Topik diikuti
Pergi ke BHkuJerebu rentas sempadan: Syed Saddiq balas kritikan mantan menteri Indonesia
Jerebu rentas sempadan: Syed Saddiq balas kritikan mantan menteri Indonesia
KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, membidas kritikan mantan Menteri Perdagangan Indonesia, Encik Muhammad Lutfi, berhubung gesaannya supaya Asean memulaukan Indonesia, menyusuli isu jerebu rentas sempadan yang terus berulang.
Syed Saddiq berkata gesaan itu bukan soal Malaysia lawan Indonesia dan tidak sepatutnya dilihat sebagai pertelingkahan antara dua negara.
Sebaliknya ia perlu ditangani melalui tindakan berasaskan bukti terhadap mana-mana pihak yang didapati mencemarkan alam sekitar.
“Ini bukan soal Malaysia lawan Indonesia, bendera kita berbeza tetapi apabila sesak nafas deritanya sama,” katanya dalam video yang dikongsi di media sosialnya pada 21 Oktober, lapor Berita Harian Malaysia.
Menurut Syed Saddiq, Encik Muhammad mendakwa syarikat Malaysia dan Singapura bersalah dalam membakar hutan di Indonesia demi keuntungan, namun tidak ada bukti sedemikian dilampirkan.
“Saya tidak akan menjadi pelindung pencemar walaupun (pihak berkenaan) dari negara saya sendiri.
“Jangan memilih bendera perusahaan Malaysia, Indonesia atau Singapura, (dan) kalau terbukti membakar hutan untuk keuntungan, cepat ambil tindakan.
“Bendera bukan lesen untuk merosakkan alam. Mereka (pihak yang bertanggungjawab) beroperasi di Indonesia (tertakluk) di bawah undang-undang Indonesia. Kuasa (mengambil tindakan) di tangan anda (kerajaan Indonesia).
“Di Parlimen, saya sudah mendesak tindakan terhadap syarikat Malaysia sekiranya ada yang didapati terbabit. Lihat ucapan penuh saya, jangan potong ucapan sampai terpotong kebenaran,” katanya.
Beliau berkata pemilikan ladang berskala besar juga tidak boleh dijadikan bukti mana-mana syarikat bersalah menyebabkan kebakaran hutan tanpa bukti yang menyokong dakwaan itu.
Mengulas mengenai SG Guthrie, Syed Saddiq berkata setakat ini tiada bukti pihak berkenaan sebagai pencetus kebakaran.
Malah, katanya, pihak terbabit mempunyai 67 pasukan dengan lebih 1,000 anggota terlatih, dron dan (peralatan) inframerah bagi menangani isu itu yang membabitkan perbelanjaan lebih RM800,000 ($250,464) sebulan.
“(Selain itu), kalau mahu petik laporan Greenpeace, jangan petik separuh cerita. Laporan itu merekodkan 19 titik sumber asap di konsesi syarikat KLK berbanding 6,811 yang lain.
“Bapak (Encik Muhammad) mahu kami hanya fokus kepada penyumbang 0.3 peratus daripada 99.7 peratus yang lain. Jangan lantang terhadap satu nama kemudian senyap terhadap yang lain,” katanya.
Syed Saddiq berkata Malaysia menawarkan bantuan bagi menangani kebakaran hutan di Indonesia, termasuk pesawat, tiga helikopter dan anggota, namun tawaran itu tidak mendapat maklum balas daripada pentadbiran Indonesia.
“Ini bukan Malaysia lawan Indonesia, ini rakyat yang mahukan udara bersih melawan pihak yang mengotorkannya. Apabila hutan dibakar untuk keuntungan, untung masuk ke akaun syarikat, asap masuk paru-paru rakyat,” tambahnya.
“Jerebu tidak memilih mangsa. Ia tidak membezakan warna kulit, agama atau kewarganegaraan.
“Anak Malaysia sesak nafas, anak Indonesia juga sesak nafas. Bendera kita mungkin berbeza, tetapi keperluan kita untuk bernafas tetap sama. Jangan bela pembakar kerana benderanya, bela rakyat kerana nyawanya,” ujarnya.
Terdahulu, media melaporkan, Encik Muhammad membidas Syed Saddiq selepas beliau menggesa Asean ‘memulaukan’ Indonesia berikutan masalah jerebu rentas sempadan yang berulang.
Encik Muhammad dipetik berkata masalah jerebu bukan peluang untuk meraih publisiti politik murahan, sebaliknya harus ada simpati kepada anggota bomba Indonesia yang terkorban ketika memadamkan kebakaran, manakala ratusan ribu rakyat negara itu terpaksa menyedut asap.
Ketika membahaskan Belanjawan Malaysia 2027, Syed Saddiq dilaporkan menggesa Malaysia menggerakkan negara Asean menentang masalah jerebu.
Ini termasuk menghentikan pembiayaan kepada syarikat yang dikaitkan dengan pembakaran terbuka serta menggerakkan pengguna untuk memberi tekanan kepada perniagaan yang terbabit dalam kebakaran itu.