Topik diikuti
Pergi ke BHkuS’pura beli lebih banyak LNG dari luar Timur Tengah dek gangguan perang
S’pura beli lebih banyak LNG dari luar Timur Tengah dek gangguan perang
S’pura beli lebih banyak LNG dari luar Timur Tengah dek gangguan perang
Singapura kini membeli gas asli cecair (LNG) tambahan daripada bahagian lain dunia ketika konflik di Timur Tengah mengganggu penghantaran komoditi yang digunakan untuk menjana tenaga elektrik di negara ini.
Penguasa Pasaran Tenaga (EMA) berkata pada 20 April: “Beberapa penghantaran LNG daripada Timur Tengah telah terjejas oleh konflik yang sedang berlaku.”
Ia menambah bahawa Singapore GasCo, entiti milik pemerintah yang ditubuhkan pada 2025, untuk memusatkan perolehan dan pembekalan gas asli, sedang membuat pembelian “untuk memastikan kami mempunyai bahan api yang mencukupi untuk memenuhi permintaan”.
EMA berkata pada Mac bahawa Singapore GasCo akan campur tangan untuk mengisi sebarang kekurangan jika perlu.
Kira-kira seperlima daripada LNG global dibekalkan melalui Selat Hormuz sebelum konflik, tetapi bekalan di sepanjang laluan kritikal itu telah terganggu oleh perang di Timur Tengah.
Loji Ras Laffan Qatar – kemudahan eksport LNG terbesar di dunia – juga telah mengalami kerosakan yang ketara dan operasi di tapak tersebut telah digantung sejak Mac.
Import gas dari Qatar menyumbang kurang 10 peratus daripada keperluan elektrik Singapura sebelum konflik itu, menurut EMA.
Singapura kini mengimport gas asli untuk memenuhi sekitar 95 peratus daripada keperluan tenaga elektriknya.
Pada 2025, 40 peratus daripada bekalan datang menerusi saluran paip daripada Malaysia dan Indonesia. Selebihnya dibekalkan melalui laut dari pasaran di seluruh dunia.
Tarif elektrik dan gas telah meningkat pada suku April hingga Jun berikutan kenaikan harga bahan api.
EMA telah memberi amaran tentang “peningkatan selanjutnya dan berpotensi lebih mendadak” pada lewat 2026.
Harga elektrik serta-merta juga terus meningkat. Harga Tenaga Seragam Singapura, ukuran harga borong, mencapai tahap tertinggi sejak Jun 2025 pada minggu 12 hingga 18 April, didorong terutamanya oleh bekalan yang lebih ketat.
EMA berkata ia mengambil pelbagai pendekatan untuk mengubah campuran tenaga Singapura.
Tenaga solar domestik dijangka hanya memenuhi sehingga 10 peratus daripada keperluan tenaga di sini menjelang 2050 kerana kekangan ruang.
EMA berkata: “Kami sedang mengusahakan import elektrik boleh diperbaharui dan mengkaji alternatif rendah karbon seperti teknologi tenaga nuklear canggih, tenaga geoterma canggih, hidrogen dan ammonia, antara usaha lain”.
Penguasa itu menambah bahawa ia telah memberikan kelulusan dan lesen bersyarat kepada lebih lapan gigawatt dalam projek import elektrik yang dicadangkan, walaupun ia mengakui bahawa tidak semua projek akhirnya akan dilaksanakan.
“Pengimport perlu membuat keputusan perniagaan mereka sendiri sama ada untuk meneruskan projek mereka, selepas kajian yang lebih terperinci dijalankan mengenai daya maju teknikal dan komersial projek tersebut kelak,” kata EMA.
“Memandangkan permintaan tenaga Singapura dijangka terus meningkat, kami terus terbuka untuk mengkaji semua cadangan import yang boleh dipercayai,” jelasnya.
Pemerintah telah menyatakan bahawa ia masih belum memanfaatkan stok simpanan tenaga LNG dan dieselnya meskipun tercetusnya konflik di Timur Tengah.
Syarikat penjanaan kuasa di sini dikehendaki mengekalkan rizab diesel, sebagai sebahagian daripada langkah untuk memperkukuh daya tahan tenaga, dan boleh menjana elektrik daripada diesel jika perlu.
