biodiversiti kita dan menjadikan hobi saya lebih menarik,” ujar Encik Low.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg