See Leng: Bekalan tenaga S’pura kekal stabil di tengah konflik Timur Tengah
See Leng: Bekalan tenaga S’pura kekal stabil di tengah konflik Timur Tengah
S’pura, Jepun pertingkat kerjasama dalam sektor tenaga, kemampanan dan perubahan iklim
Bekalan tenaga Singapura kekal selamat dan terjamin meskipun berlaku kenaikan harga minyak dan gas akibat konflik di Timur Tengah.
Menteri Bertanggungjawab bagi Tenaga, Sains dan Teknologi, Dr Tan See Leng, berkata demikian dalam satu video yang dimuat naik ke laman media sosial beliau pada 15 Mac.
Beliau turut menarik perhatian bahawa gas asli merangkumi 95 peratus daripada penghasilan elektrik di Singapura.
Kesemua gas asli tersebut diimport, namun sekitar separuh daripadanya disalurkan ke Singapura melalui paip dan tidak akan terjejas oleh konflik berkenaan.
Ini merupakan salah satu daripada “empat barisan pertahanan” Singapura bagi melindungi bekalan tenaganya, tambah beliau.
“Saya ingin memberi jaminan kepada semua warga Singapura bahawa bekalan tenaga kita kekal selamat meskipun berdepan dengan gangguan ini,” kata Dr Tan.
Bagi memastikan bekalan tenaga terjamin, Singapura turut mengimport gas daripada sumber di luar Timur Tengah seperti Australia dan Amerika Syarikat.
Selain itu, Singapura mengekalkan simpanan stok bahan api, manakala kesemua stesen janakuasanya boleh beralih daripada penggunaan gas asli kepada diesel sekiranya perlu.
Bagaimanapun, Dr Tan menegaskan harga tenaga global sedang meningkat, dan harga elektrik di Singapura juga berkemungkinan akan naik dalam bulan-bulan mendatang.
Beliau menggesa warga Singapura agar membantu mengurangkan kesan kenaikan itu dengan menjimatkan tenaga dan menggunakan peralatan elektrik yang lebih cekap tenaga.
Dr Tan membuat kenyataan tersebut di Tokyo, Jepun, di mana beliau sedang menghadiri forum peringkat tinggi mengenai keselamatan bekalan tenaga.
Singapura dan Jepun memeterai perjanjian pada 15 Mac bagi memperkukuh kerjasama dalam bidang tenaga, kemampanan dan perubahan iklim.
Rangka Kerja Kerjasama Tenaga, Kemampanan dan Perubahan Iklim itu ditandatangani Dr Tan dan Menteri Ekonomi, Perdagangan dan Perusahaan Jepun, Encik Akazawa Ryosei, di Tokyo pada 15 Mac.
Kementerian Perdagangan dan Perusahaan (MTI) dalam kenyataannya berkata di bawah rangka kerja itu, pihak mereka dan Kementerian Ekonomi, Perdagangan dan Perusahaan (METI) Jepun akan mempertingkat kerjasama dalam beberapa bidang.
Ini seperti import elektrik rentas sempadan; hidrogen/ammonia rendah karbon; penangkapan, penggunaan dan penyimpanan karbon; tenaga nuklear sivil; gas asli cecair (LNG); pendaya sistem grid canggih dan angin luar pesisir.
“Kerjasama ini mungkin merangkumi pertukaran dasar, pemudahan perniagaan, pemudahan kerjasama kewangan, serta penyelarasan dan pengiktirafan bersama bagi piawaian, peraturan dan pensijilan,” kata MTI.
Selain itu, Singapura dan Jepun akan bekerjasama untuk menggalak pemain industri dan institusi kewangan bekerjasama dan melabur dalam projek tenaga rendah karbon dan menyokong pembangunan teknologi dan rantaian bekalan laluan tenaga rendah karbon.
“Singapura dan Jepun telah lama menjadi rakan kerjasama erat dalam bidang peralihan tenaga, penyahkarbonan, kemampanan, dan perubahan iklim.
“Berasaskan perkongsian rapat ini, usaha di bawah rangka kerja tersebut akan membantu Singapura dan Jepun berusaha ke arah mencapai matlamat sifar bersih kita serta mengurangkan pelepasan karbon dalam sektor tenaga dan industri yang sukar dikurangkan kadar pelepasannya,” kata MTI.
Berucap di majlis menandatangani rangka kerja itu, Dr Tan melahirkan harapan agar Singapura dan Jepun dapat membawa kerjasama mereka ke tahap selanjutnya.
“Saya berharap agar kita dapat membawa kerjasama kita ke tahap yang lebih tinggi, di mana kita dapat meninjau hubungan yang lebih erat dalam kerjasama tenaga dan kerjasama dalam pengukuhan rantaian bekalan, terutamanya dalam menghadapi masa yang sukar ini, bersama dengan daya tahan ekonomi, serta bidang angkasa lepas,” katanya.
Secara berasingan, semasa berucap di Forum Perniagaan dan Peringkat Menteri bagi Jaminan Tenaga Indo-Pasifik, juga di Tokyo pada 15 Mac, Dr Tan berkata konflik berterusan di Timur Tengah telah menjejas harga tenaga, perdagangan dan pelaburan.
Hal tersebut lebih dirasai di Asia, memandangkan rantau ini sangat bergantung kepada perdagangan dan perlu mengimport hampir kesemua keperluan tenaga mereka.
Namun begitu, Dr Tan berkata mereka menjangkakan permintaan tenaga akan terus meningkat sedang ekonomi Asia semakin bergantung kepada bekalan elektrik untuk memacu pertumbuhan dalam perkilangan lanjutan, kecerdasan buatan (AI) dan penggunaan kenderaan elektrik (EV).
“Keperluan bagi jaminan dan kebolehpercayaan tenaga akan menjadi sangat kritikal, dan kita semua mesti bekerjasama untuk membina masa depan tenaga yang lebih berdaya tahan bagi kita semua,” kata beliau.

