Singapura akan membuka konsulat di Sabah dan Sarawak susulan persetujuan rasmi dari Malaysia, umum Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong.
Beliau berkata demikian ketika berucap di sidang media bersama rakan sejawatnya, Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang diadakan sempena Rahat Pemimpin Singapura-Malaysia ke-12 pada 4 Disember.
“Ini akan membolehkan Singapura menyediakan khidmat konsular kepada rakyat Singapura di sana dan memperdalami hubungan kukuh antara rakyat kita,” kata Encik Wong di sidang itu, yang diadakan di Hotel The Ritz-Carlton, Millenia Singapore.
Idea membuka konsulat di Sabah dan Sarawak telah dibincangkan semasa rahat pemimpin sebelum ini, yang diadakan di Putrajaya, Malaysia pada Januari 2025.
Singapura kini mempunyai dua misi diplomatik di Malaysia – Suruhanjaya Tinggi di Kuala Lumpur dan konsulat di Johor Bahru.
Kerjasama dua hala antara Singapura dengan Malaysia dalam bidang kesihatan dan usaha memerangi dadah akan diperdalami dengan pertukaran dua Memorandum Persefahaman (MOU).
Pertukaran MOU tersebut disaksikan Encik Wong dan Datuk Anwar.
Dalam satu sidang media bersama, Encik Wong berkata dua MOU itu akan “membolehkan kita belajar daripada satu sama lain dalam bidang kepentingan ini dan memperkukuh daya tahan masyarakat kita”.
MOU berkenaan kesihatan itu akan menyaksikan dua negara tersebut memperdalami kerjasama dalam beberapa bidang.
Ini termasuk dalam kesihatan digital, penyediaan khidmat penjagaan kesihatan, pembiayaan penjagaan kesihatan, kesihatan awam termasuk pencegahan dan kawalan penyakit mudah berjangkit, penyakit tidak mudah berjangkit dan penggalakkan kesihatan.
Selain itu, dua negara itu juga akan bekerjasama dalam bidang nutrisi, penjagaan jangka panjang dan penuaan sihat, serta pembangunan sumber manusia dalam kesihatan.
MOU tersebut telah ditandatangani Menteri Ehwal Luar, Dr Vivian Balakrishnan, dan Menteri Luar Malaysia, Datuk Seri Mohamad Hasan.
Di bawah MOU itu, kedua-dua Singapura dan Malaysia akan bertukar-tukar maklumat, pengetahuan dan amalan terbaik dalam bidang kerjasama yang dikenal pasti, melakukan lawatan pertukaran bagi pakar dan pegawai, dan mengadakan kegiatan latihan dan pembangunan kapasiti bersama.
Antara lain, kerjasama mengenai penyelidikan, pembangunan dasar, acara pendekatan pihak berkepentingan, dan anjuran bersama bengkel, seminar dan persidangan juga akan diadakan.
Sementara itu, MOU berkenaan usaha menentang dadah pula bertujuan memperkukuh dan membangunkan kerjasama dalam memerangi, antaranya, pengedaran haram dadah narkotik dan bahan psikotropik.
MOU ini ditandatangani Menteri Penyelaras bagi Keselamatan Negara merangkap Menteri Ehwal Dalam Negeri, Encik K. Shanmugam, dan Menteri Dalam Negeri Malaysia, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.
Di bawah MOU itu, Singapura dan Malaysia akan bertukar-tukar maklumat mengenai trend dan teknik yang digunakan dalam penghasilan, penyalahgunaan, pengedaran dan pelencongan dadah secara haram.
Dua negara itu juga akan mengadakan latihan dan pendidikan untuk memperkukuh pembangunan kapasiti, peningkatan kemahiran dan pembangunan pengetahuan.
Antara lain, mereka akan mengadakan kegiatan dan latihan diselaraskan yang ditentukan bersama dalam kalangan agensi yang relevan bagi tujuan pencegahan dan kawalan pengedaran dadah secara haram.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg