Topik diikuti
Pergi ke BHkuS’pura akan teroka kerjasama lebih erat Asia Tenggara-Asia Tengah selaku pengerusi Asean pada 2027
SM Lee lawat Kazakhstan, terima anugerah tinggi bagi iktiraf sumbangan dalam perkukuh persahabatan, kerjasama
ASTANA (Kazakhstan): Singapura akan meneroka cara mempererat hubungan antara Asia Tenggara dengan Asia Tengah apabila negara ini mengambil alih jawatan pengerusi Asean pada 2027.
Di samping itu, ia akan turut melihat melangkaui rakan kongsi tradisional kumpulan tersebut ke arah sebuah rantau yang mempunyai potensi ekonomi yang semakin berkembang.
Menteri Kanan, Encik Lee Hsien Loong, berkata pada 26 Ogos bahawa Singapura akan meneroka cara kedua-dua rantau itu dapat meningkatkan kerjasama dalam bidang termasuk pengangkutan, ketersambungan, tenaga dan pembangunan mampan.
“Sebagai Pengerusi Asean tahun depan (2027), Singapura berharap dapat mewujudkan lebih banyak peluang bagi Asean untuk menjalin hubungan dengan rakan kongsi di luar rangkaian tradisional kita,” kata Encik Lee dalam satu majlis di Astana, ibu kota Kazakhstan, apabila Presiden Kazakhstan, Encik Kassym-Jomart Tokayev, menganugerahkan kepada beliau Pingat Order of Dostyk (Darjah Persahabatan) Kelas Pertama.
“Kita akan meneroka bagaimana Asia Tenggara dan Asia Tengah boleh bekerjasama dengan lebih rapat.”
Anugerah itu merupakan penghormatan negara Kazakhstan atas sumbangan dalam memperkukuh persahabatan dan kerjasama.
Encik Lee berkata beliau menerima anugerah itu bagi pihak ramai rakyat Singapura dan Kazakhstan yang telah berusaha mendekatkan hubungan antara kedua-dua negara sejak tiga dekad lalu.
Usaha memperkukuh hubungan antara kedua-dua rantau itu dilakukan ketika Singapura dan Kazakhstan memperluas kerjasama dalam bidang baharu, dengan perjanjian ditandatangani pada 26 Ogos meliputi penyepaduan digital laluan perdagangan utama Eurasia serta pengurusan air.
Di bawah perjanjian pertama, Singapore Cooperation Enterprise (SCE), sebuah anak syarikat milik penuh Enterprise Singapore, dan syarikat pengangkutan serta logistik Kazakhstan, Middle Corridor Multimodal, akan bekerjasama dalam penyepaduan digital Koridor Tengah, iaitu laluan perdagangan yang menghubungkan China dengan Eropah melalui Asia Tengah dan kawasan lain.
Para pakar berkata laluan itu semakin penting kerana konflik telah menjejas laluan lain antara kedua-dua pasaran tersebut.
Antara bidang kerjasama yang berpotensi ialah dokumentasi perdagangan, logistik multimodal dan pengurusan rantaian bekalan, kata SCE.
Kerjasama itu juga boleh membuka peluang bagi syarikat Singapura dalam perdagangan digital, logistik dan perkhidmatan berkaitan.
Dalam satu wawancara pada 26 Ogos, Ketua Eksekutif SCE, Encik Kong Wy Mun, menyifatkan kerjasama itu sebagai “alternatif yang sangat strategik” bagi aliran barangan, dengan jumlah dagangan melalui laluan tersebut meningkat sekitar 30 peratus setiap tahun.
Namun, laluan itu merentasi beberapa negara yang mempunyai piawaian dan proses kastam berbeza, yang boleh menyebabkan kesesakan.
Encik Kong berkata Singapura boleh berkongsi pengalamannya bagi membantu meningkatkan keserasian sistem Kastam serta kecekapan pergerakan barangan merentasi sempadan.
“Syarikat kita sememangnya akan mendapat manfaat dari segi peluang mendapatkan projek di rantau dan bidang khusus ini,” katanya, sambil menambah bahawa ia boleh menjadi landasan bagi syarikat Singapura mengembangkan operasi ke Asia Tengah.
Perjanjian kedua antara SCE dengan Kementerian Sumber Air dan Pengairan Kazakhstan pula akan membolehkan Singapura berkongsi pengalamannya dalam mengurus sumber air.
Ia merangkumi program lawatan sambil belajar ke Singapura bagi pegawai Kazakhstan, meliputi bidang seperti kelestarian air, pengurusan banjir, penggunaan semula air dan pendigitalan.
Perjanjian itu juga boleh membuka jalan bagi agensi dan syarikat Singapura menjalin kerjasama dalam sektor air Kazakhstan.
Kazakhstan menghadapi beberapa cabaran dalam bidang tersebut.
Menurut Encik Kong, ia termasuk kesan perubahan iklim terhadap glasier yang membekalkan air kepada sungai-sungainya, selain paras air yang semakin menurun di Laut Kaspia.
Singapura boleh berkongsi pengalaman dalam perancangan dan pengurusan sumber air, manakala syarikat-syarikatnya kelak boleh meneroka peluang dalam bidang seperti penyelesaian air digital dan sistem meter pintar, tambah beliau.
Menteri Sumber Air dan Pengairan Kazakhstan, Encik Nurzhan Nurzhigitov, berkata negaranya telah bekerjasama dengan SCE selama kira-kira 18 bulan dan pakar air Kazakhstan tidak lama lagi akan ke Singapura untuk menjalani latihan.
Beliau berkata Kazakhstan memerlukan “budaya baharu dalam penggunaan air” dan mahu terus membangunkan serta mendigitalkan prasarananya bagi menyesuaikan diri dengan cabaran perubahan iklim, peningkatan suhu dan kemerosotan sumber air.
Kementerian Ehwal Luar (MFA) dan Agensi Pembangunan Antarabangsa Kazakhstan (KazAID) turut bersetuju mengadakan Program Latihan Bersama kedua bertema, kecerdasan buatan (AI), pembangunan digital serta sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik di Astana dalam tempoh dua tahun akan datang.
Program itu akan melatih sehingga 30 pegawai pemerintah peringkat pertengahan hingga kanan dari negara-negara Asia Tengah, kata MFA.
Perjanjian baharu tersebut dibina atas hubungan yang semakin berkembang sejak Singapura dan Kazakhstan menjalin hubungan diplomatik pada 1993.
Perjanjian Dua Hala mengenai Perkhidmatan dan Pelaburan mula berkuat kuasa pada Mac 2025, sekali gus memberikan syarikat Singapura akses lebih luas ke pasaran Kazakhstan.
Kazakhstan merupakan rakan dagang terbesar Singapura di Asia Tengah.
Perdagangan dua hala dalam barangan berjumlah $326.6 juta, manakala perdagangan dalam perkhidmatan mencecah $159 juta.
Jumlah stok pelaburan langsung Singapura di Kazakhstan pula bernilai $2.1 bilion, dengan 158 syarikat sekutu Singapura di luar negara beroperasi di negara itu.
Dalam ucapannya, Encik Lee berkata hubungan antara kedua-dua negara bermula sebelum Kazakhstan memperoleh kemerdekaan pada Disember 1991.
Tiga bulan sebelumnya, pada September 1991, Menteri Kanan ketika itu, mendiang Encik Lee Kuan Yew, melawat republik Soviet tersebut atas undangan presidennya ketika itu, Encik Nursultan Nazarbayev.
Mendiang Encik Lee Kuan Yew berucap di hadapan badan pemerintah, Soviet Tertinggi Kazakhstan, mengenai pengalaman pembangunan Singapura serta peralihan kepada ekonomi pasaran.
Para pemimpin selepas itu terus membina hubungan tersebut, termasuk melalui pertukaran lawatan negara pada 2023 dan 2024, kata Encik Lee.
Walaupun berbeza dari segi geografi, Encik Lee berkata Singapura dan Kazakhstan mempunyai kepentingan bersama untuk bersepadu dengan rantau masing-masing sambil terus berhubung dengan dunia lebih luas.
“Kedua-dua negara kita berusaha untuk bersepadu dalam rantau masing-masing, membina persahabatan di luar rantau dan terus berhubung dengan dunia,” katanya.
Menurut Encik Lee, Singapura boleh menjadi pintu masuk bagi Kazakhstan dan perniagaan Asia Tengah lain yang mencari peluang di Asia Tenggara, manakala Kazakhstan pula boleh menjadi jambatan bagi syarikat Singapura yang ingin meneroka Asia Tengah dan rantau Eurasia lebih luas.
“Perbincangan kita telah mengukuhkan keyakinan saya bahawa kita boleh melakukan lebih banyak lagi bersama.
“Saya yakin generasi rakyat Singapura dan Kazakhstan akan datang bakal terus membawa hubungan ini ke tahap lebih tinggi,” ujar Encik Lee.
Encik Lee turut bertemu dan dijamu makan malam oleh Perdana Menteri Kazakhstan, Encik Olzhas Bektenov.
Encik Bektenov berkata syarikat Singapura telah melabur di negaranya dan projek mereka membantu mewujudkan ribuan pekerjaan.
Beliau turut menekankan kerjasama dengan syarikat seperti PSA International, ST Engineering dan Surbana Jurong dalam bidang termasuk pemindahan teknologi dan perundingan kejuruteraan.
Masih terdapat ruang untuk memperluas kerjasama, kata Encik Bektenov.
“Kami percaya potensi penuh kerjasama kita masih belum direalisasikan,” tambah beliau.
