Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Ye Kung: S’pura terus perkukuh pengawasan penyakit

Sambut baik pindaan terhadap rangka kerja yang beri panduan kepada negara dalam mencegah, mengesan dan memberi respons terhadap penyakit yang menular di serata dunia
Jun 6, 2024 | 7:00 PM
Wakil pelbagai negara menghadiri hari pembukaan Perhimpunan Kesihatan Sedunia (WHA) tahunan di Geneva pada 27 Mei.
Wakil pelbagai negara menghadiri hari pembukaan Perhimpunan Kesihatan Sedunia (WHA) tahunan di Geneva pada 27 Mei. - Foto AFP

Walaupun perjanjian mengenai kerjasama pandemik di peringkat sedunia masih sukar dicapai meskipun selepas mengalami kesan dahsyat jangkitan Covid-19, Singapura akan terus memperkukuh pengawasan penyakit dan menyokong usaha menangani pandemik masa depan.

Contohnya, Singapura mendapati bahawa varian JN.1 dan KP.X bagi jangkitan Covid-19 adalah varian paling tersebar luas semasa gelombang jangkitan itu berlaku di sini.

Singapura juga berkongsi maklumat berguna seperti urutan genetik virus jangkitan itu dengan negara lain, kata Menteri Kesihatan, Encik Ong Ye Kung, pada 4 Jun.

Dalam satu catatan di Facebook menyusuli Perhimpunan Kesihatan Sedunia (WHA) tahunan yang diadakan di Geneva, Switzerland dari 27 Mei hingga 1 Jun, Encik Ong melahirkan rasa kesal bahawa perjanjian pandemik yang diterajui Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menemui kegagalan, selepas rundingan selama dua tahun.

Menurut beliau, kegagalan tersebut berpunca daripada kepercayaan yang terhakis antara negara membangun dengan negara maju, disebabkan bekalan vaksin yang tidak diagihkan secara sama rata dan adil semasa pandemik itu.

Laporan media sebelum ini menyatakan bahawa sebahagian besar suntikan vaksin dilakukan di negara maju.

Perjanjian pandemik itu bertujuan mencapai persetujuan di peringkat sedunia mengenai cara terbaik menangani pandemik seterusnya yang pasti melanda lagi, menurut para pegawai kesihatan awam.  

Ini bagi mengelakkan kesilapan dan perbezaan yang dilihat semasa pandemik Covid-19.

Bagaimanapun, perbincangan tersebut menemui jalan buntu kerana sebilangan negara mempunyai pandangan berbeza mengenai pelbagai isu.

Namun, Encik Ong menyambut baik pindaan yang berjaya dibuat terhadap Peraturan Kesihatan Antarabangsa (IHR), iaitu satu rangka kerja yang memberi panduan kepada negara dalam mencegah, mengesan dan memberi respons terhadap penyakit yang menular di serata dunia, termasuk Ebola, H1N1 dan Covid-19, lapor The Straits Times (ST).

“Perubahan utama ialah komitmen lebih kukuh untuk membina keupayaan utama bagi semua negara, dan terutamanya negara membangun, dan untuk mencegah, mengesan dan memberi respons terhadap kecemasan kesihatan,” kata Encik Ong.

Menurut beliau, komitmen tersebut amat bermakna bagi Singapura. Ini kerana sebagai “nod pengangkutan”, Singapura cepat terdedah kepada “sebarang wabak patogen yang boleh membawa maut, mudah berjangkit dan baru”.

“Walaupun jika kita mempunyai sistem tindak balas penyakit domestik yang terbaik, kita masih perlu menjadi sebahagian usaha sedunia kerana virus tidak mengenali sempadan.

“Apa yang diingini negara kecil seperti kita adalah jelas dan mudah – kita memerlukan multilateralisme untuk bekerja (dengan baik), dan kepercayaan mesti dipulihkan,” kata Encik Ong.

Menurutnya, apabila tahap kepercayaan menjadi rapuh, ia mematahkan semangat dan keupayaan orang ramai untuk bekerjasama. Apabila itu berlaku, pemain lain yang membawa naratif memudaratkan akan mengisi jurang yang ada.

Encik Ong turut mengkritik bagaimana rundingan bagi perjanjian pandemik dihalang oleh tekanan daripada kumpulan lobi terhadap pemerintah di seluruh dunia, contohnya lobi daripada nasionalis sayap kanan.

“Di Singapura, saya juga menerimanya. Mereka membawa (berita) palsu dengan mendakwa perjanjian ini akan memaksa banyak negara melepaskan kedaulatan mereka kerana WHO boleh memaksa (suntikan) vaksin dan sekatan pergerakan ke atas negara. Sudah tentu dakwaan seperti itu tidak benar sama sekali,” ujar beliau.

Selain memperkukuh sistem pengawasan penyakit dan berkongsi maklumat dengan dunia, Singapura menyumbang kepada usaha penyelidikan dan pengembangan (R&D) bagi pelbagai produk kesihatan berkaitan pandemik, seperti vaksin.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg