Syarikat di Singapura dijangka meningkatkan pengeluaran mereka untuk baki 2024 dan pada 2025 berikutan keadaan ekonomi sedunia yang bertambah baik, yang akan meningkatkan kewangan korporat dan kapasiti pengambilan pekerja sepanjang tempoh itu, kata bank pusat republik itu.
Ini dijangka menyokong ekonomi Singapura untuk 2024, dengan pertumbuhan dijangka hampir di hujung atas unjuran julat 2 peratus hingga 3 peratus oleh Kementerian Perdagangan dan Perusahaan (MTI), kata Penguasa Kewangan Singapura (MAS) dalam laporan Semakan Makroekonomi dwitahunannya.
Ekonomi akan berkembang pada kadar yang sama pada 2025, tambah laporan yang dikeluarkan pada 28 Oktober itu.
Harga import lebih rendah dan pertumbuhan gaji dalam negara yang lebih perlahan akan menurunkan inflasi ke dalam julat purata 1.5 peratus hingga 2.5 peratus pada 2025, yang jauh lebih rendah daripada kemuncak yang dilihat sejak 2022, lapor The Straits Times.
“Pengambilan pekerja dijangka mendapat sokongan pada suku akan datang kerana pertumbuhan gaji menjadi sederhana dan majikan menjangka keuntungan dan prospek perniagaan bertambah baik,” kata MAS.
“Kegiatan ekonomi yang semakin kukuh seharusnya memberikan sedikit dorongan kepada permintaan tenaga kerja dan memberi sokongan jika ada sebarang kelemahan dalam pasaran buruh.”
MAS menyatakan bahawa tinjauan jangkaan perniagaan Jabatan Perangkaan bagi sektor perkhidmatan sudah menunjukkan peningkatan dalam rancangan pengembangan pekerjaan bagi suku ketiga 2024, didorong oleh syarikat berkaitan pelancongan.
Ekonomi Singapura mengukuh dengan ketara pada suku ketiga 2024 selepas prestasi hambar pada separuh pertama.
“Prestasi kukuh itu disokong oleh pemulihan yang meluas dalam sektor pembuatan, terutama bagi elektronik, peningkatan kegiatan perdagangan dalam sektor kewangan, dan kedatangan semula pelancong China.
“Secara keseluruhan, ekonomi Singapura memperoleh kedudukan yang lebih kukuh, dengan hampir 60 peratus daripada ekonomi di paras melebihi atau pada norma pertumbuhan sebelum pandemik,” kata MAS.
Permintaan pengguna tempatan dan peningkatan ketibaan pelancong ke Singapura akan terus menyokong perniagaan dalam sektor perkhidmatan, terutama yang menyediakan makanan, minuman dan penginapan.
Sektor maklumat dan komunikasi tempatan juga boleh mendapat manfaat apabila firma dalam negara meningkatkan rancangan pendigitalan mereka, kata MAS.
Bank-bank pusat utama berkemungkinan juga terus mengurangkan kadar faedah utama mereka pada 2025, yang akan menyokong pertumbuhan sektor kewangan Singapura.
Namun MAS memberi amaran bahawa prospek pertumbuhan dan inflasi Singapura masih dibayangi kemungkinan peningkatan ketegangan geopolitik dan perdagangan, yang boleh memberi kesan kepada pengambilan pekerja tempatan.
Mungkin juga terdapat pembalikan dalam pemulihan sektor teknologi global.
Untuk mengekalkan peningkatan kukuh dalam pertumbuhan ekonomi keseluruhan yang dilihat pada suku ketiga, sektor pembuatan memerlukan permintaan global untuk barangannya, termasuk semikonduktor dan komponen elektronik lain, untuk bertahan sehingga 2025.
Tetapi jika presiden baru Amerika Syarikat selepas pilihan raya 5 November memilih kenaikan besar dalam tarif ke atas China dan rakan perdagangan lain, harga import mungkin meningkat dan permintaan untuk elektronik mungkin terjejas di seluruh dunia.
“Keputusan pilihan raya presiden Amerika yang akan datang, peningkatan ketegangan geopolitik termasuk di Timur Tengah, atau kelembapan yang lebih ketara di China boleh menjejas perdagangan dan pertumbuhan global, dan seterusnya memberi kesan kepada prospek ekonomi Singapura,” kata MAS.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg