Singapura dan Australia telah menandatangani dua perjanjian pada 27 Julai bagi memastikan aliran bekalan barangan penting dan bekalan pertahanan antara kedua-dua negara terus berjalan tanpa sekatan.

Ini termasuk satu protokol yang mengikat di sisi undang-undang di bawah Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) Singapura-Australia, yang menetapkan bahawa kedua-dua negara tidak akan mengenakan sekatan eksport ke atas diesel dan gas asli cecair (LNG).

Kedua-dua pihak telah membuat komitmen tersebut pada April lalu.

Kedua-dua perjanjian berkaitan daya tahan rantaian bekalan itu dimeterai semasa mesyuarat Jawatankuasa Menteri Bersama Singapura-Australia (SAJMC) ke-15 yang berlangsung di Adelaide pada 27 Julai.

Berucap dalam sidang media bersama di Bangunan Parlimen Komanwel, Menteri Pertahanan, Encik Chan Chun Sing, berkata kepercayaan merupakan asas penting yang membolehkan kedua-dua negara saling melengkapi.

“Takungan kepercayaan yang begitu mendalam antara Australia dengan Singapura di setiap peringkat, sama ada di peringkat individu mahupun institusi, merupakan faktor utama yang membolehkan kita bekerjasama dan terus mencari peluang baharu untuk melakukan lebih banyak perkara bersama serta melaksanakannya dengan lebih baik,” katanya.

Menteri Ehwal Luar, Dr Vivian Balakrishnan, pula menarik perhatian kepada pelbagai bentuk kerjasama yang telah terjalin antara Singapura dengan Australia sejak bertahun-tahun lalu, termasuk kerjasama ketenteraan serta Perkongsian Strategik Menyeluruh 2.0 yang dimeterai kedua-dua negara pada 2025.

Beliau berkata dunia hari ini semakin berpecah-belah, tidak menentu dan mencabar, sekali gus menjadikan daya tahan rantaian bekalan sesuatu yang tidak boleh dipandang ringan.

“Justeru, bukan suatu kebetulan apabila kita memeterai perjanjian-perjanjian berkaitan daya tahan ekonomi, daya tahan rantaian bekalan, malah turut meliputi aspek pertahanan.

“Apa yang ingin saya tekankan ialah hubungan istimewa yang berteraskan kepercayaan dan kesepakatan ini telah membolehkan kita memperkukuh kerjasama secara relevan dan tepat pada masanya bagi menghadapi cabaran yang timbul,” kata beliau.

SAJMC diadakan setiap 18 bulan dan menghimpunkan menteri yang bertanggungjawab bagi ehwal luar, pertahanan serta perdagangan daripada kedua-dua negara.

Tahun ini (2026) menandakan ulang tahun ke-30 dialog tersebut, yang dianjurkan secara bergilir oleh Singapura dan Australia. Mesyuarat terdahulu diadakan di Singapura pada Disember 2024.

Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pertahanan Australia, Encik Richard Marles, berkata kerjasama tenaga antara kedua-dua negara kekal kukuh meskipun dunia berdepan antara kejutan bekalan tenaga terbesar dalam tempoh tiga bulan lalu.

Menurut beliau, kerjasama itu amat penting dalam memastikan bekalan bahan api di Australia terus terjamin, sekali gus mencerminkan tahap kepercayaan yang mendalam antara kedua-dua negara.

Dalam mesyuarat SAJMC itu, Menteri Perdagangan dan Perusahaan (Tenaga dan Perusahaan), Dr Tan See Leng, bersama Menteri Perdagangan dan Pelancongan Australia, Encik Don Farrell, turut menandatangani perjanjian yang mengikat di sisi undang-undang berhubung daya tahan ekonomi dan bekalan barangan penting.

Dalam satu kenyataan, Kementerian Perdagangan dan Perusahaan (MTI) berkata perjanjian itu mencerminkan komitmen kedua-dua negara untuk memperkukuh daya tahan rantaian bekalan serta mengutamakan satu sama lain dalam perdagangan barangan penting.

Di bawah protokol tersebut, Singapura dan Australia berikrar untuk sedaya upaya tidak mengenakan atau mengekalkan sekatan eksport terhadap barangan penting yang dipersetujui, termasuk minyak petroleum seperti diesel serta LNG.

Perjanjian itu turut mewujudkan mekanisme bagi pemberitahuan awal dan rundingan antara kedua-dua negara, di samping menyediakan proses untuk menyemak serta menarik balik sebarang langkah yang diambil.