SPH Logo mobile
Langgan|

S’pura, Australia ikrar pastikan aliran bekalan tenaga utama lancar

S’pura, Australia ikrar pastikan aliran bekalan tenaga utama lancar

PM Wong, Albanese turut mengesah semula komitmen tingkatkan keselamatan tenaga
Mar 23, 2026 | 3:07 PM

S’pura, Australia ikrar pastikan aliran bekalan tenaga utama lancar

Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong telah berbual dengan rakan sejawatnya dari Australia, Encik Anthony Albanese di Canberra, Australia pada 23 Mac.
Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong telah berbual dengan rakan sejawatnya dari Australia, Encik Anthony Albanese di Canberra, Australia pada 23 Mac. - Foto FACEBOOK LAWRENCE WONG

Pemimpin Singapura dan Australia telah berikrar untuk bekerjasama demi memastikan aliran barangan utama – seperti gas asli cecair, minyak petroleum dan diesel – terus lancar antara kededua negara.

Dalam satu kenyataan bersama pada 23 Mac, Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong dan rakan sejawatnya dari Australia, Encik Anthony Albanese, mengesahkan semula komitmen mereka untuk meningkatkan keselamatan tenaga.

Kededua pemimpin itu menambah bahawa Singapura dan Australia akan berunding sekiranya berlaku sebarang gangguan yang memberi kesan kepada perdagangan tenaga.

Dalam kenyataan itu, mereka menegaskan:

“Kita berkongsi hubungan yang lama dan mendalam, diasaskan atas kepercayaan strategik, pasaran terbuka, dan perdagangan berasaskan peraturan yang menjadi tunjang kemakmuran dan keselamatan rakyat dan rantau kita.

“Mengukuhkan semula prinsip-prinsip bersama ini adalah amat penting ketika ini.”

Encik Wong dan Encik Albanese turut menambah bahawa Singapura dan Australia berkongsi “kebimbangan mendalam terhadap situasi di Timur Tengah dan kesannya kepada rantau kita, termasuk impak terhadap rantaian bekalan tenaga dan harga tenaga.”

“Kami bertekad untuk bekerjasama bagi memperkukuh daya tahan rantaian bekalan tenaga, termasuk dengan memperdalam kerjasama serantau, mempercepatkan peralihan tenaga boleh diperbaharui, menangani sekatan import dan eksport yang tidak wajar, dan mengekalkan keterbukaan aliran perdagangan.”

Australia dan Singapura akan meningkatkan rundingan mengenai pengaturan perdagangan bekalan penting, selaras dengan deklarasi bersama Perkongsian Strategik Komprehensif 2.0 yang dipersetujui pada Oktober 2025.

Kededua negara juga akan meneroka pilihan untuk komitmen yang mengikat secara sah pada masa hadapan, melibatkan pengaturan dua hala seperti perundingan dan pemberitahuan awal sekiranya timbul potensi gangguan.

Dalam kenyataan itu juga, Encik Wong dan Encik Albanese menyeru rakan dagang lain agar berganding bahu memastikan rantaian bekalan tenaga global kekal terbuka demi keselamatan dan kemakmuran bersama.

Dalam satu catatan Facebook pada 23 Mac, Encik Wong berkata beliau telah berbual dengan Encik Albanese pada hari yang sama mengenai konflik Timur Tengah serta kesannya ke atas bekalan tenaga sejagat.

“Dalam masa seperti ini, perkongsian yang dipercayai penting. Encik Albanese dan saya mengeluarkan kenyataan bersama yang mengesahkan kerjasama kami mengenai keselamatan tenaga. Australia ialah sumber utama gas asli cecair (LNG) untuk Singapura, dan kami menghargai perkongsian ini.

“Singapura akan terus mengekalkan aliran perdagangan. Sebagai hab penapisan dan perdagangan global, kami akan memastikan pasaran kami terbuka dan memainkan peranan kami untuk memastikan rantaian bekalan berjalan lancar semasa tempoh ketidaktentuan ini,” tambah Encik Wong.

Dalam satu catatan berasingan pada 23 Mac, Encik Wong berkata beliau juga telah berbual dengan Perdana Menteri New Zealand, Encik Christopher Luxon.

Menurutnya kededua negara telah menamatkan satu Perjanjian Perdagangan Bekalan Penting pada Oktober lalu – rangka kerja yang tepat pada masanya untuk membantu memastikan aliran berterusan barangan kritikal antara kededua negara.

“Sebagai rakan kongsi utama bagi keselamatan makanan Singapura, New Zealand memainkan peranan penting dalam menyediakan bekalan yang stabil dan boleh dipercayai. Kami akan terus bekerjasama rapat untuk mengukuhkan daya tahan bekalan dan mengurangkan gangguan.

“Saya tidak sabar untuk mengalu-alukan Encik Luxon di Singapura pada awal Mei bagi mesyuarat pemimpin tahunan kami dan forum sulung kepimpinan,” katanya.

Pada 20 Mac, Menteri Bertanggungjawab bagi Tenaga, Sains dan Teknologi, Dr Tan See Leng telah menyuarakan kesediaan Singapura bersedia untuk melaksana langkah kontingensi pasaran tenaga memandangkan konflik di Timur Tengah kini telah menjadi “jauh lebih serius”.

Dr Tan, yang juga Menteri Tenaga Manusia, berkata demikian susulan serangan Amerika Syarikat baru-baru ini ke atas hab eksport minyak utama Iran dan serangan balas Tehran ke atas kemudahan Ras Laffan Qatar.

Kemudahan Ras Laffan itu, yang biasanya menyumbang sekitar satu perlima daripada bekalan gas asli cecair (LNG) dunia kini rosak teruk dan dijangka mengambil masa bertahun-tahun untuk dipulihkan.

Walaupun stok simpanan tenaga LNG dan diesel belum perlu digunakan, Dr Tan mengakui bahawa serangan baru-baru ini akan membawa kesan jangka panjang.

Beliau turut memberi amaran agar rakyat Singapura bersiap sedia menghadapi kenaikan tarif elektrik. Ini adalah cara lazim kebanyakan isi rumah membayar bagi penggunaan tenaga mereka.

Tarif elektrik dikawal selia oleh Penguasa Pasaran Tenaga (EMA) dan disemak semula setiap suku tahun. Semakan semula dijangka berlaku menjelang suku tahun seterusnya yang bermula pada April.

Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Berita Harian di Mudah Alih

  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg