Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

S’pura, Australia bentang rancangan strategik ‘penuh dan bercita-cita tinggi’

Kukuh kerjasama pertahanan, daya tahan rantaian bekalan, ekonomi hijau, jaminan makanan, tenaga boleh diperbaharui, AI dan angkasa lepas
Oct 8, 2025 | 6:23 PM
Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong (kiri), dan Perdana Menteri Australia, Encik Anthony Albanese, mengadakan sidang media bersama di Bangunan Parlimen di Canberra, Australia pada 8 Oktober.
Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong (kiri), dan Perdana Menteri Australia, Encik Anthony Albanese, mengadakan sidang media bersama di Bangunan Parlimen di Canberra, Australia pada 8 Oktober. - Foto ST

Singapura dan Australia akan memperdalam kerjasama dalam pelbagai bidang daripada pertahanan hingga perdagangan, sedang kededua negara itu mempertingkatkan lagi hubungan dua hala mereka di bawah Perkongsian Strategik Menyeluruh (CSP) 2.0.

Kededua pihak telah membentangkan apa yang disebut oleh Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, sebagai “agenda yang sangat penuh dan bercita-cita tinggi” bagi 20 perjanjian di bawah CSP 2.0 itu.

CSP itu dipertingkat bertepatan dengan ulang tahun ke-60 hubungan diplomatik antara Singapura dengan Australia.

CSP 2.0 itu, yang ditandatangani di ibu kota Australia, Canberra, pada 8 Oktober, merangkumi pengukuhan kerjasama dalam pertahanan, daya tahan rantaian bekalan, ekonomi hijau dan digital, jaminan makanan, tenaga boleh diperbaharui, dan inovasi, serta bidang baru seperti kecerdasan buatan (AI) dan angkasa lepas.

Perkongsian yang dipertingkat itu dibina berdasarkan CSP pertama yang ditandatangani sedekad lalu pada 2015, dan akan merangkumi 80 inisiatif, termasuk 20 Memorandum Persefahaman (MOU) dan perjanjian serta 11 dialog baru.

Dialog tersebut meliputi lima bidang kerjasama dua hala termasuk keamanan dan kestabilan di dalam negara dan di rantau ini, mengeratkan lagi hubungan kededua ekonomi, dan peralihan negara kepada sasaran pelepasan sifar bersih.

Bercakap dengan media di samping Perdana Menteri Australia, Encik Anthony Albanese, di Bangunan Parlimen di Canberra, Encik Wong berkata tugas agenda baru CSP 2.0 itu telah pun bermula.

Encik Wong dan Encik Albanese telah mengadakan Rahat Pemimpin Tahunan Singapura-Australia yang ke-10 pada 8 Oktober.

“Para menteri telah bertemu, para pegawai telah berbincang.

“Malah, sebahagian daripada mereka berkongsi dengan kami bahawa dalam usaha merancang butiran agenda bagi CSP 2.0, ia adalah perbincangan yang sangat semula jadi dan lancar.

“Dan itu menunjukkan perikatan yang sangat jelas dan kukuh dari segi kepentingan kededua negara. Oleh itu, kami menantikan kerja yang sedang dijalankan,” kata Encik Wong.

Sebagai contoh, kededua negara telah menandatangani MOU mengenai daya tahan ekonomi untuk memastikan aliran berterusan barangan penting antara Singapura dengan Australia walaupun semasa krisis atau gangguan.

Singapura dan Australia akan berusaha ke arah perundingan perjanjian mengenai perdagangan bekalan penting menjelang hujung 2026 dan meneroka pilihan bagi komitmen yang mengikat secara sah pada masa hadapan, kata Kementerian Perdagangan dan Perusahaan (MTI) dalam satu kenyataan berasingan.

Dialog daya tahan ekonomi Australia-Singapura juga akan diwujudkan.

Diminta butiran lanjut, Encik Wong berkata dua negara itu sedang melihat secara meluas pada pelbagai bekalan penting, seperti bekalan makanan dan perubatan, berdasarkan pengalaman semasa pandemik Covid-19.

“Banyak negara telah mengenakan sekatan ke atas eksport dan import… tetapi kerana kepercayaan yang kami ada antara Australia dengan Singapura, kami mengekalkan talian bekalan antara kededua negara kami, malah kami mempunyai pertukaran vaksin untuk menyokong satu sama lain,” kata beliau.

Aspek pertahanan adalah satu lagi bidang utama kerjasama.

Di bawah perjanjian baru, akses timbal balik kededua tentera kepada kemudahan akan diperluas, dan kerjasama dalam sains pertahanan, teknologi, logistik dan rantaian bekalan juga akan dipertingkat.

Angkatan Pertahanan Australia (ADF) akan mempunyai akses diperluas ke dalam dan melalui Singapura untuk menyokong kehadiran serantaunya, manakala Angkatan Bersenjata Singapura (SAF) – yang pada 2025 meraikan 50 tahun latihan di Australia – akan mempunyai akses dipertingkat ke kawasan latihan di negara itu.

Kededua negara juga akan bekerjasama dalam bidang baru seperti ruang siber digital dan AI, sebagai satu cara untuk membentuk piawaian antarabangsa dan memanfaatkan potensi transformatif teknologi baru itu, tambah Encik Wong.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg