Topik diikuti
Pergi ke BHkuS’pura akan tingkat penguatkuasaan terhadap pesalah vape muda, berulang
S’pura akan tingkat penguatkuasaan terhadap pesalah vape muda, berulang
Ye Kung: Perhatian khusus diberi kepada pengguna vape muda yang “degil”
S’pura akan tingkat penguatkuasaan terhadap pesalah vape muda, berulang
Pihak berkuasa sedang meneliti untuk mengambil tindakan lebih pantas terhadap pesalah vape muda yang melakukan kesalahan berulang, termasuk dengan menjejak mereka seawal kesalahan pertama.
Menteri Kesihatan, Encik Ong Ye Kung, berkata pada 12 April bahawa pihak berkuasa sedar terdapat sekumpulan pengguna vape muda yang “degil”, di mana ada di antara mereka ditangkap sehingga tiga kali walaupun sedang menjalani proses pemulihan.
“Bagi kumpulan ini, (kami) memberikan perhatian khusus kerana kita tidak mahu sekumpulan belia muda yang degil ini terjerumus ke dalam tabiat ini, menjadi ketagih, dan kemudian merosakkan hidup mereka,” kata Encik Ong.
Pihak berkuasa telah mempertingkatkan usaha penguatkuasaan terhadap vape sejak 2025, menyusuli laporan bahawa terdapat sebilangan peranti tersebut dicampur dengan dadah.
Ditanya mengenai situasi penggunaan vape di negara ini menjelang pelaksanaan undang-undang lebih ketat pada 1 Mei, Encik Ong berkata langkah sementara telah menunjukkan hasil bagi sebilangan besar pengguna dengan kewujudan pesalah tegar sememangnya dijangkakan.
Namun, kumpulan pesalah muda yang melakukan kesalahan berulang ini lebih membimbangkan, kata beliau ketika berucap kepada media di luar acara berjalan pantas di Sembawang Central pada 12 April.
Beliau menyenaraikan protokol sedia ada di mana tindakan akan dipertingkatkan setiap kali seseorang ditangkap bersama vape yang dicampur dengan etomidate, atau Kpod.
Pesalah kali pertama lazimnya dikenakan denda atau dihantar untuk menjalani pemulihan, manakala mereka yang ditangkap buat kali kedua akan diminta menjalani ujian air kencing.
Bagi mereka yang ditangkap buat kali ketiga, pesalah boleh dihantar ke pusat pemulihan dadah.
Bagaimanapun, pihak berkuasa kini sedang meneliti cara mereka dapat mempertingkat dan mengambil tindakan lebih tegas dengan lebih pantas, seperti menjejak bakal pesalah berulang pada seawal kesalahan pertama, kata Encik Ong.
“Dengan cara itu, saya rasa kita dapat membendung masalah ini daripada peringkat awal. Ini adalah isu operasi yang masih berkembang dan kami sedang terus memperbaikinya,” jelas Encik Ong.
Kenyataan beliau dibuat kurang tiga minggu sebelum 1 Mei, iaitu tarikh undang-undang antivape baru di bawah Akta Kawalan Tembakau dan Penguap mula berkuat kuasa.
Undang-undang tersebut telah diluluskan pada Mac, yang akan menyaksikan pengguna vape berdepan denda sehingga $10,000 – lima kali ganda berbanding denda maksimum semasa iaitu $2,000.
Penggunaan vape telah diharamkan di Singapura sejak 2018.
Pada 2025, pihak berkuasa mempertingkat serbuan susulan laporan mengenai penggunaan Kpod.
Etomidate pula telah disenaraikan sementara di bawah Akta Penyalahgunaan Dadah sebagai dadah Kelas C bermula 1 September 2025, dengan hukuman lebih berat dikenakan.
Sejak itu, lebih 5,000 individu telah ditangkap atas kesalahan vape.
Setakat 28 Februari, seramai 593 daripada mereka merupakan pengguna Kpod.
Daripada bilangan yang ditetapkan untuk menjalani pemulihan pula, 42 orang gagal mematuhi syarat pemulihan.
Encik Ong berkata ramai yang ditangkap merupakan golongan muda yang mencuba vape kerana perasaan ingin tahu serta pengaruh rakan sebaya, dan proses pemulihan telah menunjukkan hasil bagi sebilangan besar mereka.
“Oleh kerana kami melihat ia berkesan bagi majoriti (pesalah), kami telah menetapkan (langkah sementara) ini ke dalam undang-undang baru.”
Hukuman bagi kesalahan vape bermula 1 Mei ini akan diperketatkan dengan ketara; iaitu lima kali ganda bagi pengguna, 20 kali ganda bagi penjual, dan 30 kali ganda bagi penyeludup.
Ini bermakna pengguna vape berdepan denda sehingga $10,000, manakala penjual boleh dikenakan denda sehingga $200,000 dan penjara selama enam tahun.
Penyeludup pula boleh didenda sehingga $300,000 dan dipenjara selama sembilan tahun.
Buat masa ini, pengguna vape berdepan denda maksimum $2,000, manakala pengedar, pengimport, dan penjual vape serta komponennya berdepan hukuman penjara sehingga enam bulan dan denda sehingga $10,000.
