SPH Logo mobile
Langgan|
success-icon

Topic followed successfully

Go to BHku

S’pura, Australia jamin aliran LNG dan diesel, perkukuh kerjasama strategik

S’pura, Australia jamin aliran LNG dan diesel, perkukuh kerjasama strategik

Kededua negara orak langkah proaktif hadapi ketidaktentuan rantaian bekalan sejagat akibat konflik Timur Tengah
Apr 10, 2026 | 6:22 PM

S’pura, Australia jamin aliran LNG dan diesel, perkukuh kerjasama strategik

Singapura dan Australia berikrar memastikan barangan penting, termasuk gas asli cecair (LNG) dan produk petroleum bertapis, terus mengalir antara kededua negara.

Usaha melaksanakan persetujuan tersebut melalui perjanjian sah sedang dipercepatkan, kata Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, dalam sidang media bersama rakan sejawatnya dari Australia, Encik Anthony Albanese, di Istana pada 10 April.

Perjanjian daya tahan ekonomi dan bekalan penting itu merangkumi sektor tenaga dan sektor utama lain, serta dijangka melengkapi perjanjian perdagangan bebas antara kededua negara.

“Ini bukan hanya mengurus krisis hari ini, tetapi membina rangkaian bekalan yang boleh dipercayai bagi masa depan yang tidak menentu,” kata Encik Wong.

Kenyataannya itu memperkukuh ikrar kededua negara pada Mac untuk memastikan aliran barangan utama tidak terganggu ketika konflik di Timur Tengah terus menjejas rantaian bekalan tenaga sedunia dan harga.

Encik Wong berkata pada 10 April, beliau dan rakan sejawatnya, yang bertemu sebelum sidang media, bersetuju dengan “prinsip mudah tetapi penting” iaitu memastikan perdagangan berterusan antara Singapura dan Australia.

LNG merupakan salah satu sumber utama penjanaan tenaga Singapura, dengan Australia membekalkan lebih satu pertiga keperluannya.

Encik Wong mengucapkan terima kasih kepada Encik Albanese, yang berada di Singapura bagi lawatan rasmi hingga 11 April, atas jaminan Australia akan terus membekalkan LNG kepada Singapura.

Beliau juga berkata Singapura akan terus membekalkan bahan api bertapis kepada Australia.

“Sebagai hab penapisan dunia, kami akan memastikan aliran ini berterusan selagi bekalan sumber masih ada,” katanya.

Statistik pemerintah Australia 2025 menunjukkan Singapura ialah pembekal terbesar produk petroleum bertapis, menyumbang 26 peratus import bahan api bertapis, 55 peratus import petrol, 22 peratus import bahan api penerbangan dan turbin, serta 16 peratus import diesel.

Kededua negara akan terus berhubung rapat untuk bertindak pantas terhadap gangguan luaran yang menjejas Singapura atau rantaian bekalannya, kata Encik Wong.

Dialog peringkat menteri mengenai tenaga serta dialog mengenai daya tahan ekonomi akan diadakan bagi menangani cabaran perdagangan bersama dan memastikan aliran bekalan penting terus terpelihara, tambahnya.

“Dalam masa yang tidak menentu dan luar biasa, perkongsian amat penting,” kata Encik Wong.

Encik Albanese berkata dalam suasana ketidaktentuan dunia, kepercayaan, persahabatan dan kerjasama dengan negara jiran semakin penting.

Hubungan Singapura-Australia membantu memastikan keselamatan tenaga kededua negara, katanya.

Beliau berkata kira-kira 25 peratus bahan api Australia datang daripada kilang penapisan Singapura yang dilawatinya pada pagi 10 April, manakala Australia membekalkan sekitar 32 peratus LNG Singapura.

Encik Albanese turut mengunjungi Pulau Jurong dan bertemu eksekutif tertinggi Singapore LNG Corporation serta Singapore Refining Company.

Beliau juga meninjau Galeri Pulau Jurong, milik Perbadanan Bandar Jurong (JTC), di mana beliau diberi taklimat mengenai keupayaan hab tenaga dan kimia itu, termasuk rangkaian perkhidmatan dan prasarana bersama yang membolehkan syarikat memulakan pengeluaran dengan cepat.

Di galeri itu, Encik Albanese bertanya tentang sejarah pulau berkenaan serta keupayaan Jurong Rock Caverns menahan cuaca melampau dan bencana alam.

Dalam sidang media, beliau berkata konflik di Timur Tengah mungkin jauh dari rantau ini, tetapi setiap negara turut terjejas.

“Dengan membina kerjasama serantau dalam keselamatan tenaga dan daya tahan ekonomi, kita mengukuhkan keselamatan bahan api dan ekonomi sendiri,” kata Encik Albanese.

Beliau menambah dirinya dan Encik Wong mengadakan perbincangan “menyeluruh”, dan “itulah yang dilakukan rakan kerjasama kerana hubungan itu dibina atas asas kepercayaan dan kepentingan bersama”.

Kededua Perdana Menteri menandatangani kenyataan bersama pada 10 April, yang menyatakan negara mereka akan berusaha “sedaya upaya untuk memenuhi keperluan keselamatan tenaga masing-masing dalam menghadapi krisis tenaga parah yang kini menjejaskan pasaran dunia”.

Selain ikrar menyokong aliran barangan penting termasuk minyak petroleum seperti diesel dan LNG, mereka juga bersetuju bekerjasama memudahkan pergerakan barangan dan bekalan penting tepat pada masanya melalui penyelarasan lebih baik, proses sempadan dan pelabuhan cekap, ketelusan serta rundingan awal.

“Kami menegaskan semula ikrar bekerjasama, khususnya ketika kemelut, bagi menyokong sistem perdagangan pelbagai hala berasaskan peraturan yang berdaya tahan, menjadi asas kemantapan semasa gangguan sedunia,” menurut kenyataan itu lagi.

Dalam ucapannya, Encik Wong berkata sebagai negara terbuka yang berpaksikan perdagangan, Singapura dan Australia merasakan secara langsung tekanan ekonomi akibat pertempuran di Timur Tengah.

“Sebab itu, dalam masa seperti ini, kita mesti bekerjasama rapat, bergerak lebih pantas dan berdiri bersama, bukan sekadar mengurus ancaman tetapi melindungi kesejahteraan rakyat,” katanya.

Kededua pemimpin berbincang melalui telefon dua minggu lalu dan mengeluarkan kenyataan bersama mengenai kerjasama keselamatan tenaga.

“Hari ini kita meneruskan langkah, dengan langkah nyata untuk meningkatkan daya tahan dan memastikan saluran bekalan terus terbuka.”

Ini bukan kali pertama kededua negara bekerjasama untuk memastikan rantaian bekalan utama terus berjalan.

Semasa pandemik Covid-19, Singapura membekalkan 500,000 dos vaksin Pfizer-BioNTech kepada Australia pada September 2021, dan Australia memulangkan jumlah yang sama kepada Singapura pada November 2021.

“Dalam dunia yang semakin berpecah dan tidak menentu, kita memilih untuk kekal terbuka, terus berhubung dan berdiri bersama,” kata Encik Wong mengenai perbincangan antara kededua negara, yang telah menaik taraf hubungan kepada Perkongsian Strategik Menyeluruh 2.0 pada Oktober 2025.

“Melalui kekuatan perkongsian ini, saya yakin Singapura dan Australia bukan sahaja akan mengharungi kemelut ini, malah muncul lebih kuat dan berdaya tahan,” jelasnya lagi.

Apabila ditanya media Australia sama ada negara itu akan diberi keutamaan sekiranya Singapura mula mengawal eksport, Encik Wong berkata Singapura tidak merancang mengawal eksport.

“Kami tidak perlu berbuat demikian walaupun pada saat paling sukar semasa Covid, dan tidak akan melakukannya dalam krisis tenaga ini,” ujarnya.

Kededua Perdana Menteri juga ditanya sama ada negara perlu berunding untuk melalui Selat Hormuz, yang telah disekat oleh Iran sejak awal peperangan.

Encik Wong turut ditanya sama ada Singapura mempertimbangkan untuk lebih bergantung pada sumber bahan api lain memandangkan ia menolak rundingan tersebut.

Mereka berdua percaya selat itu sepatutnya kekal terbuka.

Encik Wong menambah pendirian pemerintahnya mengenai Selat Hormuz adalah jelas dan tetap, dan penting bagi Singapura bahawa negara-negara mematuhi undang-undang antarabangsa, termasuk hak laluan di perairan antarabangsa seperti selat tersebut.

“Dari segi bekalan tenaga, kami percaya ia pasaran tenaga dunia,” tambahnya.

Syarikat di Singapura mendapatkan bahan mentah dari seluruh dunia, tertakluk kepada undang-undang dan sekatan berkuat kuasa, dan pemerintah menjangka mereka mematuhi perjanjian serta kewajipan antarabangsa.

“Selagi lebih banyak minyak memasuki pasaran tenaga dunia, ia baik untuk dunia.

“Dan syarikat kami di Singapura sangat berhubungan dengan pelbagai aliran bekalan tenaga di seluruh dunia,” kata Encik Wong, yang kemudian menjamu Encik Albanese makan tengah hari selepas sidang media tersebut.

Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Berita Harian di Mudah Alih

  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg