Sebagai tanda yang menggalakkan dalam usaha memerangi penipuan global, lebih banyak negara sedang menubuhkan pusat antipenipuan untuk bekerjasama menangani masalah tersebut.
Namun, lebih banyak perlu dilakukan untuk agensi penguatkuasaan undang-undang di seluruh dunia bekerjasama dengan cekap dalam menangkap penjenayah ini dan membantu mangsa mendapatkan semula dana, kata penolong pengarah Pusat Anti-Penipuan (ASC) polis, Penolong Pesuruhjaya (AC) Polis Aileen Yap.
Bercakap kepada media pada 31 Julai, beliau menggesa setiap negara supaya menubuhkan pusat antipenipuan yang akan menjadi titik hubungan langsung bagi negara-negara untuk bekerjasama dalam perkara berkaitan penipuan.
AC Yap berkata: “Pusat sedemikian di setiap negara boleh memudahkan perkongsian maklumat pantas, pengesanan dana rentas sempadan dan pemulihan.
“Dalam banyak keadaan, apabila agensi yang sesuai di negara tertentu berkumpul untuk mengambil tindakan, kebanyakan dana telah hilang,” jelasnya.
Menurut laporan The Straits Times, sebanyak AS$1.02 trilion ($1.4 trilion) dianggarkan ditipu oleh penipu di seluruh dunia antara Ogos 2022 dan Ogos 2023.
Mangsa di Singapura kehilangan paling banyak wang secara purata (sekitar AS$4,000 setiap mangsa).
Ia lebih tinggi daripada kerugian AS$55.3 bilion bagi keseluruhan 2021 dan kerugian AS$47.8 bilion pada 2020, menurut kajian bersama oleh pertubuhan tidak meraih keuntungan, Global Anti-Scam Alliance dan penyedia perkhidmatan data, ScamAdviser.
AC Yap berkata pusat antipenipuan memudahkan perkongsian maklumat yang cekap antara agensi penguatkuasaan undang-undang, dan ia penting dalam menghalang wang mangsa daripada sampai ke sindiket penipuan.
Beberapa negara termasuk Malaysia, Australia dan Canada, kini mempunyai unit khusus dalam menangani penipuan.
Unit tersebut berfungsi sebagai titik hubungan langsung untuk agensi penguatkuasaan undang-undang memaklumkan antara satu sama lain apabila hasil penipuan melibatkan negara tertentu.
Pihak berkuasa yang berkenaan kemudiannya boleh segera membekukan akaun bank yang terlibat dan mendapatkan semula dana yang dicuri, kata AC Yap.
Beliau memberi contoh bagaimana mangsa memulihkan kerugian apabila agensi penguatkuasaan undang-undang bekerjasama.
Pada Mei, ASC Singapura menerima laporan tentang mangsa penipuan sokongan teknikal yang telah memindahkan $25,000 ke akaun bank di Malaysia.
ASC menghubungi Pusat Respons Penipuan Kebangsaan Malaysia, yang membantu mendapatkan semula wang itu.
Pusat tersebut telah ditubuhkan pada April 2023.
Selain penemuan semula dana, AC Yap berkata mempunyai pusat penipuan di setiap negara boleh membantu pihak berkuasa berkongsi maklumat dengan cepat tentang trend penipuan terkini, dan bersedia untuk serangan sedemikian.
AC Yap berkata: “Jenis penipuan yang berlaku di satu negara mungkin akan berubah ke negara lain tidak lama lagi.
“Kami melihat fenomena ini dalam penipuan yang berdasarkan perisian hasad, yang melanda Thailand terlebih dahulu, diikuti oleh Singapura pada 2023.
“Oleh itu, jika negara boleh berkongsi maklumat mengenai kaedah baru yang digunakan oleh penipu dan komited untuk bekerjasama, kita mempunyai peluang yang lebih baik untuk mengganggu dan merungkai operasi mereka.”
“
“Kami melihat fenomena ini dalam penipuan yang berdasarkan perisian hasad, yang melanda Thailand terlebih dahulu, diikuti oleh Singapura pada 2023... jika negara boleh berkongsi maklumat mengenai kaedah baru yang digunakan oleh penipu dan komited untuk bekerjasama, kita mempunyai peluang yang lebih baik untuk mengganggu dan merungkai operasi mereka,”Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg