Singapura dan Brunei akan memperkukuh kerjasama dalam bidang keselamatan makanan di bawah satu perjanjian yang ditandatangani pada 20 November.
Memorandum Persefahaman (MOU) mengenai Kerjasama dalam Keselamatan Makanan itu telah ditandatangani antara Agensi Makanan Singapura (SFA) dengan Penguasa Makanan Brunei Darussalam (BDFA).
SFA dalam kenyataannya berkata kedua-dua agensi itu akan memperkukuh kerjasama dalam bidang berkaitan dasar, peraturan dan piawaian keselamatan makanan, serta penyelidikan dan pengembangan, dan juga pembangunan kapasiti di bawah MOU itu.
Kegiatan kerjasama itu mungkin diadakan dalam bentuk sesi jalinan rangkaian, pertukaran teknikal dan pengetahuan serta program bekerja sambil belajar, tambah SFA.
MOU itu telah ditandatangani Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) SFA, Encik Damian Chan, dan CEO BDFA, Dr Hajah Anie Haryani Abdul Rahman.
Pemeteraian MOU itu diadakan sebagai sebahagian daripada lawatan rasmi Setiausaha Tetap Kementerian Sumber Utama dan Pelancongan (MPRT) Brunei, Hajah Tutiaty Haji Abdul Wahab, ke Singapura.
“Pemeteraian MOU itu mengesahkan hubungan kerja rapat antara SFA dengan BDFA serta menunjukkan komitmen bersama kami dalam bekerjasama untuk memperkukuh kerjasama dalam keselamatan makanan,” kata SFA.
Pada 2021, SFA dan Kementerian Sumber Utama dan Pelancongan (MPRT) Brunei telah menandatangani MOU untuk meningkatkan kerjasama dua hala dalam bidang pertanian dan teknologi agro.
Di bawah MOU itu, Singapura dan Brunei akan memperdalam kolaborasi dalam bidang berkaitan pertanian dan teknologi pertanian, melalui pertukaran maklumat dan pengetahuan, serta peningkatan keupayaan dan pembangunan sumber.
Bidang kolaborasi itu termasuk yang berpotensi dalam pertanian; perikanan dan akuakultur; produktiviti; dan menetapkan standard dan mutu.
Sementara itu, pada 2023, ia dilaporkan bahawa eksport pertama produk buatan Brunei telah dihantar ke pusat beli-belah Mustafa Centre.
Inisiatif eksport itu adalah hasil usaha Darussalam Enterprise (DARe) dan MPRT untuk memudahkan akses produk Brunei, baik yang diproses dan dihasilkan di kilang, ke pasaran antarabangsa.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg