Singapura akan mengenakan sekatan khusus ke atas pemimpin kumpulan petempatan sayap kanan radikal yang bertindak ganas terhadap rakyat Palestin di Tebing Barat, kata Menteri Ehwal Luar, Dr Vivian Balakrishnan.
Ini menyusuli keputusan Israel untuk meneruskan pembinaan petempatan baru di Tebing Barat, tambah beliau.
Selain menekankan tentangan Singapura terhadap kegiatan petempatan di Tebing Barat, Dr Balakrishnan, turut mengetengahkan tentangan Republik ini terhadap percubaan berterusan untuk “mencipta fakta baru” yang menjejas prospek bagi penyelesaian dua negara untuk Israel dan Palestin.
Ini kali pertama Singapura mengumumkan langkah sekatan sedemikian, dengan butiran lanjut mengenai sekatan itu akan diumumkan kelak.
“Singapura secara konsisten berpegang pada pandangan bahawa petempatan Israel adalah haram di bawah undang-undang antarabangsa,” kata Dr Balakrishnan.
“Kami telah mengundi menyokong resolusi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang menolak kegiatan petempatan Israel dan menyeru Israel supaya membatalkan semua langkah sepihak yang ingin mengubah status Baitulmakdis.
“Kami menyeru pemerintah Israel agar menghentikan pembinaan dan peluasan petempatan.”
Dr Balakrishnan mengumumkan hasrat Singapura mengenakan sekatan tersebut semasa beliau menyampaikan kenyataan menteri mengenai keadaan di Timur Tengah di Parlimen pada 22 September.
Beliau berkata penduduk petempatan Israel terus menyingkirkan rakyat Palestin di Tebing Barat, dengan beberapa ahli politik Israel telah bercakap tentang langkah merampas beberapa bahagian Tebing Barat atau Gaza untuk dijadikan sebahagian Israel.
Bahkan, baru-baru ini, pemerintah Israel telah menandatangani perjanjian untuk meneruskan projek petempatan E1 di Tebing Barat.
“Ini akan memecahbelahkan Tebing Barat dan mengancam keterkaitan bandar Arab di wilayah Palestin yang diduduki,” kata Dr Balakrishnan.
Di samping itu, Dr Balakrishnan turut menjawab soalan susulan beberapa Anggota Parlimen (AP) mengenai sekatan tersebut, termasuk daripada Ketua Pembangkang, Encik Pritam Singh, yang juga ketua Parti Pekerja (WP), mengenai apakah sekatan itu akan menjejas hubungan pertahanan Singapura dengan Israel.
Meskipun Israel telah memainkan peranan dalam tahun-tahun awal negara ini dan terus mempunyai peranan berharga, Dr Balakrishnan berkata ia tidak bermakna Singapura terikat untuk membiarkan sahaja perbuatannya.
Beliau menambah, dasar sekian lama pemerintah adalah untuk tidak mendedahkan butiran kerjasama pertahanan atas sebab-sebab keselamatan, tetapi beliau memberi jaminan Singapura tidak dipaksa untuk melakukan sesuatu yang ia tidak rela lakukan.
Menjawab soalan Dr Charlene Chen (GRC Tampines) pula, Dr Balakrishnan berkata langkah mengenakan sekatan itu antara lain menunjukkan Singapura tidak bersetuju dengan tindakan petempatan Israel terhadap Palestin.
“Ini adalah ungkapan yang selaras dengan penilaian kami tentang apa yang salah, dan ia bertentangan dengan kepentingan jangka panjang kededua Palestin dan Israel, dan ia adalah gambaran bahawa kami terus percaya penyelesaian dua negara adalah satu-satunya cara yang berdaya maju ke hadapan,” kata beliau.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg