Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

S’pura, M’sia meterai perjanjian tambahan RTS Link, pacu pembangunan JS-SEZ

Rahat Pemimpin PM Wong, PM Anwar turut perkukuh kerjasama dua hala dalam bidang kesihatan, usaha perangi dadah
Dec 4, 2025 | 4:44 PM
Rahat Pemimpin Singapura-Malaysia ke-12, PM Wong, Datuk Anwar
Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong (kanan), dan Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim, di sidang media bersama sempena Rahat Pemimpin Singapura-Malaysia ke-12 pada 4 Disember. - Foto ZAOBAO

Singapura dan Malaysia menandatangani satu perjanjian tambahan kepada Perjanjian Dua Hala Laluan Sistem Transit Laju (RTS Link) Johor Bahru-Singapura pada 4 Disember.

Ini merupakan sebahagian usaha mempertingkat ketersambungan pengangkutan antara negara ini dengan Johor Bahru.

Pertukaran perjanjian itu disaksikan Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, dan Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dan diadakan sempena Rahat Pemimpin Singapura-Malaysia ke-12.

Perjanjian tersebut akan memudahkan persiapan bagi kemudahan kompleks kastam, imigresen dan kuarantin di satu lokasi sama dan operasi sistem rel itu kelak.

Ia telah ditandatangani oleh Pemangku Menteri Pengangkutan, Encik Jeffrey Siow, dan Menteri Pengangkutan Malaysia, Encik Anthony Loke.

Menurut Encik Siow dalam kiriman Facebooknya, perjanjian itu menetapkan rangka kerja undang-undang agar penumpang dari kedua-dua belah seberang Tambak hanya perlu melalui pelepasan imigresen ketika keberangkatan.

Dalam pada itu, Malaysia telah secara rasmi bersetuju bagi Singapura membuka konsulat baru di Sabah dan Sarawak.

Encik Wong dan Datuk Anwar turut menyaksikan pertukaran dua Memorandum Persefahaman (MOU) di rahat pemimpin itu, yang memperkukuh kerjasama dua hala antara Singapura dan Malaysia dalam bidang kesihatan dan juga usaha memerangi dadah.

RTS Link – dijangka mula beroperasi akhir 2026 – merupakan komponen penting Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) yang akan membantu melancarkan perjalanan warga dari kedua-dua belah seberang Tambak dan mengurangkan masa perjalanan antara Singapura dengan Johor Bahru.

Berucap di sidang media bersama di Hotel The Ritz-Carlton, Millenia Singapore, Encik Wong berkongsi perkembangan dalam kerjasama dua hala antara Singapura dengan Malaysia, sambil berkata “kemajuan amat baik” telah dicapai bagi JS-SEZ pada 2025.

“Syarikat berpangkalan di Singapura telah memberi komitmen lebih $5.5 bilion dalam pelaburan di JS-SEZ sejak Januari 2024.

“Oleh itu, kami mengalu-alukan ratifikasi Perjanjian JS-SEZ, dan terdapat potensi besar bagi perkara ini berkembang lanjut,” kata beliau.

“Potensinya lebih besar memandang ke hadapan, terutamanya dengan ketersambungan pengangkutan yang dipertingkat, dan ini akan berlaku dengan siapnya RTS Link,” tambah beliau.

Dengan tahap pelaburan yang “luar biasa”, Datuk Anwar pula berkata bahawa kejayaan JS-SEZ itu hanya boleh berlaku kerana kepercayaan dan persahabatan antara kedua-dua negara.

Beliau menambah bahawa dengan adanya RTS Link, aliran trafik akan meningkat dan terdapat keperluan untuk mempertingkat prasarana di Johor Bahru dan juga daerah pedalaman – sesuatu yang sedang diusahakan.

Beliau menambah bahawa kerajaan Malaysia memahami keperluan bagi kemudahan kompleks kastam, imigresen dan kuarantin di Woodlands dan sedang mengusahakan fasa terakhir aturan tersebut.

“Ini supaya Singapura dapat teruskan (rancangan) dengan pantas kerana ia akan memberi manfaat kepada Singapura dan juga Malaysia, tetapi kami terbuka kepada saranan,” kata beliau.

Selain RTS Link, Encik Wong berkata pegawai dan menteri kedua-dua negara itu telah membuat kemajuan baik dalam perbincangan mengenai Skim Teksi Rentas Sempadan untuk menyediakan lebih banyak pilihan mudah kepada penumpang.

Butiran lanjut mengenai skim itu akan dikongsi kelak, tambah beliau.

Sebelum ini, Berita Harian telah melaporkan bahawa Kementerian Pengangkutan (MOT) dan Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) sedang dalam perbincangan dengan Malaysia untuk melonggarkan sekatan ke atas skim itu.

Ini termasuk membenarkan teksi Malaysia untuk menurunkan penumpang di mana-mana kawasan di Singapura, bukan sekadar di tempat yang ditetapkan. Begitu juga dengan teksi Singapura yang juga dibenarkan melakukan perkara yang sama di Johor Bahru.

Selain RTS Link dan teksi, Encik Wong menambah bahawa para pegawai juga sedang membincangkan tentang khidmat bas yang diperluas.

“Sama ada ia melalui rel, kereta atau bas, pilihan pengangkutan yang berbeza, kami akan mempermudahkannya, kami akan menyediakan lebih banyak pilihan dan kemudahan,” kata beliau.

Encik Wong menambah bahawa kedua-dua Singapura dan Malaysia juga telah memperkenalkan inisiatif seperti pelepasan kastam berdasarkan sistem kod QR dan laluan automatik untuk mengurangkan kesesakan di pusat pemeriksaan darat.

Singapura juga akan menjalankan kerja-kerja pembangunan semula di Pusat Pemeriksaan Woodlands untuk memperluaskan kapasiti, dan mempertingkat kecekapan serta pengalaman pelancong, kata Encik Wong.

Fasa pertama kerja pembinaan Pusat Pemeriksaan Woodlands itu telah bermula pada suku ketiga 2025, dengan ia akan dinaik taraf dan diperluaskan dalam tempoh 10 hingga 15 tahun akan datang.

Rahat Pemimpin Singapura-Malaysia ke-12 itu merupakan yang kedua antara Encik Wong dengan Datuk Anwar.

Yang pertama diadakan di Putrajaya, Malaysia, pada Januari 2025.

Pertemuan kali ini diadakan sedang kedua-dua negara menyambut ulang tahun ke-60 hubungan dua hala pada 2025.

Encik Wong telah mengadakan jamuan tengah hari bagi Datuk Anwar, dengan delegasi dua negara tersebut bertemu selepas itu.

Dalam aspek kerjasama tenaga pula, Encik Wong berkata Singapura sedang merancang untuk memperluaskan kapasiti bagi perdagangan elektrik rentas sempadan antara dua negara itu melalui penyambung tara elektrik kedua.

Sebelum ini pada 17 Oktober, Penguasa Pasaran Tenaga (EMA) mengumumkan dalam satu kenyataan bahawa ia telah memberi kelulusan bersyarat kepada Sembcorp Utilities dan rakan konsortiumnya, Sarawak Energy, untuk mengimport 1 gigawatt tenaga rendah karbon ke Singapura.

“Projek tersebut akan membawa kita lebih dekat kepada sebuah masa depan rendah karbon, mewujudkan lebih banyak peluang, dan menyokong pembangunan Grid Kuasa Asean,” kata Encik Wong.

Dengan hubungan dua hala yang telah terjalin selama enam dekad, Encik Wong berkata Singapura dan Malaysia harus berbangga dengan apa yang telah dikecapi bersama, kedua-dua secara dua hala dan di rantau ini.

“Saya berterima kasih atas persahabatan, kepimpinan dan sokongan PM Anwar, dan saya gembira beliau seorang rakan yang sama-sama komited dalam memastikan hubungan kita terus berkembang maju untuk tahun-tahun mendatang,” kata beliau.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg