Singapura akan mewajibkan langkah pengesahan usia yang ketat bagi khidmat media sosial, dan meningkatkan usia minimum akses kepada 18 tahun sekiranya platform berkenaan tidak mampu atau enggan melaksanakan perlindungan lebih kukuh untuk pengguna remaja.

Ini dinyatakan Menteri Penerangan dan Pembangunan Digital, Cik Josephine Teo, dalam satu wawancara media pada 28 Ogos.

Ia susulan Rapat Hari Kebangsaan (NDR) pada 23 Ogos, di mana Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, menegaskan kesediaan pemerintah mempertimbangkan sekatan tambahan demi mengutamakan keselamatan dalam talian dan melindungi generasi muda daripada bahaya ketagihan digital.

Cik Teo berkata pemerintah berhasrat untuk menerapkan pendekatan serupa yang dilaksanakan bagi gedung aplikasi atau app store ketika ini, di mana platform akan mencadangkan kaedah pengesahan usia mereka sendiri, dan Penguasa Pembangunan Infokom Media (IMDA) akan mengaudit keteguhan serta keberkesanannya.

Platform media sosial juga perlu melaksanakan perlindungan lebih kukuh terhadap ciri-ciri seperti ‘autoplay’ dan penatalan tanpa henti, serta mengawal cara pengguna remaja berinteraksi, terutamanya dengan orang yang tidak dikenali.

Jika sesebuah platform tidak mampu atau enggan melaksanakan langkah-langkah berkenaan, usia minimum akses bagi platform tersebut akan dinaikkan kepada 18 tahun, kata Cik Teo.

“Mengenai langkah pengesahan usia, kami menjangkakan semua platform untuk memperkenalkannya, dan saya rasa tiada sebarang bantahan bahawa mereka akan berbuat demikian.

“Langkah perlindungan yang lebih kukuh ini berkait dengan cara pengguna remaja berinteraksi, terutamanya dengan orang yang tidak dikenali, serta sama ada perlindungan yang mencukupi telah disediakan.

“Perlindungan ini juga terpakai bagi ciri-ciri yang memanjangkan tempoh penggunaan, seperti ‘autoplay’ dan penatalan tanpa henti. Antara perkara yang sedang dibincangkan secara serius termasuk pengenalan had masa harian.

“Sekiranya sesebuah platform menyatakan ia enggan memperkenalkannya, platform tersebut mungkin tidak lagi boleh diakses oleh pengguna di bawah usia 18 tahun, dan bukan hanya pengguna di bawah usia 13 tahun,” tegas Cik Teo.

Bagi membolehkan langkah-langkah tersebut dilaksanakan, pemerintah menyasar membentangkan perubahan perundangan tersebut di Parlimen pada awal 2027 untuk memberikan kuasa penguatkuasaan yang jelas kepada IMDA terhadap platform yang gagal mematuhinya.

Cik Teo menambah bahawa keperluan pengesahan usia ini pada peringkat awal akan disasarkan kepada enam khidmat media sosial yang ditetapkan di bawah Tata Amalan Keselamatan Dalam Talian sedia ada – Facebook, Instagram, TikTok, HardwareZone, X dan YouTube.

Ini dengan perancangan untuk memperluaskan peraturan itu secara berperingkat ke ruang dalam talian yang lain, termasuk platform permainan video, perkhidmatan mesej serta bot sembang AI pada masa depan.

Semasa NDR, Encik Wong telah mengetengahkan isu penggunaan media sosial yang membimbangkan dalam kalangan anak-anak muda, di mana beliau mendedahkan bahawa setiap satu daripada enam golongan muda berusia 10 hingga 24 tahun di Singapura kini menunjukkan tanda-tanda penggunaan media sosial yang bermasalah.

Secara teori, kebanyakan platform media sosial sudah pun menetapkan had usia minimum 13 tahun, namun Encik Wong menjelaskan penguatkuasaannya didapati tidak berkesan kerana sekadar bersandar kepada kaedah pengisytiharan usia oleh pengguna itu sendiri.

Secara umumnya, verifikasi usia terbahagi kepada tiga kaedah utama – anggaran usia menggunakan maklumat seperti biometrik, kesimpulan lingkungan usia berdasarkan corak penggunaan, dan pengesahan usia menggunakan rekod rasmi.

Namun, Cik Teo berkata platform media sosial akan perlu melaksanakan beberapa langkah susulan untuk mengesahkan usia pengguna dengan betul sekiranya terdapat petunjuk pengguna tersebut sebenarnya lebih muda daripada usia yang dinyatakan.

Ini bagaimanapun bermakna pengguna dewasa perlu bersedia menghadapi sedikit “kesulitan”, kata Cik Teo, kerana mereka mungkin diminta mengesahkan semula usia dari semasa ke semasa bagi memastikan perlindungan kanak-kanak kekal tepat dan kukuh.

Dalam mengumpulkan maklumat untuk melaksanakan pengesahan usia, Cik Teo berkata pendekatan pemerintah adalah untuk memerlukan platform melakukan demikian secara bersekadar dan seimbang untuk memastikan perlindungan berkesan tanpa mengumpul data secara berlebihan atau menyusahkan pengguna.

Berkenaan langkah menaikkan usia minimum akses pula, Cik Teo berkata usia 18 tahun dipilih kerana ia “secara umumnya diterima sebagai penanda kedewasaan” dalam konteks Singapura, sejajar dengan kemasukan Perkhidmatan Negara (NS) dan fasa peralihan ke institut pengajian tinggi.

Ia juga had usia minimum yang ditetapkan bagi mengakses kandungan dewasa dalam gedung aplikasi, tambah beliau.

Cik Teo bagaimanapun berkata peraturan tersebut tidak boleh berdiri sendiri, dengan langkah pengesahan usia itu direka untuk bertindak sebagai “benteng” bagi melindungi pengguna muda, dan setiap orang mempunyai peranan dalam memupuk tabiat digital yang sihat.

Beliau membandingkan batasan digital dengan amalan masyarakat Singapura lain yang sudah sebati walaupun tanpa undang-undang, seperti beratur, mengamalkan pemakanan sihat, dan tidak membuang sampah sembarangan.

Cik Teo turut menyebutkan program seperti gerakan ‘Screen Smart From The Start’ yang dilancarkan pada awal 2026 dengan tujuan memupuk tabiat digital yang sihat sejak dari usia muda.

“Langkah-langkah ini perlu dilaksanakan dalam persekitaran keseluruhan di mana kanak-kanak dan remaja kita sedar akan kewujudan tabiat digital yang sihat serta penggunaan yang berlebihan dan bermasalah.

“Mereka juga harus peka sekiranya terjebak dalam corak penggunaan sedemikian, selain saling menyokong rakan sebaya untuk mengelakkannya.

“Bersama, sebagai sebuah masyarakat, kita mahu membina hubungan yang lebih mampan dan sihat dengan perkhidmatan dalam talian, terutamanya platform media sosial,” kata beliau.