Satu percubaan menipu sebuah bank pelaburan agar memindahkan wang mencecah jutaan dolar berjaya dipatahkan hasil kerjasama pihak berkuasa Singapura dan Amerika Syarikat.
Muslihat itu bermula dengan satu mesej khidmat pesanan ringkas (SMS) dan e-mel yang menyamar sebagai ketua eksekutif sebuah firma perbankan pelaburan berpangkalan di Singapura.
Ekoran SMS dan e-mel tersebut, seorang kakitangan mula memindahkan wang berjumlah kira-kira AS$6.66 juta ($8.7 juta) ke akaun bank penipu tersebut di Amerika.
Pada 8 Oktober, polis Singapura berkata Komand Antipenipuannya dan pihak berkuasa Amerika telah memintas lebih AS$5 juta wang yang hilang dalam penipuan e-mel perniagaan (BEC) itu.
Dalam sesuatu percubaan BEC, penipu cuba memperdaya seorang pegawai dalam syarikat yang boleh melepaskan dana atau melakukan pemindahan wang sebagai bayaran bagi perkhidmatan atau sebahagian daripada operasi biasa.
Muslihat jenis itu melibatkan penipu menyamar sebagai rakan kongsi perniagaan atau pekerja mangsa melalui e-mel palsu.
Siasatan awal mendedahkan bahawa pada 19 September, kakitangan itu menerima mesej SMS, diikuti dengan e-mel yang mengarahkannya agar memindahkan wang ke sebuah akaun bank di Amerika untuk beberapa pemerolehan sulit, lapor The Straits Times.
Tanpa disedarinya, penipu itu menggunakan alamat e-mel dengan nama penuh ketua eksekutif, yang hampir menyerupai e-mel sebenar beliau, yang menggunakan singkatan nama pertamanya ‘SC’, kata polis.
Kakitangan itu kemudian memulakan beberapa pemindahan pada 19 dan 20 September ke akaun bank yang disediakan penipu tersebut.
Pada 20 September, kakitangan itu menyedari mengenai penipuan itu selepas dimaklumkan oleh rakan sekerjanya mengenai SMS serupa, dan selepas mengesahkan alamat e-mel sebenar ketua eksekutif berkenaan.
Pada hari sama, firma itu membuat laporan polis. Polis Singapura memaklumkan hal tersebut dengan pantas kepada pihak berkuasa Amerika supaya memintas pemindahan tersebut.
Pada 26 September, Komand Antipenipuan dimaklumkan bahawa jumlah itu berjaya dipintas.
Polis berkata mereka sedang bekerjasama dengan pihak berkuasa Amerika dan mangsa untuk mendapatkan semula wang itu.
“Pemintasan yang berjaya ini menekankan kepentingan kritikal kerjasama antarabangsa dalam memerangi kes penipuan rentas sempadan, apabila pelaku beroperasi dalam persekitaran tanpa sempadan,” kata polis.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg