Topik diikuti
Pergi ke BHkuGrace Fu lawat London, Paris tinjau kawal selia, teknologi nuklear
Grace Fu lawat London, Paris tinjau kawal selia, teknologi nuklear
Grace Fu lawat London, Paris tinjau kawal selia, teknologi nuklear
Di tengah-tengah minat serantau yang semakin meningkat terhadap tenaga nuklear, Menteri Kemampanan dan Sekitaran, Cik Grace Fu, akan melawat London dan Paris bagi bertemu para pengawal selia nuklear, pakar dan penyedia teknologi.
Semasa mengumumkan pertemuan itu pada 1 Jun, Kementerian Kemampanan dan Sekitaran (MSE) berkata perbincangan tersebut akan menyokong usaha Singapura memperkukuh perkongsian antarabangsa dan keupayaan dalam keselamatan serta kawal selia nuklear, selain pembangunan bakat dalam bidang berkenaan.
“Walaupun Singapura belum membuat sebarang keputusan mengenai penggunaan tenaga nuklear, ia sedang membina keupayaan yang diperlukan untuk membuat penilaian rapi dan bebas terhadap keselamatan tenaga nuklear,” menurut kementerian itu.
Britain dan Perancis telah memanfaatkan tenaga nuklear selama beberapa dekad, dengan kedua-dua negara berikrar menggandakan keupayaan tenaga nuklear global sebanyak tiga kali menjelang 2050 sebagai sebahagian daripada usaha mengurangkan pelepasan gas rumah hijau yang memanaskan planet.
Kuasa nuklear – yang memanfaatkan proses atom untuk menjana elektrik – sedang dipertimbangkan oleh pemerintah di serata dunia sebagai sumber tenaga berpotensi dengan pelepasan karbon rendah.
Pada Mei, Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, mengumumkan bahawa Singapura akan memulakan penilaian oleh Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) pada 2027 bagi memutuskan sama ada negara ini bersedia membuat keputusan termaklum mengenai penggunaan tenaga nuklear.
Cik Fu akan diiringi para pegawai daripada kementerian tersebut dan pengawal selia keselamatan radiasi dan nuklear Republik, Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA), semasa lawatan beliau dari 1 hingga 5 Jun.
Di London, beliau akan menyaksikan majlis menandatangani satu perjanjian antara NEA dengan Pejabat Kawal Selia Nuklear Britain untuk saling bertukar maklumat serta kepakaran mengenai kawal selia keselamatan nuklear.
Semasa majlis itu, beliau akan bertemu wakil dari pejabat berkenaan bagi mempelajari usaha mereka dalam menilai keselamatan teknologi reaktor baru.
Cik Fu juga akan melawat firma kuasa dan perejangan (propulsion) Rolls-Royce bagi mempelajari tentang keselamatan teknologi reaktor kecil bermodul (SMR) milik syarikat itu.
Ia merupakan satu projek untuk membangunkan loji kuasa nuklear secara besar-besaran yang setiap satu mampu membekalkan tenaga kepada sekitar sejuta rumah.
Teknologi sedemikian mungkin sesuai untuk Singapura, memandangkan SMR lebih kecil berbanding loji kuasa nuklear konvensional dan boleh dipasang di kawasan bandar yang padat.
Di Paris, Cik Fu, yang juga Menteri Bertanggungjawab bagi Hubungan Perdagangan, akan bertemu dengan wakil kanan penguasa keselamatan nuklear dan perlindungan radiasi Perancis, serta Persatuan Pengawal Selia Eropah Barat, yang dianggotai oleh ketua-ketua badan kawal selia nuklear dari 10 negara.
Lawatan ini merupakan sebahagian daripada usaha berterusan Singapura untuk mengadakan pertemuan dengan rakan kongsi yang mempunyai pengalaman luas dalam operasi selamat dan kawal selia loji nuklear, seperti Amerika Syarikat, Finland dan Amiriah Arab Bersatu (UAE).
