Singapura masih amat prihatin tentang kesan konflik yang berterusan di Ukraine dan Timur Tengah ke atas keselamatan nuklear antarabangsa, kata Menteri Kemampanan dan Sekitaran, Cik Grace Fu.

Beliau memberi amaran bahawa sebarang serangan ke atas loji tenaga nuklear yang sedang beroperasi akan menimbulkan risiko nyata dan ketara terhadap keselamatan nuklear.

Menyampaikan kenyataan Singapura pada Persidangan Agung Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) ke-70, Cik Fu menggesa semua pihak yang terlibat dalam konflik tersebut agar menghormati ‘Tujuh Teras Utama’ (Seven Indispensable Pillars) keselamatan nuklear yang ditetapkan oleh agensi itu. 

Tujuh teras itu merujuk kepada prinsip teras yang digariskan IAEA demi memastikan keselamatan nuklear, antaranya, untuk melindungi loji nuklear dan mengelakkan kemalangan, semasa berlakunya konflik bersenjata.

Cik Fu turut memohon agar mereka mengelakkan sebarang tindakan yang boleh menjejas keselamatan dan keutuhan kemudahan tenaga nuklear yang khusus bagi tujuan keamanan.

“Keselamatan nuklear pada dasarnya merupakan tanggungjawab antarabangsa bersama, memandangkan terdapat potensi kesan rentas sempadan jika berlaku sebarang kejadian nuklear,” kata beliau ketika menyampaikan kenyataan negara pada persidangan itu yang diadakan di Vienna, Austria, pada 14 September.

Beliau turut menekankan peranan utama dan bebas IAEA dalam menyokong rejim pencegahan penyebaran senjata nuklear sejagat menerusi pengesahan dan pemantauan pelaksanaan perlindungannya.

“Agensi tersebut mesti berada dalam kedudukan untuk memberi jaminan berhubung sifat aman sesuatu program nuklear sesebuah negara,” kata beliau.

Selain aspek konflik semasa, Singapura turut meluahkan kebimbangan mengenai isu-isu yang belum selesai, berhubung pematuhan Iran terhadap kewajipan perlindungan yang mengikat dari segi undang-undang.

Ini selain mengingatkan bahawa sebarang bahan nuklear yang tidak didaftar atau hilang, berisiko disalahgunakan bagi penyebaran senjata nuklear. 

Cik Fu turut melahirkan rasa prihatin Singapura tentang pembangunan program senjata nuklear dan peluru berpandu balistik Korea Utara yang tidak terkawal.

Ini memandangkan risiko besar yang boleh timbul terhadap keamanan, keselamatan, dan kestabilan serantau mahupun sejagat. 

Di peringkat Asia Tenggara, Cik Fu berkata minat terhadap tenaga nuklear dan pelbagai penggunaan nuklear yang lain semakin meningkat. 

Sehubungan itu, Cik Fu menekankan bahawa kerjasama serantau akan menjadi lebih penting bagi menangani potensi risiko dan membina keupayaan teknikal bersama.

Menurutnya, peranan IAEA kini menjadi semakin penting dalam membantu negara anggota mengekalkan piawaian tertinggi keselamatan, kawalan, dan perlindungan nuklear, di samping memajukan penggunaan sains dan teknologi nuklear bagi tujuan aman.

“Ini terutamanya tatkala dunia berdepan dengan permintaan tenaga yang kian meningkat, transformasi teknologi yang mendalam, serta ketidaktentuan geopolitik yang kian meruncing. 

“Singapura mengesahkan sokongan kukuh kami kepada IAEA dalam melaksanakan mandat pentingnya,” kata beliau.