Pembangunan kecerdasan buatan (AI) akan mendapat rangsangan dengan pemeteraian memorandum kerjasama baru antara Singapura dengan Britain untuk meningkatkan keselamatan dan kebolehpercayaan teknologi AI dalam pembangunan dan penggunaannya.
Menteri Penerangan dan Pembangunan Digital, Cik Josephine Teo, menandatangani perjanjian itu dengan Setiausaha Negara Britain bagi Sains, Inovasi dan Teknologi, Encik Peter Kyle, di London pada 6 November.
Cik Teo sedang dalam lawatan kerja ke Britain hingga 7 November.
Perjanjian itu akan mengukuhkan kerjasama antara institut keselamatan AI kedua-dua negara dalam bidang seperti penyelidikan, perkongsian maklumat dan ujian AI yang menyeluruh, lapor The Straits Times.
“Kami komited untuk merealisasikan wawasan kami mengenai AI untuk kebaikan awam Singapura dan dunia.
“Pemeteraian memorandum kerjasama baru ini dengan rakan kongsi penting kami, Britain, membina bidang kepentingan bersama yang sedia ada dan meluaskannya kepada peluang baru dalam AI,” kata Cik Teo.
Beliau dan Encik Kyle juga membincangkan mengenai bidang lain yang mempunyai kepentingan dan kerjasama bersama seperti keselamatan dalam talian, keselamatan siber dan pemerintah digital.
Kementerian Penerangan dan Pembangunan Digital (MDDI) berkata perjanjian itu selaras dengan komitmen yang dibuat oleh kedua-dua negara pada Sidang Puncak Keselamatan AI yang berlangsung di Britain pada 2023, dan dibina berdasarkan Perjanjian Ekonomi Digital Britain-Singapura yang ditandatangani pada 2022.
Cik Teo, yang juga Menteri Kedua (Ehwal Dalam Negeri), akan juga menandatangani memorandum persefahaman mengenai kerjasama keselamatan dengan Pejabat Dalam Negeri Britain semasa lawatannya.
Beliau juga turut menghadiri Sidang Puncak Masa Depan AI yang dianjurkan oleh akhbar Financial Times, di mana beliau telah mengadakan temu bual tentang pendekatan Singapura terhadap AI.
Cik Teo mendedahkan bahawa lebih 65,000 penjawat awam menggunakan versi selamat ChatGPT dalam kerja harian mereka untuk tugas seperti menyalin mesyuarat.
Beliau juga menyatakan bahawa platform yang membolehkan pegawai pemerintah mereka bentuk dan membina bot AI mereka sendiri telah melihat beberapa ribu bot sedemikian dibina.
Dari perspektif Singapura, pembangunan dan penggunaan AI harus praktikal, dengan memikirkan bagaimana pertubuhan boleh mendapat manfaat daripada pelaburan dalam bidang ini, katanya.
Perniagaan perlu diyakinkan, sebagai contoh, bahawa mereka akan mendapat manfaat daripada membuat pelaburan dalam AI.
“Anda perlu sentiasa memikirkan dengan cara apakah ia membantu anda mengembangkan pasaran? Dengan cara apakah ia membantu anda mengurangkan kos?” katanya.
Cik Teo menambah bahawa pemerintah terus berwaspada terhadap penyalahgunaan AI dan tangkas bertindak terhadap perkembangan terbaru, memetik undang-undang baru-baru ini yang diluluskan oleh Parlimen untuk melarang penggunaan pemalsuan mendalam atau deepfake, dan kandungan calon pilihan raya yang dimanipulasi secara digital.
Undang-undang baru itu melarang penerbitan kandungan dalam talian yang secara realistik menggambarkan calon mengatakan atau melakukan sesuatu yang tidak dilakukannya, termasuk maklumat salah yang dijana menggunakan AI atau deepfake, dan juga kandungan yang dibuat menggunakan teknik bukan AI.
Beliau menambah bahawa undang-undang sedia ada sudah boleh digunakan untuk beberapa bentuk penyalahgunaan.
Undang-undang diskriminasi tempat kerja semasa, sebagai contoh, akan melarang sebarang kemungkinan diskriminasi terhadap calon dalam proses pengambilan pekerja, termasuk melalui penggunaan AI.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg