Berhujah di sidang Parlimen, boleh.
Berdansa dalam video muzik, boleh.
Menyanyi atas pentas, pun boleh.
Ternyata Anggota Parlimen (AP) GRC Sembawang, Cik Mariam Jaafar serba boleh!
Malah, beliau merupakan satu-satunya AP yang mempunyai rakaman lagu di Spotify, berjudul Raya Sikit-Sikitlah! dan Tibanya Aidilfitri.
Ditemui Berita Harian (BH) baru-baru ini di pusat makanan halal Cantine Corner by Kopitiam di 678A Woodlands Avenue 6, Cik Mariam hanya tertawa mengenai bakatnya itu ketika diusik wartawan tentang kebolehannya menyanyi.
“Saya lebih rela mendengar daripada menyanyi,” ujar Cik Mariam, 47 tahun, yang juga Penasihat Akar Umbi kepada GRO GRC Sembawang (Woodlands).
Begitupun, sifatnya yang sangat sporting jelas terserlah dalam persembahan beliau di pentas seiring artis popular yang lain beberapa tahun kebelakangan ini, bahkan mesra dikenali dengan nama pentasnya Kakak MJ.
Dalam bersembang lanjut dengan wartawan, rupa-rupanya ada kisah di sebalik penggunaan nama pentas Kakak MJ.
“Ini semua (timbul) daripada Mayor Majlis Pembangunan Masyarakat (CDC) South East, Encik Mohd Fahmi Aliman.
“Beliau beritahu saya bahawa ketika melakukan kunjungan rumah penduduknya (di GRC Marine Parade), beliau berjumpa seorang penduduk yang sedang menerima kunjungan anaknya yang tinggal di Woodlands. Encik Fahmi pun bertanya, ‘You tahu tak AP you siapa?’. Anak penduduk itu menjawab ‘Tentulah, Kakak MJ!’.
“Apabila Fahmi beritahu saya dan AP Melayu yang lain, nama itu melekat! Suara Utara perlu nama pentas, pun Kakak MJ!” katanya sambil tertawa.
Suara Utara merupakan antara inisiatif unik yang diterajui Cik Mariam, dan ia lebih daripada sekadar hiburan semata-mata.
Bagi membantu penduduk bangkit semula daripada pandemik Covid-19, program muzik Suara Utara dimulakan pada 2021 dan bertujuan memberi peluang kepada penduduk daerah Woodlands untuk mempamerkan serta membangunkan bakat muzik mereka menerusi pementoran dan persembahan.
Selain itu, ia menyediakan ruang bagi penduduk menjalin ikatan menerusi muzik.
Di bawah Suara Utara, sebanyak dua konsert Rock Untuk Rakyat telah diadakan dengan hasil kutipan tiket konsert tahun lalu didermakan sepenuhnya kepada usaha kemanusiaan di Gaza.
Melebihi usaha untuk mendekati penduduk Melayu yang menetap di bahagian utara, Cik Mariam juga giat bertemu penduduk di kawasannya tidak kira bangsa.
Sepanjang wartawan bertemu Cik Mariam di daerah jagaannya, ada sahaja penduduk yang akan bertegur sapa atau melontarkan senyuman manis kepadanya, seolah-olah sudah kenal lama.
“Saya pandang penduduk Woodlands ibarat keluarga sendiri, dari kanak-kanak hingga ke warga emas,” ujarnya yang sudah berkhidmat di GRC Sembawang selama satu penggal.
Cik Mariam telah mewakili penduduk di Sembawang GRC sejak menganggotai Parti Tindakan Rakyat (PAP) dalam Pilihan Raya Umum (GE) yang bertanding di sana pada 2020.
Pasukan lima anggota yang diketuai oleh Menteri Kesihatan, Encik Ong Ye Kung, itu menewaskan Parti Perpaduan Nasional (NSP) selepas mendapat 67.29 peratus undi daripada sekitar 148,000 pengundi di kawasan tersebut.
Sejak itu, Cik Mariam giat mendampingi dan membantu penduduk di sana.
Antara inisiatif untuk memupuk sifat saling bantu-membantu dalam kalangan penduduk ialah inisiatif Belanja-A-Meal (B.A.M.) yang membolehkan penduduk menaja makanan bagi yang kurang berkemampuan.
Selain itu, terdapat juga pasar raya mini Store @ Woodlands, di 852 Woodlands Street 83 yang mengajak penduduk kurang bernasib baik untuk memilih sembilan barang dapur secara percuma setiap bulan, termasuk minyak masak, beras, sayur, ayam dan susu.
Ketika ditanya wartawan tentang dakwaan sesetengah orang yang menggelar Woodlands sebagai daerah ‘ulu’, Cik Mariam dengan pantas menyangkal:
“Saya rasa dulu kalau awak kata Woodlands itu ulu, mungkin. Tapi sekarang, saya rasanya tak boleh panggil ulu lagi. Kita ada pusat beli-belah, makanan halal pun banyak. Kita ada masjid, kita ada hospital sendiri yang baru, Woodlands Health Campus.
“Nak pergi Orchard Road dari sini dengan Laluan Thomson East Coast (TEL) sekarang pun setengah jam sudah sampai. Dan kita ada empat stesen MRT...tak lama lagi ada RTS ke Johor Bahru!”
Namun di samping perkembangan yang berlaku di Woodlands, Cik Mariam percaya keunikan daerah itu ialah kehijauan alam semula jadi dan taman-taman yang ada.
Bahkan, beliau menyifatkan penduduk Woodlands sebagai chill (santai) dan peramah orangnya, menjadikan pengalaman beliau untuk beramah mesra dengan mereka mudah sekali.
Malah, beliau meluahkan betapa tersentuh hatinya apabila mereka back-up beliau di media sosial apabila Cik Mariam menjadi buah mulut warganet akibat terlelap di Parlimen.
“Suami saya suruh saya baca komen walaupun selalunya kita elak baca komen di media sosial. Tentunya banyak soalan kenapa saya tidur, tapi banyak juga komen daripada penduduk Woodlands yang kata ‘jangan buli AP saya, beliau rajin, lakukan banyak untuk kami’. Jadi boleh dikatakan saya sangat terharu,” kata Cik Mariam positif.
Peminat Liverpool itu sempat menyelitkan penghargaannya kepada penduduk Woodlands yang menonjolkan semangat You Never Walk Alone (Anda Tidak Bersendirian).
Kembali serius, Cik Mariam akui bahawa kejadian tersebut menjadi peringatan baik kepadanya bahawa beliau perlu kekal tajam dan mengimbangi tenaganya dalam menggalas tugas sebagai wakil masyarakat.
Di samping tugasnya sebagai AP, Cik Mariam merupakan Pengarah Urusan dan Rakan Kanan di konsultan pengurusan perniagaan Boston Consulting Group.
Beliau menjelaskan lagi bahawa tuntutan pekerjaannya juga memerlukan beliau untuk kerap ke luar negara hampir setiap minggu.
Justeru, jadual hariannya sangat padat.
Namun, Cik Mariam berkata ia sukar tercapai tanpa sokongan kuat suaminya, Encik Muhd Amir Heng Teck Thai, 48 tahun, yang beliau telah membina mahligai bersama selama 21 tahun.
Wajah Encik Amir pula tidak asing dalam kalangan penduduk Woodlands sehinggakan ada yang bergurau bahawa pasangan tersebut ibarat Buy 1, Get 1 Free (Beli 1, Dapat 1 Percuma), kongsi Cik Mariam yang akui tanggungjawabnya kini bererti tiada hari untuk berehat.
“Jadi kalau beliau tak ikut saya untuk sebahagian acara, saya rasa waktu kami bersua muka sangat sedikit sahaja. Jadi disebabkan itu beliau akan hadir dan alhamdulillah, kami berdua agak bersemangat tentang masyarakat,” tambahnya.
Cik Mariam, yang berkelulusan Sarjana dalam Pentadbiran Perniagaan, Harvard Business School dan Sarjana Sains dalam Kejuruteraan Elektrik, Universiti Stanford, menjelaskan lagi dengan penuh rendah hati bahawa beliau tidak pernah berhajat memasuki bidang politik selepas mengemudi sebahagian besar kerjayanya dalam sektor privet.
“Hanya apabila Covid-19 melanda dan arwah bapa saya menghidap barah, saya mula terfikir apa makna di sebalik kehidupan yang saya inginkan, dan bolehkah saya melakukan sesuatu untuk memperbaiki kehidupan orang lain?
“Lagipun dengan rezeki yang kita sudah dapat untuk diri sendiri, kita perlu berkongsi rezeki itu dan bantu orang lain pula,” katanya.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg