Bagi menyokong usaha mengenal pasti dan memastikan syarikat yang mungkin bertanggungjawab atau menyumbang kepada kebakaran yang menyebabkan jerebu di Singapura dipertanggungjawabkan, sebuah panel pakar akan ditubuhkan, kata Kementerian Undang-Undang (MinLaw) pada 23 Oktober.

Panel itu akan melibatkan firma guaman, audit dan penyiasatan.

Ia bakal menghimpunkan golongan karyawan yang mempunyai kepakaran, rangkaian dan keupayaan untuk menjalankan siasatan rentas sempadan, menjejaki hubungan korporat yang kompleks serta meneliti rantaian bekalan yang merentasi pelbagai bidang kuasa, tambah kementerian itu.

Firma guaman, Davinder Singh Chambers, telah dilantik sebagai penasihat bagi menyelaras tugas yang dijalankan oleh panel pakar tersebut.

Firma guaman itu mempunyai pengalaman luas dalam menjalankan siasatan rentas sempadan dan mengendalikan struktur undang-undang yang kompleks, jelas MinLaw.

Firma itu akan menasihati pemerintah serta membantu menyelaras dan mengurus pelaksanaan siasatan merentasi pelbagai bidang kuasa.

Syarikat yang dikenal pasti oleh pemerintah akan diwajibkan mendapatkan khidmat golongan karyawan daripada panel itu untuk menjalankan siasatan menyeluruh terhadap operasi, hubungan korporat dan rantaian bekalan mereka, serta mengemukakan laporan audit terperinci kepada pemerintah.

“Syarikat akan dijangka memberikan kerjasama sepenuhnya dan akses tanpa sekatan kepada maklumat berkaitan serta operasi mereka, setakat yang diperlukan bagi menjalankan siasatan,” tambah MinLaw.

“Panel ini akan membantu pemerintah mendapatkan gambaran jelas mengenai fakta, termasuk dalam kes yang melibatkan struktur korporat yang kompleks dan urusan komersial merentasi pelbagai bidang kuasa,” tambah jurucakap kementerian itu.

Kementerian itu menjelaskan siasatan berkenaan memerlukan pengumpulan maklumat dan tugas berkaitan di luar negara.

Agensi pemerintah, termasuk Pejabat Peguam Negara (AGC), mungkin berdepan batasan dari segi undang-undang dan praktikal ketika menjalankan tugas sedemikian dalam bidang kuasa negara lain.

“Ini kerana negara-negara lazimnya mengenakan batasan terhadap jenis tugas yang boleh dijalankan oleh agensi pemerintah asing di wilayah mereka,” tambah kementerian itu.

Agensi lain termasuk Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA) dan Penguasa Kewangan Singapura (MAS), turut terlibat dalam usaha tersebut.

Maklumat lanjut akan diumumkan pada hujung Oktober dan hasil siasatan akan dinilai oleh agensi pemerintah yang berkaitan serta AGC.

Sementara itu, dalam satu kenyataan media pada 23 Oktober, NEA berkata ia juga sedang menghubungi 10 syarikat yang telah diberikan Notis Langkah Pencegahan (PMN) di bawah Seksyen 9 Akta Pencemaran Jerebu Rentas Sempadan (THPA) Singapura.

NEA akan menghubungi syarikat tersebut untuk mendapatkan dokumen dan maklumat mengenai kejadian kebakaran di kawasan mereka, serta langkah yang diambil untuk memadamkan kebakaran tersebut.

Ini termasuk maklumat mengenai hubungan syarikat berkenaan dengan syarikat yang berkaitan di Indonesia dan Singapura.

NEA juga sedang memohon dokumen dan maklumat daripada 10 lagi syarikat berdaftar di Singapura menerusi notis di bawah Seksyen 10 THPA.

Permohonan itu mengenai hubungan mereka dengan syarikat-syarikat bersekutu di Singapura dan Indonesia dan lokasi konsesi tanah yang dimiliki oleh mereka.

Ia juga bagi mengumpul maklumat mengenai langkah pencegahan kebakaran dan sebarang usaha pemadaman kebakaran yang mereka ambil, termasuk oleh syarikat bersekutu di Indonesia sepanjang musim kemarau ini.

Sepuluh syarikat berdaftar di Singapura berikut beroperasi dalam industri minyak sawit atau perhutanan.

Mereka didapati memiliki tanah konsesi di Indonesia atau syarikat bersekutu yang memiliki tanah konsesi tersebut:

1) Asia Pulp & Paper Company Limited
2) Asia Pulp & Paper Company (China) Limited
3) Bumitama Agri Ltd  
4) Golden Agri International Pte Ltd 
5) First Resources Ltd
6) Indofood Agri Resources Ltd
7) Kencana Agri Ltd
8) TSH Global Plantation Pte Ltd
9) TSH Oversea Pte Ltd 
10) Wilmar International Ltd