Di tengah-tengah usaha membentuk kompak sosial yang diperbaharui, yang memberi setiap orang peluang sama rata dalam hidup, lebih banyak peluang telah dicipta untuk rakyat Singapura dari semua lapisan umur, menurut angka rasmi.
Hasil Semakan Sektor Awam Singapura (SPOR) 2024, yang dikeluarkan oleh Kementerian Kewangan (MOF) pada 1 November, mendedahkan hasil laporan daripada sektor pendidikan awal kepada sektor pekerjaan dan persaraan, untuk menggambarkan kemajuan dalam bidang utama.
Dalam sektor pendidikan awal, bilangan tempat prasekolah satu hari penuh telah meningkat kepada lebih 200,000 untuk penuhi permintaan.
Dari sektor pekerjaan, kadar penduduk yang bekerja, berusia 25 hingga 64 tahun, ialah 82.6 peratus pada 2023, berbanding tahap sebelum pandemik iaitu 80.8 peratus pada 2019.
Terdapat juga bekalan pekerjaan yang stabil dalam sektor pertumbuhan, dengan 56.3 peratus daripada jawatan yang baru diwujudkan pada 2023 untuk karyawan, pengurus, eksekutif dan teknisyen (PMET).
Penduduk yang bekerja dalam pekerjaan PMET juga meningkat daripada 58.4 peratus pada 2019 kepada 62.6 peratus pada 2023.
Gambaran peluang yang dicipta untuk orang ramai ini adalah sebahagian daripada semakan dwitahunan, yang mengambil kira bagaimana Singapura telah berjaya dalam teras utama kepentingan negara.
Ketua Perkhidmatan Awam, Encik Leo Yip, berkata:
“(Tinjauan) menggariskan kemajuan yang telah dicapai Singapura dalam bidang utama kepentingan negara iaitu dengan lebih banyak peluang untuk rakyat, persekitaran hidup yang berkualiti, Singapura yang selamat dan terjamin, serta negara yang kukuh dan ekonomi berdaya tahan.”
Mengenai perumahan, yang mengalami beberapa tangguhan disebabkan oleh pandemik Covid-19, masa menunggu untuk flat HDB telah berkurang daripada kira-kira lima tahun pada 2022 kepada tiga tahun 10 bulan pada 2023, menurut laporan SPOR.
Sehingga September 2024, kira-kira 94 peratus flat tertangguh kerana Covid-19 telah disiapkan, dan baki projek yang tertangguh bakal disiapkan menjelang awal 2025.
Dalam sektor kesihatan, rakyat Singapura terus mempunyai salah satu jangka hayat terpanjang di dunia, dengan jangka hayat semasa kelahiran pada 87.7 untuk wanita dan 83.6 untuk lelaki, dan jangka hayat setelah disesuaikan dengan kesihatan semasa kelahiran pada 75.9 untuk wanita dan 73.9 untuk lelaki pada 2021.
Kemajuan juga telah dicapai dalam mengurangkan kelaziman kolesterol tinggi dan diabetes, antara 2017 dengan 2022, walaupun kelaziman obesiti dan tekanan darah tinggi meningkat dalam tempoh yang sama.
Sementara itu, masa menunggu median untuk golongan dewasa di hospital awam meningkat dengan mendadak daripada dua jam pada 2019 kepada 7.2 jam pada 2023.
Ia disebabkan oleh populasi yang semakin tua, peningkatan bilangan pesakit dengan keperluan kesihatan yang kompleks, serta penangguhan dalam projek infrastruktur penjagaan kesihatan akibat Covid-19.
Justeru, pemerintah akan terus melabur dalam infrastruktur penjagaan kesihatan, dan sedang berusaha meningkatkan bilangan katil hospital awam di hospital akut dan masyarakat daripada 11,000 pada akhir 2023 kepada 15,000 pada 2030.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg