Singapura akan terus melabur dan mengukuhkan sektor penjagaan asas kesihatan kerana ia telah menjadi sesuatu yang penting, memandangkan penduduk semakin menua, kata Menteri Kesihatan, Encik Ong Ye Kung.
Ini termasuk mengiktiraf doktor keluarga yang menjalani latihan tambahan sebagai pakar.
Mereka berhak mendapat status untuk berdiri sama tinggi bersama pakar lain dan ia juga menandakan kepentingan penjagaan asas kesihatan, katanya kepada The Straits Times.
Satu lagi langkah, untuk membolehkan doktor menyediakan penjagaan lebih pantas dan lebih baik, adalah mewajibkan semua klinik dan hospital menjadi sebahagian daripada Rekod Kesihatan Elektronik Kebangsaan (NEHR) yang menyimpan data kesihatan penting pesakit.
NEHR telah wujud selama bertahun-tahun, tetapi kira-kira 10 peratus klinik swasta dan kebanyakan hospital swasta masih belum menyertai sistem itu.
Perundangan akan dilaksanakan pada awal 2025 yang akan memaksa mereka memasukkan data perubatan pesakit mereka ke dalam sistem itu.
Jelas Encik Ong: “Tidak kira doktor keluarga, pakar atau pakar bedah hospital, apabila mereka berjumpa pesakit buat kali pertama, tugas mereka menjadi lebih mudah apabila mereka mempunyai sejarah perubatan, rekod alahan ubat dan imej diagnostik terkini pesakit.
“Dengan maklumat ini, mereka tidak perlu mengulangi ujian; mereka tidak perlu membuang masa, dan mereka boleh membuat keputusan lebih baik dan lebih pantas, untuk kebaikan pesakit.”
Pesakit yang tidak mahu maklumat mereka dimasukkan ke dalam sistem itu boleh menarik diri.
Bercakap pada Persidangan Serantau Pertubuhan Doktor Keluarga Dunia Asia Pasifik di Pusat Konvensyen Raffles City pada 22 Ogos, Encik Ong berkata Singapura akan terus melabur dalam kecekapan doktor keluarga.
Sekolah-sekolah perubatan akan menumpukan lebih banyak masa kurikulum kepada perubatan keluarga dan penjagaan pencegahan, manakala doktor yang sudah mulai bertugas boleh mempertingkat diri mereka melalui pendidikan dan latihan berterusan.
Beliau menambah: “Memandangkan kepentingan dan impak perubatan keluarga yang semakin meningkat, Kementerian Kesihatan (MOH) akan bekerjasama dengan kumpulan perubatan keluarga, ke arah mengiktiraf Pakar Perubatan Keluarga dengan latihan Perubatan Keluarga lanjutan sebagai pakar. ”
Beliau juga tidak mahu menggalakkan penubuhan klinik doktor tunggal kerana ini tidak lagi ideal.
“Apabila penduduk kita semakin menua, masalah kesihatan semakin rumit dan klinik mungkin memerlukan lebih banyak kepakaran, termasuk melakukan pemeriksaan kesihatan, pemulihan atau kerja fisioterapi, dan sebagainya.
“Klinik swasta perlu bekerjasama dan menyokong satu sama lain, dan lebih banyak lagi perlu dibawa ke dalam rangkaian penjagaan asas kesihatan,” katanya.
Untuk menjadi paling berkesan, doktor keluarga perlu membentuk perkongsian kukuh, pada kedua-dua hala, hiliran (downstream) dan huluan (upstream).
“Hiliran, dengan penjagaan peringkat pertengahan dan teratas di hospital, untuk memberi lebih perhatian kepada kes-kes perubatan.
“Huluan, kepada sumber masyarakat, supaya preskripsi sosial seperti pemakanan yang lebih baik dan lebih banyak senaman dapat disusuli,” ujarnya.
Di bawah skim SG Lebih Sihat, yang mempromosikan model satu pesakit satu doktor untuk penjagaan lebih menyeluruh, 80 peratus klinik swasta sedia ada boleh memanfaatkan sokongan pelbagai agensi, seperti Lembaga Penggalakan Kesihatan (HPB), Persatuan Rakyat (PA) dan Majlis Sukan Singapura (SportSG).
“
“Tidak kira doktor keluarga, pakar atau pakar bedah hospital, apabila mereka berjumpa pesakit buat kali pertama, tugas mereka menjadi lebih mudah apabila mereka mempunyai sejarah perubatan, rekod alahan ubat dan imej diagnostik terkini pesakit. Dengan maklumat ini, mereka tidak perlu mengulangi ujian; mereka tidak perlu membuang masa, dan mereka boleh membuat keputusan lebih baik dan lebih pantas, untuk kebaikan pesakit.”

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg